Menu

ASTRO BAWAKAN LAPAN SALURAN LANGSUNG KL2017 MENERUSI PLATFORM DIGITAL DI ASTRO GO DAN NJOI NOW

20th July 2017 - PENTAS/TV, SEMASA
ASTRO BAWAKAN LAPAN SALURAN LANGSUNG KL2017 MENERUSI PLATFORM DIGITAL DI ASTRO GO DAN NJOI NOW

Astro_Sukan_Sea_001

Seluruh rakyat Malaysia kini boleh menonton secara percuma liputan paling komprehensif temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan hanya di Astro TV malah di setiap platform digital Astro bagi memberikan pengalaman tontonan maksimum aksi-aksi atlet negara dalam liputan langsung bermula dari 14 Ogos hingga 30 Ogos 2017.

Astro selaku penyiar rasmi KL2017 akan menyediakan empat saluran khas dalam Definisi Tinggi (HD) di saluran 802, 803, 804 dan 805 HD menerusi Astro TV dan NJOI TV. Sementara empat saluran tambahan eksklusif akan dilancarkan di aplikasi atas talian Astro GO dan NJOI Now menjadikan lapan saluran secara percuma boleh diakses di komputer riba dan peranti mudah alih.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan  Sukan Astro, Lee Choong Khay, seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran dan ledakan media baharu yang semakin berkembang, misi dan objektif Astro ialah memastikan peminat sukan negara akan dapat berkongsi perjuangan kontinjen negara secara lebih dekat menerusi pengalaman tontonan TV dan platform digital yang disediakan Astro.

“Selepas kejayaan liputan sepanjang Olimpik, Rio 2016 dengan rekod jumlah tertinggi tontonan 11.1 juta penonton keseluruhan di Astro Arena, Astro terus komited memberikan pengalaman tontonan dalam visual berkualiti tinggi malah berusaha memenuhi keperluan industri penyiaran dunia digital yang semakin berkembang serta media sosial yang mula menguasai industri teknologi maklumat dan komunikasi.

“Memandangkan Malaysia selaku tuan rumah pada edisi kali ini, misi yang digalas adalah untuk memastikan kesinabungan yang cemerlang dalam menyajikan yang terbaik untuk peminat sukan negara menerusi gemblengan maksimum tenaga dan kepakaran petugas seramai lebih 300 orang pada temasya sukan serantau kali ini.

“Menerusi inisiatif ini peminat yang bukan pelanggan Astro turut berpeluang mengakses saluran Astro Arena dan semua saluran tambahan itu secara percuma menerusi aplikasi Astro GO dan NJOI Now. Seluruh rakyat Malaysia juga akan dapat memberikan sokongan kepada wira-wira negara dengan menyertai kempen anjuran kami, #AyuhMalaysiaKu dan #KitaSamaHero.” katanya.

Astro_Sukan_Sea_002

Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Brig. Jen. Khairy Jamaluddin, memuji inisiatif Asto dengan liputan menyeluruh untuk temasya kali ini yang juga merupakan peningkatan ketara berbanding liputan-liputan temasya serantau sebelum ini.

“Astro bukan sahaja mengetuai konsortium untuk menyediakan perkhidmatan penyiaran kepada penganjur Sukan SEA kali ini, tetapi juga bakal berperanan sebagai penyiar utama dengan liputan paling meluas setiap hari demi memastikan semua peminat sukan negara dapat berkongsi kemeriahan temasya dan semangat perjuangan atlet yang mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Astro Arena juga turut memperkasakan lagi inisiatif digitalnya menerusi kerjasama dengan bakat dari laman sosial media youtube iaitu TIFO ARENA yang sudah tidak asing lagi dikalangan peminat-peminat bola sepak negara khususnya.  Pada temasya KL2017 kali ini mereka tampil dari perspektif berbeza dengan sajian-sajian berita sensasi atlet dan juga senario dari setiap venue acara sukan KL2017. Peminat sukan negara boleh melayari saluran YouTube Astro Arena (www.youtube.com/AstroArena) untuk mengikuti perkembangan yang akan disampaikan oleh mereka nanti.

Peminat sukan juga boleh mendapatkan informasi terkini mengenai pencapaian atlit negara sepanjang KL2017 dengan melayari laman web Stadium Astro dan Astro Awani.  Selain itu portal-portal lain seperti Astro Gempak, RojakDaily, Astro Ulagam (Tamil) dan Xuan (Cina) turut menawarkan perkembangan dan cerita-cerita menarik sepanjang KL2017.

Astro_Sukan_Sea_003

Jangan lupa untuk mendapatkan liputan paling komprehensif KL2017 di Astro TV dan NJOI TV dan juga di semua platform digital Astro menerusi Astro GO dan NJOI Now. Untuk maklumat lanjut sila layari www.astro.com.my.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *