Menu

L’ORÉAL-UNESCO MEMBERIKAN PENGHORMATAN KEPADA TIGA ORANG SAINTIS WANITA YANG LUAR BIASA

3rd November 2017 - SEMASA
L’ORÉAL-UNESCO MEMBERIKAN PENGHORMATAN KEPADA TIGA ORANG SAINTIS WANITA YANG LUAR BIASA

Tiga orang saintis wanita di Malaysia telah memenangi anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship yang menjadi rebutan ramai bagi kajian yang mengatasi cabaran global dan mempunyai potensi untuk menyelamatkan jutaan nyawa.

Antara penerimanya adalah Dr. Ho Weang Kee dari University of Nottingham Malaysia. Wanita berumur 35 tahun tersebut telah meraih anugerah tersebut atas usahanya dalam memperkembangkan sebuah model jangkaan risiko bagi kanser payudara, yang menggunakan DNA dan maklumat tentang gaya hidup untuk memastikan golongan yang mempunyai risiko kanser tersebut bagi pengesanan yang lebih awal.

Seorang lagi pemenang, Dr Jasy Liew Suet Yan dari Universiti Sains Malaysia, diiktiraf atas usahanya membina sebuah sistem yang mengesan tanda-tanda depresi dengan menganalisis corak-corak emosi di media sosial. Wanita berumur 32 tahun tersebut berharap agar teknologi yang peka dengan emosi ini dapat menggalakkan diagnosis dan rawatan awal.

Bekerja dalam pengurusan sumber mapan, Dr Teh Su Yean meraih anugerah tersebut dengan gabungan sains, kejuruteraan, teknologi, dan matematik untuk melindungi sumber perairan pantai di Malaysia. Profesor madya berumur 36 tahun di School of Mathematical Science di Universiti Sains Malaysia sedang membina sebuah model yang dapat menyimpan air tanah, yang mungkin penting apabila kita kehabisan sumber air yang lain akibat perubahan iklim global.

Kini dalam tahun ke-12, anugerah tahunan L’Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship dihasilkan untuk mengiktiraf dan memaparkan sumbangan saintis wanita. Perkongsian yang memberi manfaat ini adalah logikal. L’Oréal, diasaskan oleh seorang saintis bernama Eugene Schueller, meraikan keyakinan wanita selama lebih daripada satu abad lamanya. UNESCO, yang merupakan singkatan bagi United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization, juga berjuang ke arah kesamaan jantina dalam memupuk pengetahuan saintifik semenjak tahun 1945.

Selain daripada memberi penghormatan kepada kecemerlangan saintifik, L’Oréal Foundation serta rakan-rakan kongsinya berharap untuk meningkatkan kesedaran dan minat dalam sains dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini selari dengan visi negara untuk menjadi ekonomi pengetahuan menjelang tahun 2020.

“Sebuah ekonomi pengetahuan bergantung pada sumber manusia dengan asas yang kukuh dalam sains. Memandangkan tahun 2020 semakin hampir, kita perlu semakin giat dalam mengumpul bakat-bakat yang berpengetahuan dalam sains, kejuruteraan, teknologi, dan matematik, juga dikenali sebagai STEM (science, technology, engineering, and mathematics), untuk membangunkan negara ini ke tahap yang seterusnya.

“Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship menyokong visi ini. Ia bukan sahaja memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita Malaysia untuk memilih sains sebagai kerjaya, malah mendorong minat dalam sains, yang kian berkurang dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan institut pendidikan tinggi,” kata YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia inisiatif Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

Dalam ucapannya ketika upacara anugerah tersebut, menurut Akademi Sains Malaysia – hanya 21% dalam kalangan mereka di sekolah menengah atasan memilih untuk mempelajari subjek sains pada tahun 2014.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut memberi amaran tentang kekurangan graduan STEM, minat yang berkurang dalam subjek sains dalam kalangan pelajar sekolah menengah atasan, serta peningkatan jumlah pelajar yang mengambil kursus yang berkait dengan seni di institut pengajian tinggi.

Oleh yang demikian, Malaysia mengalami kekurangan pelajar STEM untuk menerajui ekonomi pengetahuan. Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) menganggarkan bahawa negara ini memerlukan 493,830 orang saintis dan jurutera menjelang tahun 2020. Namun Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati bahawa terdapat kekurangan sebanyak 236,000 orang pekerja teknikal.

Minat yang berkurang dalam STEM, menurut Nancy, menekankan lagi kepentingan anugerah seperti L’Oréal-UNESCO For Women in Science untuk memupuk minat dalam sains.

Nancy mengucapkan tahniah kepada para pemenang anugerah atas kejayaan mereka yang wajar dicontohi dalam suatu bidang yang biasanya dikuasai lelaki, yang “menunjukkan bahawa sains boleh menjadi asas yang baik bagi semua jantina untuk meraih kecemerlangan.”

“Saya juga berharap anugerah-anugerah sebegini dapat memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk memperoleh perspektif baru tentang STEM – ia bukan hanya kiraan rumit dan fakta yang mencabar semata-mata, malah merupakan kunci ke arah masa depan yang lebih cerah bagi negara kita malah juga seluruh dunia,” kata menteri tersebut.

En. Malek Bekdache, Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, melihatnya dari sudut positif.

“Tahun ini, anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship mempunyai jumlah penyertaan yang paling tinggi setakat ini, dengan peningkatan sebanyak 66% berbanding tahun lalu. Sambutan yang baik bagi anugerah saintifik ini memberikan harapan bahawa minat dalam STEM dalam kalangan generasi seterusnya akan meningkat,” kata Bekdache.

Bekdache turut mengucapkan tahniah kepada University of Nottingham Malaysia kerana tampil sebagai universiti swasta yang pertama memenangi anugerah ini.

Tahun ini, selain daripada menerima geran berjumlah RM30,000 untuk digunakan bagi tujuan kajian mereka, setiap pemenang juga meraih kebolehan dalam menyampaikan idea mereka. Ketiga-tiga daripada mereka telah diberikan latihan untuk menyampaikan ringkasan kajian mereka di atas pentas ketika upacara penganugerahan, dalam cara yang sama seperti program TED Talks yang terkenal di seluruh dunia.

Anugerah yang menjadi rebutan ramai ini terbuka bagi semua pengkaji atau saintis wanita Malaysia di bawah umur 40 tahun, yang memegang ijazah PhD atau sedang menjalani pembelajaran kajian dalam mana-mana bidang saintifik.

Penyertaan dari pelbagai bidang saintifik membawa kepada jumlah 208 penyertaan tahun ini. Panel juri tahun ini diketuai oleh pakar fizik astro pertama Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman, Pengarah Program, Akademi Sains Malaysia. Setiap penyertaan dipertimbangkan berdasarkan set kriteria yang komprehensif, termasuklah kepentingan projek daripada segi sumbangan nilai dan merit, keaslian dan tujuan, sumbangan kepada sains, metodologi, pencapaian akademik dan kualiti projek secara keseluruhan.

Geran kajian bernilai lebih RM900,000 telah dianugerahkan kepada 38 saintis-saintis wanita yang cemerlang, semenjak mulanya L’Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship pada tahun 2006.

“Di L’Oréal, kami berharap agar anugerah ini dapat menggiatkan lagi tugas penting para pengkaji wanita dalam membangunkan masyarakat, serta meningkatkan minat dalam sains dalam kalangan generasi pembangun negara yang seterusnya untuk membawa Malaysia lebih hampir pada matlamatnya untuk menjadi sebuah ekonomi membangun yang berpendapatan tinggi,” kata Bekdache.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *