NADHIR NASAR, ERYSHA EMYRA DAN SOPHIA ALBARAKBAH TERAJUI VIU ORIGINAL BAYANGAN DENDAM


Viu, platform penstriman video terkemuka PCCW, tampil dengan siri Viu Original terbaharu berjudul Bayangan Dendam (Nowhere To Hide), sebuah drama misteri, jenayah dan percintaan sebanyak 12 episod yang mula ditayangkan pada 22 Oktober 2026. Episod baharu disiarkan setiap Khamis dan Jumaat, menjanjikan jalan cerita penuh debaran yang akan membuatkan penonton terus berteka-teki sehingga ke episod terakhir.

Drama ini menampilkan kemunculan sulung Nadhir Nasar dalam produksi Viu Original, bergandingan dengan Erysha Emyra yang sebelum ini membintangi Viu Original Satu Dua... Dia? serta Sophia Albarakbah menerusi Viu Original From Saga With Love. Mereka disokong oleh barisan pelakon lain seperti Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin, Mia Nasir, Faha Azhar dan Lan Siro.


Dibawakan khas oleh MILO®, Bayangan Dendam turut menyaksikan gandingan pertama dua duta rasmi jenama berkenaan, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra, dalam sebuah drama bersiri. Selepas bekerjasama dalam pelbagai kempen media, kedua-dua ikon belia itu kini dipertemukan menerusi watak utama yang sarat dengan konflik emosi, percintaan dan misteri.

Mengangkat tema persahabatan, pengkhianatan dan kematian misteri, drama ini mengisahkan dua sahabat baik, Melissa (Sophia Albarakbah) dan Ariana (Erysha Emyra), yang akrab sejak zaman persekolahan. Apabila teman lelaki Melissa, Farhan (Nadhir Nasar), melanjutkan pengajian ke luar negara, Melissa meminta Ariana yang berada di universiti sama untuk memerhati dan menjaga Farhan secara diam-diam. Namun, hubungan itu berubah apabila Ariana dan Farhan saling jatuh cinta.

 
Ketika Melissa cuba meneruskan kehidupannya selepas dikhianati, keadaan menjadi semakin rumit sehingga dia ditemui mati dalam satu kejadian yang pada awalnya disangka sebagai bunuh diri. Dengan Ariana, Farhan dan individu di sekeliling mereka masing-masing menyimpan rahsia tersendiri, setiap seorang menjadi suspek dalam misteri tersebut. Persoalan utama yang menghantui semua pihak ialah siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab atas kematian Melissa.


Berdasarkan konsep asal oleh Viu, Bayangan Dendam merupakan terbitan thriller sulung Global Film Station dengan kerjasama Viu dan diarahkan oleh Helmi Yusof. Drama ini turut menandakan perubahan arah kreatif buat pengarah tersebut yang sebelum ini lebih dikenali menerusi karya komedi seperti Viu Original Abang Imam Minah Skuter dan Ate Kome, I Love You, kepada sebuah naskhah yang lebih gelap, mendebarkan dan penuh ketegangan.

Comments

Popular posts from this blog