Menu

FILEM “JAILBREAK” BERSEDIA UNTUK GERAK GEMPUR PASARAN MALAYSIA

2nd November 2017 - FILEM
FILEM “JAILBREAK” BERSEDIA UNTUK GERAK GEMPUR PASARAN MALAYSIA

Filem terbitan Kongchak Pictures ini merupakan sebuah karya kolaborasi antara Kemboja dan Malaysia menerusi ImagineX Sdn Bhd dan Basecamp Films. Ia juga berjaya memenangi 3 anugerah di The Fantasia International Film Festival 2017 di Montreal, menewaskan filem “Atomic Blonde” & “The Villainess”.

Ia mengisahkan Polis Kemboja yang menangkap seorang penjahat yang dikenali sebagai Playboy (Savin Phillip) kerana penglibatannya dengan Geng Butterfly. Tiga polis tempatan Dara (Dara Our), Tharoth (Tharoth Sam), Sucheat (Dara Phang) dan seorang pegawai polis Perancis Jean-Paul (Jean-Paul Ly) ditugaskan mengiringi Playboy ke penjara sementara menunggu pengadilan. Pemimpin sebenar, Madame Butterfly (Céline Tran), bimbang Playboy akan membocorkan rahsianya, mula mengupah pesalah dalam penjara Bolo (Sisowath Siriwudd) untuk membunuh Playboy dengan bayaran lumayan.

Ini mengakibatkan rusuhan besar dipenjara. Keempat-empat pegawai polis terperangkap dalam situasi mahu menyelamatkan diri atau menyelamatkan Playboy demi tugas dan tanggungjawab.

Dengan segala kepujian dari festival filem antarabangsa, “Jailbreak” kekurangan dalam segi penceritaannya yang agak huru-hara dengan cuba memasukkan elemen komedi, percintaan dan pembelotan secara tiba-tiba dan tidak konsisten dengan babak sebelumnya. Semua elemen sampingan ini agak sia-sia kerana tiada character development untuk mendekatkan penonton dengan watak-watak di atas skrin.

Secara zahirnya, filem ini boleh sahaja memenangi hati penonton seperti filem aksi seni bela diri Asia lain akan tetapi seni pertahankan diri Bokator dari Kemboja kurang berjaya diketengahkan kerana tidak menayangkan identitinya tersendiri seperti seni Silat dalam “The Raid” ataupun seni Muay Thai dalam “Ong Bak”. Rekaan set penjara juga tidak membantu kerana walaupun keempat polis bergerak ke lokasi berlainan dan wide shot luar penjara nampak seperti bertingkat-tingkat, tetapi floor plan penjara nampak sama dan membosankan.

Kepujian harus diberi kepada sinematografi Godefroy Ryckewaert yang mengawal kamera dikawasan sempit dan berjaya merakam babak aksi lawan dengan baik. Perancangan dan kesefahaman antara pengarah aksi koreografi membuatkan babak lawan panjang bersambungan antara satu karakter ke satu karakter lain tidak rasa janggal. Walaupun lakonan Jean-Paul Ly dan Dara Our tidak memberangsangkan, kehebatan aksi perlawanan menunjukkan kesungguhan mereka berlatih untuk memastikan semua gerak gempur mereka sempurna pasti akan memukau para penonton.

Akhir kata, ini adalah cubaan yang sangat baik oleh pengarah Jimmy Henderson dalam membawa industri perfileman Kemboja ke mata dunia akan tetapi dia dan Michael Hodgson perlu menulis cerita dan skrip yang lebih kuat untuk menjayakan filem “Jailbreak”.

Saksikan filem JAILBREAK dipawagam berhampiran anda mulai 2 November 2017 edaran ZooKeeper Media Sdn. Bhd.

Ulasan: Ezli Qamari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *