Menu

RANGKAIAN TV MEDIA PRIMA TERUSKAN KEMPEN “TERIMA KASIH” DI BULAN RAMADAN & SYAWAL BUAT TAHUN KEDUA

16th May 2018 - PENTAS/TV
RANGKAIAN TV MEDIA PRIMA TERUSKAN KEMPEN “TERIMA KASIH” DI BULAN RAMADAN & SYAWAL BUAT TAHUN KEDUA

Pertama kali Terima Kasih diperkenalkan pada tahun lalu mendapat respon positif daripada orang ramai. Justeru, Terima Kasih diteruskan untuk tahun kedua dalam menjayakan kempen Syukur Selalu anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, “Tahun lalu, kita mendidik orang ramai tentang kepentingan ungkapan terima kasih. Tahun ini, MPTN menyediakan platform terbaik kepada penonton untuk mengekspresikan ungkapan terima kasih mereka dalam bentuk perbuatan. Selain itu, MPTN mahu bersama-sama dengan penonton sepanjang bulan Ramadan dan Syawal dengan menyajikan pelbagai program hebat yang menghibur dan mendidik penonton agar menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan ilahi.”

Bagi menghiburkan penonton-penonton setia MPTN sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, TV3 dan TV9 menghidangkan program-program baharu yang merangkumi genre drama, Raudhah dan gaya hidup. ntv7 sebagai saluran yang lebih hip dan segar tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini dengan membawa tema ‘Feeling Ramadan dan Feeling Raya ntv7’. Kempen Terima Kasih 2018 turut mendapat sokongan dari tonton, CJ Wow Shop dan Media Prima Digital.

MPTN berkolaborasi dengan Faizal Tahir untuk menghasilkan sebuah dokumentari muzik menerusi lagu ciptaan beliau (Starfeather) yang turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini.

Tidak lengkap sesebuah kempen tanpa duta-duta yang bakal membawa imej keseluruhan kempen. #TerimaKasih 2018 menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan negara sebagai duta. Duta TV3 & TV9 terdiri daripada Amar Baharin, Amyra Rosli bersama putera comel mereka, Aqeef Anaqi di samping Izzue Islam, Farah Nabilah, Remy Ishak dan Puteri Aishah manakala ntv7 diwakili oleh Erwin Dawson dan Azira Shafinaz. Selain itu, Remy Ishak dan Puteri Aishah juga terlibat dalam filem Pulang yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Duta-duta ini memainkan peranan penting sebagai wajah menyampaikan mesej kempen Terima Kasih di kaca TV, papan iklan dan pesanan khidmat masyarakat. Mereka juga akan turut menjayakan aktiviti padang iaitu Bazar Terima Kasih, Jom Masjid dan Anggun Life.

Berbeza dengan tahun lalu, tahun ini Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid telah digabungkan dan diadakan pada hari yang sama. Di Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid, duta Terima Kasih dan selebriti – selebriti popular akan menjayakan pelbagai aktiviti untuk rumah kebajikan terpilih. Sebelum mula operasi di bazar, mereka akan berkunjung ke rumah kebajikan terpilih bagi tujuan aktiviti amal dan beramah mesra dengan penghuni di situ. Kutipan jualan bazar akan disumbangkan terus ke rumah kebajikan terpilih di negeri yang dikunjungi.

Tarikh dan lokasi Bazar Terima Kasih yang pertama ialah di tempat letak kereta Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah pada 26 Mei 2018 bermula jam 3.00 petang sehingga 8.00 malam. Manakala lokasi seterusnya di Dataran 1 Malaysia Klebang, Melaka pada 2 Jun 2018 di bermula 3.00 petang sehingga 8.00 malam.

Jom Masjid mengetengahkan amalan moreh yang diadakan selepas solat terawih pada bulan puasa. Selain daripada berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah, orang ramai boleh menyertai aktiviti ilmiah seperti rakaman program Al-Kulliyyah, solat Isya, berterawih dan sesi tazkirah program Raudhah Mawaddah.

Seiring dengan Bazar Terima Kasih, Jom Masjid akan berlangsung pada 26 Mei 2018 bersamaan 11 Ramadan 1439H di Masjid Andalusia, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah. Manakala lokasi kedua akan diadakan pada 2 Jun 2018 bersamaan 17 Ramadan 1439H, bertempat di Masjid Al-Aminin, Kampung Batang Tiga Timur Bukit Rambai, Klebang, Melaka. Jom Masjid akan diadakan sebanyak dua sesi dengan sesi pertama bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari dan 5.00 petang sehingga 10.00 malam.

Anggun Life, platform membeli-belah pelbagai jenama pakaian akan turut diadakan pada 8 & 9 Jun di Persada Johor International Convention Centre. Anggun Life menghimpunkan vendor-vendor fesyen terkenal seluruh negara di bawah satu bumbung bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan untuk Hari Raya.

Tahun ini menyaksikan kolaborasi kedua antara MPTN dan Pavilion Kuala Lumpur. Elemen-elemen kempen Terima Kasih akan menghiasi segenap ruang legar Pavilion Kuala Lumpur. Selain itu, Pavilion Kuala Lumpur juga ingin menunaikan impian 1000 kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Bagi memeriahkan lagi kempen, beberapa aktiviti juga akan diadakan di Pavilion Kuala Lumpur seperti sesi ramah mesra drama mini ‘Pelangi Cinta’ dan filem ‘Pulang’ serta siaran langsung program bual bicara di ruang legar.

Pada tahun ini, aplikasi mudah alih Raudhah masih mengekalkan fungsi #TerimaKasih bagi membolehkan pengguna menyampaikan kesyukuran dan penghargaan mereka atas rezeki yang diterima. Setiap mesej atau kisah yang dikongsi dan dipaparkan, RM1 akan disumbangkan ke Tabung Bersamamu. Selain itu, anda juga dapat akses kepada video esklusif daripada program popular Raudhah seperti Jejak Rasul, Al-Kuliyyah dan Tanyalah Ustaz serta waktu solat atau waktu berbuka yang tepat berdasarkan lokasi, notifikasi azan, senarai masjid berhampiran dan restoran halal berdekatan anda.

Sempena Ramadan, CJ Wow Shop yang disiarkan di TV9 ini menggandakan rangkaian Aidilfitri dengan pelbagai jenama baharu kegemaran rakyat Malaysia serta menawarkan ganjaran percutian ke Turki kepada pelanggan dengan pembelian tertinggi. Rangkaian koleksi ini terdiri daripada koleksi-koleksi kegemaran rakyat Malaysia yang sedia ada dan baharu, termasuklah Al-Mukarramah oleh Haqqi Muslim Wear, Ariani X WOW Muslimah Fashion, Mugen Tornado Hybrid Gas Cooker, Classe Raya Carpet dan sebagainya.

Untuk maklumat terkini, anda boleh menonton semua rangkaian televisyen Media Prima Berhad. Layari laman web www.xtra.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram @TV3Malaysia, @TV9Malaysia, dan @ntv7malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *