DAYANG NURFAIZAH KEKAL RELEVAN DENGAN KONSERT SOLD OUT DI IB



Diadakan sehari selepas hari jadinya yang ke-38 yang jatuh pada tanggal 20 Julai, Konsert Dayang Dua Dekad (DDD) menjadi satu acara simbolik bagi Dayang Nurfaizah untuk meraikan penglibatannya di dalam industri seni suara di Malaysia bersama-sama para peminatnya. Pentas bertaraf dunia, Panggung Sari Istana Budaya dijadikan arena untuk mempersembahkan semula lagu-lagu hits yang dikumpul sejak dua dekad yang lalu.  


Setelah menjuarai Golden Teen Search (RTM) pada tahun 1997, Dayang memulakan kerjayanya sebagai penyanyi rakaman pada tahun 1999, dengan album sulung yang berjudul Dayang Nurfaizah. Dalam tahun 2001, album keduanya mendapat sambutan yang luar biasa dan melahirkan Juara Lagu pada tahun yang sama dengan Seandainya Masih Ada Cinta. 

Sehingga sekarang Dayang masih kekal relevan di dalam industri muzik dengan menggondol beberapa anugerah muzik yang berprestij termasuklah Vokal Terbaik tiga tahun berturut-turut (AJL29, AJL30 & AJL31), Juara AJL31 & AJL33, Tempat Ketiga AJL29, Vokal Wanita Terbaik AIM20, Artis Wanita Terbaik APM 2017, Lagu Terbaik Malaysia APM 2017 dan sebagainya.


Tiket-tiket konsert DDD ini telah habis dijual sejak Februari lalu, menandakan kepopularitian penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang masih di kemuncak dengan mendapat sokongan yang padu daripada peminat-peminat lama dan baru. Lebih-lebih lagi, apabila sebahagian besar lagu-lagu daripada album eponim terbarunya digunakan sebagai runut bunyi di dalam filem dan siri drama televisyen


Tirai Konsert DDD dibuka dengan alunan acapela "Tak Pernah Menyerah" sebelum diiringi penuh oleh kumpulan pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Genervie Kam. Suara lunak yang berkumandang tanpa muzik disambut oleh sorakan dan tepukan dari setiap penjuru Istana Budaya.   

Mood lagu "patah hati" dikekalkan dengan dendangan lagu-lagu Dayang yang pernah memasuki carta muzik popular suatu masa dahulu seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Mana Mungkin, Erti Hidup, Sedingin Mana Cintamu dan Separuh Mati Ku Bercinta.


Setelah menyanyikan deretam lagu "patah hati" bak kata Dayang, beliau meningkatkan tempo dan mengajak penonton menari dengan medley Bahagia/ Inginku Miliki/ Sayang. Persembahan diteruskan dengan sebuah medley lagu-lagu lama yang masih menjadi kegemaran peminat-peminat tegarnya - Coretan Cinta/ Kasih Maafkan/ Andai Ku Tahu.


Dalam celotehnya, Dayang membawa penonton pulang ke 20 tahun yang lampau di mana Hakikat Cinta telah dirakamkan. Suatu permulaan yang bermakna dan sukar dilupakan bagi beliau. 

Lagu hit, Pintaku Yang Terakhir juga berjaya diselitkan ke dalam senarai lagu konsert DDD.  


Walaupun Pejamkan Mata, lagu kolaborasi Dayang dengan Malique dinyanyikan secara solo, Dayang membuat sedikit kejutan dengan membawa Hael Hussaini ke pentas untuk berduet dalam lagu Haram, sebuah kolaborasi yang mantap dari mereka berdua. Persembahan lagu Haram yang merupakan pemenang Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) mendapat tepukan gemuruh dari lebih 1,000 penonton di Istana Budaya. 


Pada segmen seterusnya, Dayang menyanyikan empat buah lagu klasik kegemarannya iaitu Sejak Ku Bertemu Pada Mu (nyanyian asal Sanisah Huri), Jangan Tenung-Tenung (Nona Asiah dan Zaleha Hamid), Mari Jalan Bersama (Saloma) dan Bunga Anggerik (Latifah Omar). 

Lagu OST filem Pulang, Layarlah Kembali diberikan susunan muzik baru yang lebih "soulful" dan segar. Ia disusuli oleh lagu single terbaru Dayang yang berjudul Sebentar, satu kolaborasi dengan syarikat muzik milik Faizal Tahir. Lagu yang bermesej positif ini sedang rancak diputarkan di corong radio dan platform striming. 

Selepas menyanyikan lagu berhantu Di Pintu Syurga, Dayang berseloroh dengan mengucapkan selamat tinggal kepada penonton dan meninggalkan pentas. Dayang kembali ke pentas dengan membawakan dua lagu encore iaitu Lelaki Teragung dan lagu signatur yang menjadi sinonim kepada insan bernama Dayang Nurfaizah - Dayang Sayang Kamu.


Secara keseluruhannya konsert Dayang Dua Dekad yang berdurasi dua jam ini berjaya  memukau penonton dengan akrobatik vokal dan lagu-lagu “Greatest Hits” dari beliau. Dari segi vokal, memang tiada apa yang boleh dipertikaikan tentang kebolehan Dayang. Dayang tampak lebih yakin berinteraksi dengan penonton dengan gaya dan gurauan yang bersahaja.   

Dari segi teknikal, persembahan visual DDD agak kurang menyerlah - montaj paparan LED nampak janggal dan tidak kena dengan lagu yang dinyanyikan. Begitu juga dengan penataan cahaya lampu yang juga kelihatan biasa-biasa sahaja. Mungkin fokusnya tidak di situ, tetapi pentas yang gah seperti Istana Budaya harus digunakan sepenuhnya bagi memberikan impak persembahan yang tidak dapat dilupakan oleh peminat-peminat.

Apa yang menjadi tanda tanya sekarang, adakah dengan kejayaan konsert sold out DDD ini, konsert Dayang yang berikutnya akan diadakan di lokasi yang lebih besar, berskala stadium? Adakah Dayang bersedia untuk melangkah keluar dari "zon selesa" dan membuat breakthrough agar kekal relevan dua puluh tahun akan datang? 



Konsert DDD dibawakan oleh Shiraz Projects & DTA Fashion.

Senarai Lagu Dayang Dua Dekad.

1. Tak Pernah Menyerah
2. Seandainya Masih Ada Cinta
3. Mana Mungkin
4. Erti Hidup
5. Sedingin Mana Cintamu
6. Separuh Mati Ku Bercinta
7. Bahagia/ Inginku Miliki/ Sayang 
8. Coretan Cinta, Kasih Maafkan , Andai Ku Tahu
9. Pejamkan Mata
10. Hakikat Cinta
11. Pintaku Yang Terakhir
12. Haram (duet bersama Hael Hussaini)
13. Kembalilah Sayang
14. Sejak Ku Bertemu Padamu/ Jangan Tenung-tengung/ Jalan Bersama/ Bunga Anggerik
15. Layarlah Kembali
16. Sebentar
17. Di Pintu Syurga

Encore
18. Lelaki Teragung
19. Dayang Sayang Kamu

Photo ihsan: Echolalia Pictures & Shiraz Project

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!