KUMPULAN SURIA KLCC MERAIKAN DEEPAVALI PENUH GEMILANG DI TIGA PUSAT MEMBELI-BELAH


Kumpulan Suria KLCC menjemput orang ramai meraikan Pesta Cahaya dalam suasana penuh gemilang sempena Deepavali tahun ini. Sambutan yang berlangsung di Suria KLCC, Alamanda Shopping Centre dan Mesra Mall menampilkan dekorasi berinspirasikan istana diraja serta seni tradisional India, di samping menawarkan ganjaran membeli-belah yang menarik kepada pelanggan.

Kempen ini berlangsung mulai 23 Oktober 2026 sempena sambutan Deepavali yang diraikan pada Ahad, 8 November 2026. Seiring Kuala Lumpur menerima kedatangan pelancong dari seluruh dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sambutan ini turut memberi peluang kepada pengunjung antarabangsa untuk mengenali tradisi dan budaya masyarakat Malaysia melalui perayaan Deepavali.


SURIA KLCC: PERSADA ISTANA DIRAJA DI PUSAT BANDAR

Dari 23 Oktober hingga 11 November 2026, Centre Court Suria KLCC akan diubah menjadi sebuah Persada Istana India yang memukau, diinspirasikan daripada seni bina tradisional istana diraja India. Ruang yang menawan ini menawarkan pengalaman seolah-olah melangkah masuk ke sebuah istana yang megah dan penuh keindahan.

Sepasang burung merak setinggi 10 kaki menghiasi pintu gerbang utama, manakala skrin LED serta elemen air menambahkan lagi kemegahan suasana. Di tengah-tengah ruang pameran pula tersergam sebuah pavilion yang menampilkan motif seni bina tradisional, ukiran kekisi keemasan yang halus serta sentuhan fabrik sutera berwarna-warni. Dengan suasana yang menyerlahkan keagungan sebuah istana diraja, ruang ini menjadi lokasi sempurna untuk merakam detik istimewa bersama keluarga dan insan tersayang.


Persada ini akan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional pada 1, 7 dan 8 November 2026. Para pengunjung boleh menikmati persembahan penuh warna-warni yang menampilkan gerak tari berirama dan ekspresi budaya yang mengagumkan.

Bagi mereka yang gemar aktiviti interaktif, Bengkel Menghias Tart Kolam oleh Flaaah akan berlangsung pada 31 Oktober serta 1, 8 dan 9 November 2026. Peserta berpeluang menghias Tart Kastard Masala Chai edisi terhad Flaaah dengan corak-colak berinspirasikan seni kolam. Sebagai pelengkap pengalaman, peserta juga boleh menikmati diskaun eksklusif 20 peratus untuk pembelian satu kotak penuh tart di cawangan Flaaah.


Selain itu, Bengkel Gubahan Bunga Kertas Pleines Natures oleh Yves Rocher pada 31 Oktober serta 1, 7 dan 8 November 2026 mengajak para pengunjung menghasilkan gubahan bunga daripada kad kertas sebelum melengkapkannya dengan semburan wangian terbaharu Yves Rocher daripada koleksi Pleines Natures. Bengkel ini menjanjikan pengalaman kreatif yang menyeronokkan dan merangsang deria.

Menurut Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, semangat Deepavali di Malaysia cukup sinonim dengan amalan rumah terbuka yang melambangkan keramahan dan keterbukaan.

"Perayaan Deepavali di Malaysia mengetengahkan amalan rumah terbuka, dengan pintu sentiasa terbuka, hidangan tersedia dan suasana yang mengalu-alukan. Itulah perasaan yang ingin kami terapkan di pusat membeli-belah kami. Sebuah persada istana ialah tempat tetamu diraikan, dan itulah pengalaman yang kami ingin tawarkan kepada pelanggan dan pengunjung. Sama ada menikmati persembahan tarian tradisional, menghias tart kolam atau merakam foto bersama keluarga, kami mahu setiap pengunjung berasa seperti tetamu kehormat, sama ada di Suria KLCC, Alamanda mahupun Mesra Mall," katanya.

Ganjaran Deepavali Suria KLCC Pelanggan yang berbelanja RM1,000 dan ke atas dalam dua resit layak menerima e-Voucher Membeli-belah Suria KLCC bernilai RM50, terhad kepada 300 penebusan pertama. Sementara itu, pelanggan yang membeli e-Voucher Membeli-belah Suria KLCC bernilai RM1,000 akan menerima e-Voucher tambahan bernilai RM100, terhad kepada 20 pelanggan pertama.

ALAMANDA SHOPPING CENTRE: SAMBUTAN PENUH WARNA-WARNI DI PUTRAJAYA

Dari 23 Oktober hingga 9 November 2026, Alamanda Shopping Centre akan dihiasi dengan kolam berwarna-warni yang diterangi lampu tradisional serta gerbang perayaan yang meriah. Dekorasi ini mewujudkan suasana penuh keceriaan bagi menghidupkan semangat Festival Cahaya.


Sepanjang tempoh kempen, jualan Green Ribbon Pin diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kesedaran kesihatan mental oleh Kumpulan Suria KLCC. Setiap pin yang dijual pada harga RM10 akan menyumbang secara langsung kepada NGO kesihatan mental, mencerminkan semangat berkongsi dan keprihatinan yang menjadi teras sambutan Deepavali.

Ganjaran Deepavali Alamanda Pelanggan yang berbelanja RM500 dan ke atas dalam sehingga dua resit akan menerima e-Voucher Alamanda bernilai RM30 berserta dua batang lilin wangi.

Ganjaran Pembeli Berbelanja Tinggi Mereka yang berbelanja RM1,500 dan ke atas dalam sehingga dua resit pula layak menerima e-Voucher Alamanda bernilai RM80 serta sepasang lilin wangi.

MESRA MALL: SAMBUTAN ALA ISTANA DI PANTAI TIMUR

Mesra Mall di Kemasik, Terengganu akan meraikan Deepavali dari 1 hingga 10 November 2026 dengan kawasan kaunter Concierge dihiasi berinspirasikan Persada Istana India.

Dekorasi ini menggabungkan elemen elegan bercirikan istana, motif tradisional, susunan bunga, warna-warna ceria dan pencahayaan hangat yang menghasilkan suasana mesra serta kaya dengan elemen budaya untuk dinikmati para pelanggan.

Sebagai sebahagian daripada Program Ganjaran Pelanggan Mesra Mall, 100 pelanggan pertama yang berbelanja RM350 dan ke atas dalam dua resit layak menebus Baucar Membeli-belah Mesra Mall bernilai RM30.

Comments

Popular posts from this blog