Menu

PENCARIAN DA’I GENERASI BARU KEMBALI DENGAN MUSIM KELIMA

15th July 2017 - PENTAS/TV
PENCARIAN DA’I GENERASI BARU KEMBALI DENGAN MUSIM KELIMA


Setelah empat musim bersiaran, program keagamaan yang memartabatkan status pendakwah generasi muda kini kembali bagi musim ke-5 bermula 16 Julai 2017 ini. Da’i pendakwah Nusantara sememangnya memberi pendedahan kepada masyarakat tentang realiti sebenar yang perlu dihadapi oleh seorang Da’i di zaman yang penuh cabaran ini.

Program ini telah melahirkan ramai pendakwah generasi muda yang berkaliber dalam mengukuhkan ajaran Islam semenjak musim yang pertamanya pada tahun 2013. Da’i-da’i ini telah menegakkan syiar Islam bukan sahaja di Malaysia, malah ke negara-negara jiran juga. Tempoh hari, Da’i Hazman (musim ke-4) telah bertanding di sebuah program pencarian bakat dakwah AKSIASIA (Akademi Sahur Indosiar) di Indonesia mewakili Malaysia.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3, Pn. Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “Tahun ini, Da’i Pendakwah Nusantara memperkenalkan slogan baharu iaitu “Refleksi Diri Penggerak Dakwah”. Slogan ini membawa maksud, seseorang individu yang sentiasa bermuhasabah diri, imejnya akan mencerminkan keperibadian baiknya sebagai lambang keimanan dan keindahan Agama Islam. Secara tidak langsung, ini juga merupakan satu bentuk dakwah, iaitu berdakwah melalui keperibadian diri yang baik.”

“Da’i Pendakwah Nusantara adalah program realiti keagamaan yang mempunyai pengikutnya tersendiri terutamanya golongan muda.  Kejayaan pada tahun lepas telah meraih 4.2 juta penonton terus membuka mata golongan ini untuk terus mendekati program Da’i. Harapan kami untuk musim yang terbaru ini agar program Da’i Pendakwah Nusantara terus bersinar dalam revolusi dunia dakwah serta mendapat penerimaan yang baik, sejajar dengan masyarakat hari ini yang semakin minat untuk mendalami ilmu agama Islam dari usia muda lagi.” ujarnya lagi.

Seramai 12 orang peserta telah dipilih melalui sesi uji bakat yang telah berlangsung sepanjang bulan Mac yang lalu. Krew produksi Da’i telah mengembara ke institusi-institusi pengajian tinggi di sekitar Semenanjung Malaysia dalam memenuhi misi tersebut. Antaranya adalah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Pahang, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Melaka, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Negeri Sembilan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Selangor, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Perak, dan Kolej Universiti Insaniah Kedah. Para peserta uji bakat telah diadili oleh Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Roslan Mohamed, Ustazah Asni Mansor, Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i dan merangkap sebagai ketua tenaga pengajar yang digelar Murabbi. Para murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, ditugaskan sebagai tenaga pengajar utama para Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung. Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Para juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 16 Julai ini. Para peserta akan diberikan masa 3 hingga 5 minit untuk mempersembahkan tazkirah mereka dengan cara yang kreatif dan unik. Persembahan mereka akan dinilai oleh 10 orang juri awam, para murabbi dan juri tetap. Peranan murabbi dan juri tetap adalah untuk memastikan pengisian tazkirah yang disampaikan itu adalah sahih, lantas memberikan markah kepada mereka.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diberikan sebuah trofi Da’i Pendakwah Nusantara.

Da’i Pendakwah Nusantara musim Ke-5 bertuah kerana sekali lagi mendapat sokongan dari penaja iaitu Almas Beauty & Health. Tambahan pula, penaja utama turut memberikan sumbangan kepada para pemenang untuk tahun ini. Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk 2 orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.

Menurut Pengasas & Penaung Almas Beauty & Health Sdn Bhd, Datin Maziah Hj Mohamed, “Ini merupakan tahun ke dua di mana Almas masih terus menjadi Penaja Utama bagi program Da’i Pendakwah Nusantara musim ini kerana sangat berpuas hati dan kagum dapat melahirkan generasi muda sebagai pendakwah. Justeru, kami di Almas berharap agar ramai lagi anak-anak muda yang mahir dalam menyampaikan hujah dan al-Quran di hadapan umum. Serta dapat melahirkan ramai lagi anak-anak muda sebagai pendakwah yang disegani, di samping memupuk anak-anak remaja lain menjadi seperti mereka. Oleh itu, kami di Almas merasakan bahawa program yang berunsurkan Islamik ini amat sesuai untuk diuar-uarkan kepada penonton.”

Penonton juga berpeluang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang bakal disiarkan pada hari Ahad, jam 6.00 petang dan akan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4). Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i jam 6.00 petang di TV3. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *