IMAN FANDI TERUS BERSINAR MENERUSI EP BAHARU “AFTERGLOW”


Penyanyi kelahiran Singapura, Iman Fandi, tampil dengan karya terbaharunya menerusi EP berjudul Afterglow yang dilancarkan secara rasmi pada 25 September 2026 di semua platform penstriman muzik utama.

Pelancaran EP ini menjadi kemuncak kepada tahun yang cukup bermakna dalam perjalanan seni Iman, sekali gus menandakan penghasilan karya paling signifikan sepanjang pembabitannya sebagai artis bebas.

Afterglow membawa mesej tentang kepentingan meletakkan diri sendiri sebagai keutamaan dalam kehidupan, biarpun perjalanan untuk membina sesuatu kejayaan perlu bermula dari bawah.

EP ini mengangkat tema mengenali nilai diri, membina keyakinan melalui cita-cita dan aspirasi, serta menghargai setiap pencapaian yang hadir sepanjang proses perkembangan peribadi.


Menerusi karya ini, Iman menyelami pelbagai konflik emosi ketika berusaha menyerlahkan potensi diri, meninggalkan perkara yang tidak lagi membawa kebaikan dan melangkah ke hadapan dengan keyakinan yang semakin kukuh.

Namun, perjalanan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah apabila dia turut berdepan pertentangan antara keinginan hati untuk terus mempertahankan sesuatu hubungan dengan kewarasan fikiran yang mendorongnya untuk melepaskan dan meneruskan kehidupan.

Pertembungan antara dua perasaan ini diterjemahkan melalui muzik yang memperlihatkan sisi rapuh dan kekuatan diri, sekali gus menjadikan Afterglow sebuah karya yang sarat dengan emosi serta mesej pemberdayaan diri.

“Namun, perjalanan ini juga tentang menikmati setiap detik dan berseronok sepanjang proses tersebut,” kongsi Iman.

“Menari bersama teman-teman wanita, meraikan sejauh mana kita telah melangkah dan melihat kehidupan sendiri dari sudut yang lebih indah serta romantis,” tambahnya.

Dengan gabungan muzik pop kontemporari dan R&B yang moden, bergaya serta berani, Afterglow tampil sebagai sebuah karya yang membangkitkan semangat positif.

EP ini menjadi runut bunyi yang meraikan keberanian untuk memilih kebahagiaan diri sendiri, mengejar cita-cita tanpa rasa takut dan membiarkan keunikan serta sinar peribadi terus menyerlah.

Jika tiga single terdahulu, Tip Toes, Out Of My Mind dan IT IS, menggambarkan perjalanan tersebut secara berperingkat, Afterglow pula menyatukan keseluruhan kisah berkenaan dalam sebuah naskhah yang lebih lengkap.

Ia sekali gus menjadi gambaran paling jelas mengenai identiti, kematangan dan hala tuju muzik Iman sebagai seorang artis bebas.

Pelancaran EP ini turut menyusul selepas setahun yang cukup bermakna buat Iman apabila beliau mencipta pelbagai pencapaian penting dalam kerjaya seninya.

Antaranya termasuk penampilan sulung di Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura di hadapan kira-kira 42,000 penonton di Stadium Nasional, selain mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi persembahan pertamanya di pentas Amerika Syarikat dalam acara Broadus Together: Superstar Among Friends yang berlangsung di Los Angeles.

Iman Fandi merupakan penyanyi kelahiran Singapura yang aktif meneroka dunia muzik, fesyen dan budaya kontemporari.

Sebagai anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, Iman kini giat membina identiti serta perjalanan kerjaya seninya sendiri, tanpa bergantung kepada nama besar keluarganya.

Di bawah pengurusan Gushcloud International, karya muziknya banyak dipengaruhi elemen pop moden dan R&B dengan mengetengahkan tema perkembangan diri, ketabahan serta keyakinan untuk menentukan hala tuju kehidupan sendiri.


Tahun 2026 menjadi antara tahun paling penting dalam perjalanan kerjayanya.

Iman mencipta pencapaian membanggakan apabila mempersembahkan lagu Giants, hasil ciptaan bersama Weish, pada sambutan Hari Kebangsaan Singapura di hadapan 42,000 penonton di Stadium Nasional.

Beliau turut mencatat sejarah menerusi penampilan sulung dalam persembahan separuh masa Piala Asia AFC, selain melangkah ke pentas antarabangsa buat pertama kali di Los Angeles menerusi acara Broadus Together: Superstar Among Friends.

Acara tersebut diterbitkan oleh Death Row Games dengan kerjasama penerbit bersama CMC Shine SEA dan Gushcloud International, serta menampilkan Snoop Dogg sebagai DJ.

Selepas memperkenalkan tiga single sepanjang 2026 iaitu Tip Toes, Out Of My Mind dan IT IS, pelancaran EP sulung Afterglow dilihat sebagai pencapaian paling signifikan Iman setakat ini.

Ia bukan sahaja memperlihatkan perkembangan muziknya, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai artis muda yang semakin berani mencorakkan identiti dan masa depan kerjayanya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog