MENCARI RAHMAT - FILEM ADAPTASI KARYA AGUNG OSCAR WILDE

 


MENCARI RAHMAT Inspirasi Daripada Naskah Terkenal Oscar Wilde ‘The Importance Of Being Earnest’ Oscar Wilde merupakan seorang pengarang kelahiran Ireland yang cukup terkenal dan salah satu naskhahnya yang cukup popular adalah The Importance Of Being Earnest dan pernah dipentaskan pada tahun 1895 di St. James's Theatre, London. 

Ia merupakan sebuah naskhah komedi yang cukup terkenal iaitu mengisahkan tentang dua orang lelaki iaitu John Worthing dan Algernon Moncrieff yang mempunyai identiti khayalan masing-masing. Dilihat sebagai sebuah karya yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri ternyata telah memberi ilham kepada pengarah Al Jafree Md Yusop untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Mencari Rahmat yang merupakan inspirasi daripada naskhah terkenal Oscar Wilde itu. 

“Sebenarnya keinginan untuk menghasilkan filem ini timbul setelah saya membaca naskhah hasil karya Oscar Wilde ini pada tahun 1981. “Saya menganggap bahawa naskhah The Importance Of Being Earnest ini ternyata sangat menarik, terutama sekali subjeknya sangat relevan dan begitu sesuai pada masa sekarang ini,” ujarnya. 

Mencari Rahmat menampilkan dua orang pelakon hebat tanah air selaku tunjang utama iaitu Nam Ron dan Amerul Affendi. Selain itu, turut membintangi filem berkenaan antaranya seperti Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi. 

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan filem ini , Al Jafree memberitahu antara cabaran yang dilaluinya apabila skripnya mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan. “Proses penggambaran filem ini hanya mengambil masa sekitar 10 hari dan proses rehearsal bersama-sama pelakon pula adalah selama sebulan. 

“Bagaimanapun, proses penghasilan skrip ini mengambil masa selama 10 tahun kerana kesukaran mengadaptasikan karya Oscar Wilde ini ke dalam Bahasa Melayu,” ujarnya tentang pembikinan filem sulung arahannya itu. 

Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula, beliau mengatakan barisan pelakon dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang luas dalam pentas teater. “Watak-watak dan lakonan dalam filem ini menuntut mereka mempunyai pengalaman teater kerana dialognya yang panjang dan cara ‘blocking’ filem ini diambil. 

“Jadi, agak sukar untuk membariskan pelakon-pelakon yang tiada pengalaman teater untuk membintangi filem ini,” jelasnya. Dalam pada itu, Al Jafree meletakkan harapan agar filem sulungnya ini akan mendapat sambutan penonton. 

“Kalau mengikut kepada sesi tayangan yang pernah dibuat sebelum ini pada tahun 2018, ia mendapat sambutan baik di semua lokasi. “Maka, sudah tentu saya berharap agar filem Mencari Rahmat ini turut mendapat yang sama apabila ditayangkan di pawagam nanti,” ujarnya. 

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Nam Ron berkata, dia tertarik untuk terlibat dalam pembikinan filem berkenaan kerana kelainan terhadap watak yang dibawakan serta jalan ceritanya yang menarik. 

Menurutnya, untuk filem ini ia sepenuhnya bergantung kepada lakonan dalam ‘menghidupkan’ watak yang dibawakannya itu. “Kelainan watak saya kali ini adalah ia sebuah filem yang bergerak atas ‘performance’, makannya ia berteraskan kepada ‘performance base’. 

“Dalam filem ini, pelakon memainkan peranan sangat penting untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton,” jelasnya. Mengenai kerjasama dengan Al Jafree pula, dia melihat pengarah berkenaan sangat mementingkan lakonan yang mantap daripada para pelakon supaya setiap watak itu dapat memberikan impak kepada penonton. 

Filem Mencari Rahmat akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 31 Disember 2020. 

Sinopsis 

Razak seorang ahli perniagaan yang berjaya yang tinggal di Penang. Dia seorang yatim piatu yang diambil sebagai anak angkat oleh Tan Sri Omar dan Puan Sri Jamilah kerana mereka tiada anak lelaki. 

Apabila Tan Sri Omar an isterinya meninggal dalam satu kemalangan Razak telah diwasiatkan menjaga cucu perempuannya Ratna, 19 yang juga telah kehilangan ibu dan bapanya. 

Razak ialah seorang yang suka berfoya-foya, berparti liar tapi pada masa yang sama dia juga perlu menunjukkan teladan yang baik pada Ratna. Oleh itu dia mencipta seorang adik bernama Rahmat yang kononnya banyak masalah dan tinggal di Kuala Lumpur. Dia terpaksa selalu ke KL untuk menyelamatkan adiknya Rahmat. Itulah alasan Razak supaya dia dapat berparti di KL. 

Azman pula ialah seorang pemuda yang juga yatim piatu. Dia dibela oleh makciknya Datin Azizah dan suaminya Datuk Zainal. Datin Azizah mempunyai seorang anak perempuan bernama Rose. Rose ialah teman wanita Razak. Azman yang bosan duduk di rumah itu telah mencipta seorang kawan bernama Bunyamin. 

Mengikutnya Bunyamin selalu sakit dan dia terpaksa melawat Bunyamin untuk menjaganya. Ini adalah kerana Bunyamin pernah selamatkan nyawanya ketika sama-sama belajar di UK dulu. Itu pula adalah alasan Azman supaya dia boleh keluar dari rumah itu untuk berparti. 

Untuk mengetahui kisah selanjutnya tentang Razak dan Azman, jangan lupa saksikan filem Mencari Rahmat di pawagam seluruh negara pada 31 Disember 2020. 

Barisan Pelakon 
Nam Ron sbg Razak 
Amerul Affendi sbg Azman 
Sharifah Amani sbg Ratna 
Nadia Aqilah sbg Rose 
Adibah Noor sbg Datin Azizah 
Fauziah Nawi sbg Makcik Normah 
Eric Fuzi sbg Reza 
Azman Hassan sbg Mokhtar 

Dipersembahkan oleh : AB Roll Sdn Bhd 
Penerbit Eksekutif : Siti Marzuliana, Sazrul Yacub, Madnor Kassim 
Penerbit : Zuli Ismail 
Pengarah : Al Jafree Md Yusop 
Skrip : Al Jafree Md Yusop 
Cerita Asal : The Importance of being Earnest by Oscar Wilde (Adaptasi) Pengurus Produksi : Fitrine Abas 
Pengarah Fotografi : Madnor Kassim 
Penyunting : Aliff Ihsan Rahman, A Samad Hassan 
Kesan visual & Animasi : Play Box Sdn Bhd 
Muzik Skor : Pacai @ Dr Syed Ahmad Faizal Alattas 
Penata Bunyi : Terry Ezekiel 
Pereka Busana : Bobo Kama 
Penata Tatarias : Bobo Kama 
Jurugambar : Ted Adnan

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA