Menu

PERADUAN SETULUS HATI’ PLANTA BERKONGSI KASIH SAYANG MELALUI AIR TANGAN SEORANG IBU

14th July 2017 - SEMASA
PERADUAN SETULUS HATI’ PLANTA BERKONGSI KASIH SAYANG MELALUI AIR TANGAN SEORANG IBU

Planta, jenama marjerin Malaysia yang dipercayai sejak turun temurun, hari ini meraikan penutup kempen ‘Peraduan Setulus Hati’ Hari Raya selama sebulan yang menyaksikan 12 peserta akhir terpilih bertemu dalam pertandingan masakan amal yang menyentuh hati.

Dirancang untuk mencetuskan rasa keriangan Hari Raya kepada kalangan golongan kurang bernasib baik, kempen tersebut mencabar dan mengajak masyarakat merebut peluang agar biskut ciptaan mereka diedarkan oleh pihak Planta untuk membahagiakan lebih 400 orang kanak-kanak di Selangor dan Kuala Lumpur, di samping menawarkan banyak hadiah menarik untuk para peserta sendiri.

Bertujuan untuk berkongsi hasil air tangan ibu dengan golongan kurang bernasib baik supaya anak-anak yatim dapat menikmati kasih sayang seorang ibu menerusi kuih-muih serba lazat, pertandingan masakan selama 90 minit itu menyaksikan Marhaini Binti Mohd Ashari muncul sebagai pemenang dan lebih 5,000 biskut Almond Stripe yang menyelerakan berjaya dihasilkan untuk amal.

Antara badan penerimanya ialah Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Suci Rohani, Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih, dan Rumah Anak Yatim Nur Hidayah. Lebih 400 kanak-kanak, pengendali rumah amal serta ibu tunggal menerima derma berupa lebih 5,000 keping biskut Almond Stripe.

Menurut Tim VanEs, Ketua Kategori Makanan Unilever Malaysia, “Kami mempercayai makanan memainkan peranan yang penting dalam mengeratkan ikatan keluarga, terutama semasa perayaan seperti Hari Raya. Malahan, ia juga masa untuk renungan kembali, kemurahan hati dan kerendahan budi, bahkan juga masa mempamerkan empati dan mengungkapkan kasih sayang tanpa syarat dengan cara menyediakan makanan serba lazat.”

“Berkongsi hasil air tangan ibu dengan anak-anak yatim menerusi ‘Peraduan Setulus Hati’ akan menyemaikan rasa kegembiraan tak terperi di hati mereka kerana melalui pertandingan ini, mereka memperoleh peluang nyata dan dapat merasai kasih sayang ibu daripada kuih-muih serba lazat buatan tangan semasa Hari Raya,” kata VanEs lagi.

Menghakimi pertandingan masakan dan berkongsi kemeriahan suasana ialah Tim VanEs, Ketua Kategori Makanan dari Unilever Malaysia dan Mohd Hadzrin, Sous Chef Kanan (Kuisin Asia) Unilever Food Solutions Malaysia.

Kriteria penghakiman adalah berdasarkan 70% pada rasa Planta yang paling menonjol dan 30% pada cara persembahan biskut.

Mengulas tentang kemenangannya, Marhaini Binti Mohd Ashari dari Rawang berkata, “Saya menyertai cabaran ini untuk anak yatim kerana senyuman mereka perlu dikongsi bersama-sama. Mereka ibarat permata yang perlu dikasihi dan disayangi”.

Pemenang hadiah utama mendapat penghormatan dimana resipi biskutnya yang menang itu dibuat oleh Planta dan kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada lima rumah amal. Beliau juga memenangi baucar hadiah Seng Heng bernilai RM1,500 serta produk-produk Planta.

Naib juara dan 10 pemenang hadiah sagu hati membawa pulang baucar hadiah Seng Heng di samping produk-produk Planta bernilai RM10,000.

Sebagai penutup Encik VanEs berkata: “Sejak lama Planta sentiasa berkongsi jalinan ikatan yang erat dengan ibu-ibu dan anak-anak mereka, dan menerusi inisiatif CSR seperti ‘Peraduan Setulus Hati’, pihak kami berharap dapat sentiasa menggalakkan ibu-ibu untuk berkongsi pengetahuan dan “air tangan” melalui resipi-resipi biskut buat generasi-generasi akan datang.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *