Menu

KARNIVAL MOH SKOR! – DESTINASI TERUNGGUL PEMINAT BOLA SEPAK!

28th June 2018 - SEMASA
KARNIVAL MOH SKOR! – DESTINASI TERUNGGUL PEMINAT BOLA SEPAK!

Meraikan musim Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad akan menganjurkan Karnival Moh Skor ini demi menghimpunkan semangat bola rakyat Malaysia selama satu hari pada hari Sabtu, 30 Jun 2018 di MyTOWN KL, Cheras, kelak. Para pengunjung akan turut ditemani oleh personaliti-personaliti ternama seperti Akmal Rizal, Azman Adnan, Rezal Zambery, Datuk Ong Kim Swee, Hanif Miswan, Anim Ezati, Shah Sulaiman, Faiz Suha, Aina Suzaily, Mark Adam, Nadzmi Adhwa dan Polina Matveycheva.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, “Media Prima Berhad sentiasa menyokong perkembangan dunia sukan negara dan antarabangsa. Oleh itu, Karnival Moh Skor ini diadakan sebagai tanda sokongan kepada Piala Dunia yang sedang berlangsung di Moscow, Rusia. Selain penampilan khas daripada personaliti-personaliti bola sepak ternama negara, Rezal Zambery dan Datuk Ong Kim Swee akan turut serta dalam sebuah forum yang membincangkan topik, ‘Harimau Malaya ke Piala Dunia’ bersama Kevin Ramalingam, Abu Bakar Atan, dan YBhg Nik Nazmi Nik Ahmad. Selain forum ini, pertandingan 3 lawan 3,  juara timbang bola, dan pertandingan e-sukan melalui Play Station 4 merupakan antara aktiviti menarik yang akan berlangsung pada hari tersebut. Oleh itu, semua peminat bola sepak, dijemput hadir memeriahkan karnival ini.”

Aktiviti tumpuan Karnival Moh Skor ini adalah Forum Borak Bola yang bertajuk ‘Harimau Malaya ke Piala Dunia’. Forum ini membariskan Rezal Zambery, Datuk Ong Kim Swee, Kevin Ramalingam, Abu Bakar Atan, dan wakil Parlimen Setiawangsa, YBhg. Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai panelis. Forum ini akan dikendalikan oleh pengacara Malaysia Hari Ini, Hanif Miswan selama dua jam bermula 3.00 petang. Objektif Borak Bola ini adalah untuk melangsungkan diskusi diantara nama-nama besar yang mewakili organisasi bola sepak Negara. Kelainan Borak Bola ini adalah untuk merangkumkan hasil perkongsian pandangan dan pendapat melalui pengalaman setiap panel. Konklusi diskusi ini tidak tergantung sepertimana diskusi-diskusi lepas, kerana salah seorang daripada panel berkapasiti membuat perancangan, perlaksanaan dan saluran suara ke Dewan Rakyat bagi pelan pembangunan bola sepak baharu. Forum ini akan bersiaran langsung di laman media sosial Youtube TV9.

Selain itu, antara aktiviti lain yang akan berlangsung serentak dengan forum itu adalah pertandingan bola sepak 3 lawan 3, aktiviti free kick, dan cabaran cross bar. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan personaliti seperti Akmal Rizal, Azman Adnan, N.Thanabalan, Faiz Subri, Anim Ezati, Shah Sulaiman, Faiz Suha, Aina Suzaily, Mark Adam, Nadzmi Adhwa dan Polina Matveycheva.

Aktiviti-aktiviti yang menyediakan wang tunai sebagai hadiah utamanya adalah pertandingan 3 lawan 3

dimana setiap pasukan (merangkumi empat orang sahaja) akan mewakili sebuah negara yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2018 ini. Selain itu, pertandingan Juara Timbang juga menyediakan hadiah wang tunai. Peserta dikehendaki untuk menimbang bola seberapa banyak yang mampu. Aktiviti tumpuan terakhir yang memberikan wang tunai sebagai hadiah adalah pertandingan cabaran bola sepak PS4 yang akan berlangsung sepanjang hari karnival ini.

Dengan semua aktiviti berlangsung secara serentak, acara kemuncak karnival ini adalah acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pada pukul 8.30 malam. Selain hadiah-hadiah eksklusif Moh Skor, para pemenang akan berpeluang untuk memenangi sejumlah daripada hadiah wang tunai RM5,000.

Sekiranya anda adalah peminat tegar dunia bola sepak, Karnival Moh Skor ini adalah destinasi terunggul anda untuk merasai kehangatan bola sepak sebenar! Temui personaliti-personaliti ternama tanah air ini di Karnival Moh Skor ini pada hari Sabtu, 30 Jun 2018 bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam. Gunakan juga tanda pagar #segalanyabola untuk merancakkan perbualan di laman media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *