IKON BUKIT BINTANG KEMBALI: THE FEDERAL KUALA LUMPUR TAMPIL LEBIH SEGAR DAN KONTEMPORARI
Pada 28 Ogos 1957, iaitu beberapa hari sebelum sambutan Merdeka, The Federal Kuala Lumpur melakar sejarah apabila membuka pintunya sebagai cermin kemodenan tanah air yang baru merdeka. Hari ini, selepas proses transformasi yang menyeluruh, hotel ikonik ini kembali beroperasi di pusat Bukit Bintang, bersedia mengalu-alukan generasi baharu melalui warisan seni binanya yang segar.
Seni Bina Lambang Pembentukan Negara
Bersama Stadium Merdeka dan Bangunan Parlimen, hotel ini merupakan antara mercu tanda terawal yang menzahirkan aspirasi kemerdekaan negara. Seni bina asalnya mencerminkan semangat modenisme pascaperang yang disesuaikan dengan iklim tropika Kuala Lumpur — menampilkan garis seni bina yang kemas, limpahan pencahayaan semula jadi, serta ciri binaan yang sesuai dengan iklim Tropika.
Mengembalikan Karakter Asal
Hasil sentuhan baharu pada The Federal Kuala Lumpur direka khas untuk memenuhi gaya perjalanan pelancong moden. Bilik penginapan kontemporari, ruang sosial yang mesra, galeri seni serta kawasan awam yang diberi nafas baharu kini menawarkan konsep hospitaliti yang lebih santai dan segar, tanpa mengabaikan nilai sejarahnya.
Struktur konkrit terdedah kini menampilkan semula tekstur acuan kayu daripada era pembinaan asal. Tangga mozek yang sekian lama tersembunyi di sebalik lapisan kemasan lama kini diserlahkan kembali, manakala seni besi tempa bersadur emas di pintu masuk dipelihara dengan cermat. Sentuhan Art Deco — terutamanya tingkap bulat pada fasad yang ikonik — turut dipulihkan, mengembalikan keunikan yang sentiasa segar dalam ingatan warga ibu kota.
Kehadiran siling berpanel, struktur melengkung, kemasan terazo dan perabot retro memberi sentuhan artistik tambahan. Gabungan ini melahirkan suasana yang terasa akrab di hati tetapi segar pada pandangan, sekali gus menandakan permulaan babak baharu buat mercu tanda ini.
Direka untuk Pelancong Masa Kini
Bilik-bilik penginapan menawarkan suasana tenang dan diterangi cahaya semula jadi — sebuah ruang santuari yang selesa daripada kesibukan Bukit Bintang — menggabungkan garisan kemas dengan sentuhan bahan semula jadi yang menawan. Ruang awam pula diberi nafas baharu sebagai destinasi tumpuan yang tersendiri, menampilkan ruang legar sosial yang berfungsi sebagai ruang tamu santai serta ruang galeri baharu yang mempersonakan.
Pembukaan Semula Premis Ikonik di Jalan Bukit Bintang
Selama puluhan tahun, The Federal telah berdiri teguh sebagai mercu tanda ikonik di Jalan Bukit Bintang. Pembukaan semulanya meletakkan para tetamu tepat di tengah-tengah hab membeli-belah, kulinari, dan hiburan ibu kota — semuanya mudah dicapai.
Buat tetamu setia, setiap perincian yang dipulihkan pasti menggamit nostalgia manis. Bagi generasi baharu pula, ia menawarkan pengalaman penginapan bandar yang moden dan tersendiri — berteraskan warisan sejarah yang begitu dekat dengan Kuala Lumpur.
The Federal Kuala Lumpur sentiasa berkembang seiring dengan arus pembangunan ibu kota merentas zaman. "Pembukaan semula hotel ini membolehkan kami menawarkan penginapan kontemporari yang selesa buat pelancong masa kini, sambil mengekalkan kehangatan dan kemesraan yang sentiasa menjadi identiti kami sejak dahulu lagi," kata Jenny Aw, Pengurus Operasi Hotel, The Federal Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, tawaran terkini, dan tempahan, sila layari
www.thefederalhotel.com.my atau ikuti akaun rasmi @thefederalkl.
.jpg)
%20(Custom).jpeg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment