REVIEW FILEM: MUSYRIK - API NERAKA MENANTIMU - BUKAN SETAKAT SERAM, MALAH MENGINSAFKAN


Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd merupakan sebuah filem seram bertemakan kerohanian yang sedang rancak di tayangkan di pawagam. Ia mengisahkan tentang Aril (Aeril Zafrel) yang mempunyai sikap mudah panas baran terutama sekali apabila perniagaanya ditimpa masalah berpunca daripada orang kepercayaanya sendiri. Dan juga dia menyalahkan anaknya, Puteri (Qaseh Shuhada) yang dikatakan membawa sial kepada keluarganya.


Rumah tangga Aril mula menjadi porak-peranda apabila dia dipengaruhi oleh satu entiti jahat yang telah “dihantar” oleh seseorang untuk membalas dendam. Pengaruh entiti jahat ini terlalu kuat sehingga Aril tergamak bertindak di luar kawalan dan mengancam nyawa isterinya, Wati (Aishah lilias) dan anaknya, Puteri. Adik Aril, Farah (Ruhainies) turut dengan tidak sengaja terbabit dengan gangguan entiti jahat apabila dia datang melawat anak buah kesayangannya, Puteri.


Farah meminta pertolongan daripada Ustaz Akasyah (Ashraf Muslim) kerana dia mengesyaki sesuatu yang pelik sedang berlaku di dalam keluarga abangnya. Dengan tidak sangka, Farah turut dirasuk oleh entiti jahat apabila Ustaz Akasyah cuba untuk menolongnya!  

Dari manakah datangnya entiti jahat ini? Siapakah yang menghantarnya? Mengapakah Aril dan keluarganya, termasuk adiknya Farah diganggu?  Sedikit demi sedikt, misteri gangguan itu dirungkaikan dengan penuh kejutan dan kejadian ngeri! 

Filem seram ini diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Arjin Uppal. Arjin berjaya mencetuskan rasa seram dengan menggunakan CGI dengan efektif tanpa menggunakan terlalu banyak teknik “jump scare” yang selalu digunakan dalam filem seram. Kami dapat lihat dari sudut penceritaan filem ini, Arjin bukanlah terlalu fokus untuk memomokkan penonton sehingga terlompat dari kerusi tetapi beliau menitikberatkan penceritaan, pengajaran dan penyampaian mesej di dalam filem ini.    


Semua pelakon boleh dikatakan berjaya menghidupkan watak yang dilontarkan kepada mereka. Namun, pujian harus diberikan kepada Ashraf Muslim terutamanya pada babak kemuncak konfrontasinya dengan entiti jahat. Kami tidak dapat menghuraikan terlalu panjang untuk mengelakkan "spoiler" di sini. Terserlah kebolehannya untuk membawa watak yang 100% bertentangan dengan imej alim dan terlalu baik bak kata, pijak semut pun tak mati" sebelum ini. Tepukan untuk Ashraf Muslim!
 
Sebagai kesimpulannya, filem Musyrik - Api Neraka Menantimu bukanlah sebuah filem yang biasa-biasa. Kekuatannya dinilai bukan dari sudut betapa seramnya filem ini tetapi betapa banyaknya mesej yang dapat dibawa pulang oleh penonton setelah meninggalkan pawagam. Sambil berhibur, diharapkan para penonton mendapat seruan untuk meningkatkan keimanan mereka dan mengelakkan daripada memilih jalan salah kerana api neraka akan menanti.  

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd menampilkan barisan pelakon popular seperti Ariel Zafrel, Ruhainies dan Ashraf Muslim selaku teraju utamanya. Selain itu, ia turut dibarisi pelakon sandaran seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.


Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 7 Julai ini.

Trailer rasmi filem ini sudah menerusi saluran YouTube.com/WhiteMerpatiMovies sejak 15 Jun lalu.



Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA