Menu

CAIR DENGAN SEMPURNA: RACLETTE KEJU EROPAH

4th April 2018 - SELERA
CAIR DENGAN SEMPURNA: RACLETTE KEJU EROPAH

Jika satu-satunya keju cair yang anda pernah cuba ialah ketika menikmati piza atau roti bakar, ini bermakna banyak lagi yang perlu anda tahu mengenai keju cair ini. Tetapi apabila ia berkaitan dengan keju cair, tidak semua keju sama – sesetengahnya mencair lebih baik daripada yang lain, membolehkan teksturnya terurai, dan membangkitkan rasa dan citarasa.

Cef Pierre Gay, seorang artisan dan pakar keju yang berasal dari Perancis bukan sahaja mahir tentang keju tetapi juga merupakan seorang guru dan pakar mengenai keju telah berkongsi pengetahuannya mengenai keju Eropah pada parti Raclette yang dianjurkan bersama oleh Organisasi Tenusu Antara Perancis (CNIEL) dan Kesatuan Eropah (EU), untuk mempromosikan kelebihan dan kehalusan keju Eropah.

“Raclette merupakan konsep baharu di Malaysia dan bagi negara yang sangat sukakan keju, ini adalah pengalaman yang pastinya rakyat Malaysia tidak mahu ketinggalan,” jelas Cef Pierre Gay. “Raclette merupakan keju yang diperbuat daripada susu lembu dan dipanggang atau dicairkan di bawah haba sehingga cair, sedikit rangup dan biasanya diparut ke atas kentang, sayur-sayuran rangup atau daging kering” kata Cef Pierre Gay.

Dia memberitahu melihat keju yang dicairkan dan diparut atau dikikis ke atas makanan merupakan sebahagian daripada pengalaman rangsangan deria bagi Raclette. Cef Pierre Gay merupakan pemilik Pierre Gay Fromagerie – salah sebuah rumah keju tertua di Annecy, Rhone-Alps di timur Perancis. The Fromagerie yang terkenal di rantau ini dengan kejunya telah dibuka pada 1935, dan Pierre mengambil alih syarikat tersebut daripada bapanya pada 1989. Dedikasi dan usaha Pierre selama ini berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai Meilleur Ouvrier de France (MOF) pada 2011, pengiktirafan tertinggi di dalam bidangnya.

Dia turut berkongsi rahsia mengenai pemilihan keju yang betul untuk Raclette iaitu kelembapan keju itu sendiri “Sekiranya keju tersebut mempunyai kelembapan yang tinggi, ia akan mencair dengan lebih baik. Lazimnya keju Eropah lebih sesuai untuk Raclette seperti keju Raclette, Emmental dan Comte. Sebaik sahaja keju mencair, ia akan mengeluarkan rasa yang berkacang dan manis.”

Dengan misi untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kepelbagaian jenis keju Eropah dan cara terbaik untuk menikmatinya, Cef Pierre Gay memberi pandangan mengenai dunia keju Eropah pada Parti Raclette baru-baru ini di Cocott ‘ KL.

Cef menggunakan keju Raclette yang dicairkan dalam mesin Raclette yang besar, kemudian dilapis di atas daging kering dan lain-lain makanan sampingan yang semestinya menggembirakan para tetamu. “Keju Raclette adalah keju cair yang terbaik dan keju utama yang digunakan dalam raclette dan fondue. Mempunyai bau yang kuat tetapi sedap, tahap pH Raclette memberikan titik cair yang sempurna menghasilkan cecair yang berserabut tetapi masih mengekalkan bentuk yang sama,” katanya.

Rakan-rakan media dan tetamu juga berpeluang mencairkan keju dan menikmati keju Brie, Reblochon, Fourme D’Ambert, Comte, Saint Nectaire, Gouda dan Scamorza di atas mesin Raclette bersama dengan sayur-sayuran mentah dan juga yang telah dimasak seperti hirisan lada Benggala, cendawan butang, tomato, jagung, hirisan bawang, nanas, kentang bakar, lobak merah dan kacang pis yang dimasak, hirisan buah pear, epal hijau dan anggur tanpa biji, bersama beberapa jenis daging seperti kambing, daging lembu, ayam dan sosej salai. Hidangan juga disertakan dengan roti baguette, hirisan seperti bawang kecil, timun, dan rempah seperti garam, lada hitam dan kepingan cili.

Dianggap sebagai salah satu makanan yang boleh dipelbagaikan di dunia, keju juga boleh dimakan begitu sahaja, digabungkan bersama wain yang berkualiti atau dicampurkan ke dalam apa juga hidangan – dari sejuk ke panas, manis hingga pedas, dari pembuka selera hingga pencuci mulut – kebanyakan resipi keju hanya memerlukan beberapa bahan tambahan untuk menjadikannya hebat. Dengan kawalan kualiti dan peraturan yang ketat di Eropah, keju Eropah sentiasa berkualiti tinggi, dan merupakan produk keju terbaik yang sentiasa tersedia untuk pengguna di Malaysia.

Raclette yang merupakan konsep baharu di Malaysia adalah cara terbaik untuk menikmati keju Eropah dan boleh dilakukan dengan mudah di rumah untuk dinikmati bersama rakan-rakan dan keluarga, memberikan hidangan keju tradisional yang segar dan menyeronokkan. Rancang Parti Raclette anda sendiri dan bersedia untuk cair dengan keju Eropah yang terbaik di dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *