Menu

5 SOALAN WAJIB KETIKA RAYA DAN CARA MENGHADAPINYA DENGAN BERHEMAH

1st June 2018 - SEMASA
5 SOALAN WAJIB KETIKA RAYA DAN CARA MENGHADAPINYA DENGAN BERHEMAH

Gema takbir Raya sayup-sayup kedengaran menyelubungi kawasan kejiranan, menandakan berakhirnya bulan Ramadhan dan menjelmanya Syawal, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidilfitri. Bagi umat Islam di seluruh Malaysia, perayaan ini bakal menyaksikan sanak saudara dan sahabat handai berkumpul sambil menikmati pelbagai juadah Hari Raya, dan yang utama, meraikannya dengan semangat bermaaf-maafan.

Sebagaimana sambutan perayaan lain, pasti ada banyak peluang menarik untuk beramah mesra dengan ahli keluarga dan rakan-rakan anda. Ada kalanya soalan-soalan yang dikongsi kurang enak, walaupun dituturkan dengan niat yang baik. Dari kerjaya profesional sehinggalah ke perancangan peribadi anda, LinkedIn, rangkaian profesional terbesar di dunia, berkongsi beberapa tip untuk anda menghadapi soalan-soalan wajib Raya, agar dapat mengilhamkan perbualan yang lebih bermakna.

Soalan wajib dari saudara-mara di waktu Raya:

1.”Adakah kamu sudah bekerja? / Apakah pekerjaan kamu?”
Saudara-mara mungkin ingin mengetahui sama ada anda masih boleh menerima duit Raya yang kebiasaannya dikhaskan untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang belum bekerja. Sungguhpun tidak banyak yang berubah dari Raya lepas, mungkin mereka telah terlupa dengan apa yang anda kongsikan ataupun apa yang anda lakukan.

Tip 1: Ketahuilah mereka benar-benar ingin tahu dan ikhlas hendak melihat anda maju dalam kerjaya, jadi kongsikan dengan menggunapakai kata-kata yang mudah difahami. Fikirkan tajuk profil LinkedIn anda, contohnya jika anda seorang pemaju aplikasi untuk studio permainan, cuba ungkapkan sebagai “Saya mereka dan mencipta permainan untuk membolehkan orang ramai seperti anda dan saya bermain permainan di telefon pintar”.

2. “Adakah kamu mampu mendapatkan gaji yang besar dalam industri ini? / Bilakah kamu akan berpindah ke industri yang berbeza seperti sepupu kamu?”
Pastinya ada pilihan kerjaya yang dianggap kurang berprestij daripada yang lain. Generasi ibu bapa kita lebih mengenali kerjaya tradisional seperti guru, jurutera, peguam dan doktor. Ianya agak mencabar untuk menerangkan kerjaya atau industri anda kepada seseorang yang tidak berkongsi minat, atau tidak memahaminya. Ingat banyak bentuk kerjaya hari ini tidak diketahui sedekad lalu.

Tip 2: Walaupun soalan tersebut mungkin kurang enak, mulakan dengan berkongsi mengapa anda memilih kerjaya dan industri tersebut, dan mengapa anda menyukainya. Jika anda seorang tukang masak, bantu mereka memahami bahawa anda gemar memasak makanan yang lazat dan sihat, selain gembira melihat pelanggan berpuas hati dengan makanan tersebut. Ini mungkin dapat menginspirasikan mereka, dan pada masa yang sama, anda juga boleh berkongsi kepuasan anda. Kongsi juga beberapa pencapaian dan matlamat masa depan anda sebagai langkah tambahan!

3.”Pasti kamu mendapat diskaun besar, menonton filem dan makan percuma, atau barangan menarik dari tempat kerja?”
Andaian yang kerap berlaku apabila anda menamakan syarikat atau jenis perkhidmatan yang dikenali ramai adalah, anda berhak mendapat faedah pekerja yang lumayan dari pekerjaan tersebut. Walaupun ini mungkin benar untuk sesetengah orang, ia boleh mewujudkan situasi yang kurang menyelesakan sekiranya saudara-mara dan rakan-rakan mengharapkan faedah yang sama melalui anda, walaupun secara gurauan.

Tip 3: Kata kunci di sini adalah “andaian”, dan sebaiknya dihadapi secara profesional sebagaimana anda akan menerangkannya kepada rakan kerja yang baru. Gunakan kesempatan ini untuk menyebut mengenai program-program berkaitan kerjaya atau peluang peningkatan kemahiran yang ditawarkan oleh syarikat, juga bagaimana budaya kerja syarikat anda menggalakkan perkembangan peribadi.

4. “Sudahkah kamu dinaikkan pangkat tahun ini? / Adakah kamu mendapat bonus Raya yang besar?”
Soalan yang menggerunkan terutamanya jika anda baru memasuki alam pekerjaan atau memulakan kerjaya ditempat baru. Adakala saudara-mara meletakkan jangkaan yang kurang realistik terhadap anda, namun soalan ini selalunya mencerminkan betapa mereka mengambi berat mengenai anda.

Tip 4: Ini adalah peluang yang baik untuk berkongsi perkembangan peribadi anda sejak kali terakhir bertemu – contohnya usaha baru yang telah anda mulakan, atau tugas besar yang diamanatkan untuk mengembangkan pasukan anda. Kongsi aspirasi anda untuk mengalih perbualan dari promosi dan kenaikan gaji, sambil menekankan kemahiran baru dan mencapai kejayaan yang lebih bermakna. Jangan lupa, kejayaan datang dalam pelbagai bentuk dan tahap, dan jawatan yang tinggi bukan satu-satunya cara untuk mengukur kejayaan sendiri.

5. “Bilakah kamu akan berkahwin? / Apakah kamu terlalu menumpukan perhatian terhadap kerjaya semata-mata?”
Soalan ini biasanya diikuti dengan pertanyaan lanjut mengenai status peribadi anda, juga rantaian nasihat dari mereka yang lebih tua. Ia pastinya cukup sukar terutamanya kepada golongan Millennial yang berumur di antara 25-33 tahun. Kajian LinkedIn mengenai apa yang digelar para ahli psikologi sebagai ‘krisis suku hidup’ mendapati bahawa tiga perempat rakyat Malaysia dalam julat umur tersebut berasa tertekan untuk berjaya dalam hubungan, kerjaya atau dari segi kewangan walaupun dengan memiliki pekerjaan sepenuh masa.

Tip 5: Cara terbaik untuk menghadapi soalan ini adalah dengan menggunakan peluang untuk menekankan bagaimana anda dapat meluangkan lebih banyak masa untuk memperbaiki diri sendiri. Ingat bahawa semua orang berada di tahap yang berbeza dalam kerjaya mereka, jadi elak membandingkan diri anda dengan orang lain.

Sejanggal manapun soalan yang diajukan, ketahuilah bahawa kebahagiaan diri anda adalah yang paling penting dan definasi kejayaan itu berbeza kepada setiap orang. Tambahan pula, Hari Raya Aidilfitri menekankan penerimaan, pemahaman dan memperbaharui hubungan melalui semangat kemaafan. Luangkan masa berharga ini dengan mereka yang anda kasihi dan dengan menggunapakai tip-tip ini, mungkin saudara mara anda akan dapat memahami minat, pilihan kerjaya dan definasi kejayaan anda dengan lebih baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *