10 TEMPAT MENARIK UNTUK DIINSTAGRAMKAN DI SELANGOR

Sky Mirror @yusriuse 

Zaman sekarang dengan adanya telefon pintar yang canggih lagi-lagi kualiti kamera yang semakin hari semakin bertambah baik, tak sah kalau tak ambil gambar jika pergi melancong ke mana-mana tempat sekalipun. Asalkan tempatnya nampak cantik dan menarik, pasti para igers tidak melepaskan peluang emas tersebut.

Jika di Pulau Pinang banyak tempat yang cantik untuk diambil gambar, jangan fikir Selangor tiada! Selangor adalah negeri yang penuh dengan warna-warni dimana banyak pembangunan moden dan alam semula jadi yang boleh diterokai. Oleh itu, jimatkan masa anda dan kunjungilah tempat pilihan kami untuk dilawati, dan kunjungan anda pasti akan berakhir dengan kenangan yang cukup manis!

Batu Caves  @mariefeandjakesnow

1. Batu Caves, Gombak 
272 tangga berwarna-warni yang memukau mata pengunjung Tarikan yang dijangka menarik 1.6 juta pelancong ini mempunyai ciri-ciri keunikannya tersendiri iaitu “Rainbow Staircase” yang mempunyai 272 anak tangga berwarna-warni menuju ke Kuil Sri Subramaniam yang berada di dalam gua tersebut. Pelbagai sudut boleh diambil mengikut penceritaan juru gambar kerana di sana terdapat banyak objek yang boleh dijadikan seribu satu kisah. Batu Caves ini bukan sahaja menjadi tempat beribadat tetapi merupakan salah satu tempat pelancongan yang popular di Selangor. Selain itu, bagi pelancong yang ingin melawat ke tempat tersebut, anda boleh bersiar-siar di sekitar kawasan Batu Caves kerana terdapat kedai-kedai cenderamata yang menarik. Setelah penat berjalan, anda boleh singgah di Mel’s Corner yang menyajikan cendol durian yang terkenal di sekitar Gombak!


Broga Hill @steffisupang

2. Bukit Broga, Semenyih 
Pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan Bukit yang popular di kalangan anak muda ini mempunyai pemandangan yang sangat indah terutamanya pada waktu matahari terbit dan terbenam. Kepada mereka yang baharu menjinak-jinakkan diri dalam aktiviti mendaki, bukit ini adalah destinasi yang sesuai untuk mendaki kerana laluannya tidak terlalu mencabar. Namun, anda perlu berhati-hati sekiranya cuaca hujan kerana laluannya akan menjadi licin. Bukit Broga ini juga dikenali sebagai Bukit Lalang oleh penduduk tempatan yang tidak jauh dari bandar Semenyih. Sekiranya mempunyai cuaca yang baik, anda akan berpeluang untuk melihat Menara Kuala Lumpur dari ketinggian 1312 kaki paras laut.


Laman Seni @bambamk_ 

3. Laman Seni Seksyen 7, Shah Alam
Kesenian lukisan pada dinding (Mural) dari pelukis tempatan yang berbakat Laman Seni merupakan salah satu seni lorong yang berada di lorong belakang premis perniagaan di Seksyen 7. Tempat ini telah menjadi tempat pilihan orang ramai untuk menangkap gambar bersama mural yang telah dihasilkan oleh para pelukis tempatan. Laman ini menjadi tarikan kerana keunikan lukisan seperti lukisan 3D yang mampu memperdaya mata pengunjung. Sekiranya anda datang ke sini, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan berlatarkan mural-mural yang cantik ini. Untuk pengetahuan anda, tempat ini bukan sahaja boleh mengambil gambar tetapi pengunjung juga boleh membeli belah di sekitar premis perniagaan di sana, seperti JAKEL, Babah & Co, Wong Solo, Ayam Gepuk Pak Gembus Seksyen 7 Shah Alam, dan kedai kedai pakaian yang menarik!


I-city @nureaian.k

4. I-City Shah Alam 
Terkenal dengan pohon maple dan pine palsu serta bunga-bunga lampu LED Bagi mereka yang meminati bergambar dalam low light mode, I-City Shah Alam adalah tempat yang sesuai kerana mempunyai pohon maple dan pine palsu serta bunga-bunga lampu LED yang sungguh menakjubkan. Bukan itu sahaja, I-City Shah Alam juga terdapat banyak tarikan seperti Snowalk, Trick Art Museum, Red Carpet iaitu muzium lilin dan House of Horror. Snowalk ini merupakan rumah salji yang suhu sejuknya dibawah 5 darjah Celsius. Trick Art Museum pula mempunyai lukisan 3D yang membuatkan anda untuk beraksi ketika mengambil gambar. Selain itu, Red Carpet adalah sebuah museum lilin yang terbesar di Malaysia yang mempamerkan patung lilin orang-orang kenamaan dan selebriti dunia. Tambahan pula, di sana juga terdapat rumah hantu yang sungguh menyeramkan iaitu House of Horror. Anda pasti tidak akan rugi sekiranya datang ke sini!


MSSAS  @humminglion

5. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam
Seni bina masjid berunsurkan ciri-ciri kemelayuan dan moden yang mempersona mata pengunjung Masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Biru ini adalah salah satu struktur yang paling menakjubkan di Malaysia dengan seni bina ruang dalaman yang mempamerkan ciri-ciri moden dan kemelayuan. Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, pengunjung seringkali menangkap gambar di kawasan ruang legar tingkat dua masjid kerana ruangan tersebut akan memantulkan bayangan pada lantai dan terhasilnya ilusi yang menakjubkan. Kubah masjid tersebut adalah salah satu kubah yang terbesar di dunia. Selain itu, terdapat pemandu pelancong yang digelar sebagai Mosque Tour Guide Islamic Outreach ABIM oleh para sukarelawan di masjid tersebut.


Sekinchan @izzahhali 

6. Sekinchan Paddy Field
Suasana sawah padi terbentang luas seperti tiada penghujungnya Di Sekinchan, terdapat sawah padi yang luas dan tempat tersebut menjadi destinasi pengunjung untuk mengambil gambar kerana panoramanya yang cukup mempersonakan. Keindahan sawah padi berwarna kuning kehijauan dan juga langit biru itu berjaya menarik minat para pelancong untuk mengambil gambar dengan pemilihan sudut yang tepat! Sekinchan juga berdekatan dengan ladang buah buahan seperti ladang mangga, dan terkenal dengan makanan seafood. Jadi, sekiranya anda ke sana, pasti anda tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan!


Tamarind Square @mohdsyafiqhaiqalla 

7. Tamarind Square, Cyberjaya
Bercirikan moden kehijauan Tamarind Square adalah salah satu tempat yang menarik kerana tempat yang bercirikan kehijauan flora di sekeliling dinding bangunan yang sangat sesuai bagi mereka yang gemar mengambil gambar. Anda juga boleh menempah ruang di Tamarind Square sekiranya anda ingin membuat acara seperti majlis kahwin. Ruang tersebut memuatkan seramai 250 hingga 1,000 pax. Jika anda seorang ulat buku, anda boleh singgah sebentar di kedai buku “BookXcess” yang menyediakan ruang membaca mengikut tema santai. Tamarin Square mempunyai kedai makan hipster seperti Glaze Eatery dan 10 gram Café! Di sana, anda boleh mengambil gambar makanan secara flatlay dan berkongsikan kepada rakan anda di Instragram.

Skymirror  @yukichinotabi

8. Sky Mirror Kuala Selangor
Keunikan semulajadi yang menakjubkan terhasil daripada refleksi antara langit dan permukaan air Skymirror di Kuala Selangor menjadi destinasi bagi para pelancong terutamanya dari Hong Kong, Taiwan dan China. Tempat ini sangat menakjubkan kerana fenomenanya iaitu pantulan imej di permukaan air seakan-akan di Bolivia, Amerika Selatan. Skymirror dibuka pada 7.30 hingga 10.30 pagi kerana air laut mulai surut pada waktu tersebut. Perjalanannya memakan masa 30 minit sehingga 45 minit untuk sampai di beting pasir yang terletak di tengah laut dengan menaiki bot laju. Walaupun bayaran tiketnya agak mahal iaitu RM80/ seorang dewasa dan RM40/ seorang kanak-kanak, namun ianya masih berbaloi kerana fenomena tersebut tidak berlaku di mana-mana tempat selain Kuala Selangor itu sendiri. Anda boleh mengambil gambar dengan pelbagai posing yang anda mahukan dan bersama patung-patung figura. Semestinya sangat berbaloi!


Empire Damsansara  @fikrasgram

9. Empire Damansara, Petaling Jaya
Reka bentuk bangunan hipster dan moden sesuai mengikut citarasa golongan muda Di Empire Damansara ini menjadi pilihan pengunjung tempatan menjalankan aktiviti santai bersama rakan-rakan kerana seni binanya yang moden. Empire Damansara mempunyai beberapa mural sesuai untuk mereka yang suka bergambar. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengambil gambar di pintu masuk Damansara Performing Arts Centre kerana terdapat beberapa seni yang cantik seperti gambar di atas. Bagi mereka yang gemarkan makanan manisan, anda boleh singgah di Epique, Seven Cups, dan Haraju-Cube. Lokasinya tidaklah berbegitu mudah untuk ditemui, bangunannya berhadapan dengan Menara Mustapha Kamal dan berdekatan dengan lebuh raya LDP.

Eco Ardence @fariddaniell 

10. Eco Ardence, Maya Park
Keunikan pusat membeli belah dan restoran yang dibina di dalam kontena secara bertimbun Eco Ardence Maya Park menjadi tempat pilihan terutamanya pengunjung tempatan untuk bersantai kerana suasananya yang cukup santai. Di sini juga menjadi kegemaran orang ramai terutamanya orang muda untuk bergambar berlatar belakangkan kontena berwarna-warni berkonsepkan minimalis. Dalam santai-santai, terdapat padang futsal di hadapan tasik yang kerap mendapat sambutan dari golongan anak muda. Kedai makan juga turut boleh dikunjungi seperti Bamboo Biryani “Taste & See”, Aroi Mak Mak, Chaiwalla & Co. Container Café, Heritage Nyonya Cuisine dan Let’s Joy Café. Tempat ini sangat sesuai bagi food hunter dan igers.

Dari alam semula jadi yang indah hingga pembangunan moden di negeri Selangor ini, pilihan ini benar-benar merupakan destinasi impian untuk jurugambar.

Jika ingin tahu destinasi selain daripada pilihan-pilihan di atas, anda boleh kunjungi Instagram Tourism Selangor iaitu @discoverselangor dan apabila anda sudah “#OOTD”, jangan lupa untuk hashtag #DiscoverSelangor dan #TakeMeAnyWhere!

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3