NOVEMBER - BULAN KESEDARAN KANSER PARU-PARU SEDUNIA



Sempena Bulan Kesedaran Kanser Paru-Paru Sedunia yang akan disambut pada bulan November, Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM), Persatuan Onkologi Malaysia (MOS), dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), dengan kerjasama AstraZeneca Malaysia dan Roche Malaysia ingin memperkasa rakyat Malaysia, terutamanya pesakit kanser paru-paru dan golongan berisiko tinggi, dengan pengetahuan mengenai kanser paru-paru yang lebih mendalam dan seterusnya dengan tahap kesedaran yang lebih tinggi ini membawa kepada diagnosis yang lebih awal, dan rawatan yang tepat dan segera. 

Kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling lazim di Malaysia[1]. Ia juga telah lama dianggap sebagai antara kanser paling berbahaya di seluruh dunia[2] kerana penyakit ini tidak mudah untuk dikesan pada peringkat awal. Malahan, 93% daripada lelaki dan 92% daripada wanita yang menghidap kanser paru-paru dikesan pada tahap 3 dan 41. Pada tahap ini, sel kanser sudah pun merebak ke bahagian paru-paru yang berbeza, nodus limfa[3], dan juga mungkin ke organ yang lain,[4] dan menyebabkan komplikasi berlainan. 

Pengesanan awal boleh membawa perbezaan ketara kerana ia memberikan peluang kepada pesakit untuk mendapat rawatan segera bagi memperlahankan penularan kanser paru-paru, mengurus keadaan mereka dengan lebih baik, hidup lebih lama dan mempunyai kehidupan yang lebih berkualiti. 

Simptom kanser paru-paru, terutama sekali pada peringkat awal, bukan mudah untuk dikenal pasti. Simptomnya juga sangat biasa seperti batuk yang berterusan, sakit dada, susut berat badan, dan juga sesak nafas[5]. Simptom-simptom ini sering dipandang ringan serta dianggap sebagai penyakit biasa yang disebabkan oleh stres atau gaya hidup yang kurang aktif. Malangnya, ramai juga yang tidak mengenali simptom-simptom tersebut sebagai petanda penyakit yang lebih serius. 

Menekankan betapa pentingnya kesedaran mengenai kanser paru-paru, Dr. Anand Sachithanandan, pakar bedah kardiotorasik dan pengasas bersama LCNM berkata, “Kanser paru-paru bukan lagi masalah bagi perokok lelaki sahaja. Penyakit ini semakin lazim dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadi, masyarakat harus tahu bahawa kanser paru-paru boleh dicegah dan dirawat jika dikesan pada tahap awal. Malangnya, kami mendapati bahawa ramai pesakit yang dikesan pada tahap lanjut, tidak pernah terfikir yang mereka berisiko menghidapi kanser paru-paru. Disebabkan itu, kami ingin bekerjasama dengan pakar onkologi dari MOS dan kumpulan sokongan kanser seperti NCSM untuk melancarkan kempen “Knowing Lung Cancer.” 

Kempen “Knowing Lung Cancer”, yang sudah dilancarkan pada bulan Ogos, merupakan satu kempen pendidikan integrasi untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser paru-paru di kalangan masyarakat, dan menggalakkan pesakit kanser paru-paru, golongan berisiko tinggi, dan penjaga mereka untuk berbincang mengenai kanser paru-paru dengan lebih terbuka. Melalui saluran media sosial, kempen ini juga bertujuan untuk menggalakkan perbincangan mengenai diagnosis awal kanser paru-paru dan juga rawatan segera. 

Kempen ini akan menawarkan kandungan pendidikan mengenai kanser paru-paru serta sokongan bagi mereka yang menghidap penyakit ini di laman Facebook dan Instagram LCNM. 

Sebagai penganjur kempen ini, LCNM, MOS, dan NCSM berharap dapat meningkatkan tahap pemahaman dan menggalakkan perbincangan mengenai kanser paru-paru di kedua-dua platform yang popular tersebut. 



“Melalui kempen ini, kami berharap lebih banyak perbincangan berlaku antara golongan berisiko tinggi dengan doktor mereka yang berperanan membantu golongan berisiko tinggi atau pesakit kanser paru-paru untuk mendapatkan diagnosis awal dan rawatan segera” tambah Dr. Anand. 

“Ianya penting untuk kita mempertingkatkan perbincangan mengenai kanser paru-paru di negara ini. Ramai orang menganggap kanser sebagai satu perkara yang memalukan untuk dibincangkan secara terbuka. Kita perlu menukar persepsi ini dengan segera demi membina sebuah masyarakat yang lebih peka terhadap simptom-simptom kanser paru-paru supaya diagnosis awal dan rawatan segera boleh berlaku,” tambah Dr. Anand lagi. 

Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar, Presiden MOS dan Pakar Perunding Onkologi pula berkata, “Melalui kempen ‘Knowing Lung Cancer’, kami berharap dapat memperkasa masyarakat dengan pengetahuan mengenai rawatan kanser dan cara hidup seseorang yang menghidapi penyakit ini. Bidang perubatan telah berkembang dengan pesat, dengan terhasilnya rawatan baru bagi kanser paru-paru, seperti imunoterapi dan terapi sasaran. Kemajuan ini telah membawa kesan positif dalam usaha memberikan prognosis dan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk pesakit kanser paru-paru.” 

Selain daripada itu, kempen ini juga akan menangani isu-isu lain yang lazim di kalangan pesakit kanser paru-paru. Antaranya termasuklah cara menangani diagnosis kanser paru-paru, kesihatan mental untuk pesakit kanser paru-paru dan penjaga mereka, serta cara memilih rawatan yang paling sesuai bagi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik. LCNM, MOS, dan NCSM berharap untuk memperkasa rakyat Malaysia dalam membuat pilihan yang bijak bagi menangani kanser paru-paru. 

“Sokongan kanser seringkali dipandang remeh oleh kebanyakan orang, terutamanya pesakit kanser ataupun ahli keluarga mereka. Walaupun diagnosis awal dan rawatan segera adalah penting, pesakit kanser juga memerlukan sokongan emosi. Pemikiran positif adalah sangat penting dan boleh membawa perbezaan yang besar, bukan hanya dalam perjuangan mereka melawan kanser, tetapi juga untuk penjaga mereka. Kami sangat menghargai sokongan hebat yang kami terima melalui hubungan kerjasama ini kerana ia membolehkan kami membantu lebih ramai pesakit kanser di negara kita,” kata Dr. Saunthari Somasundaram, Presiden NCSM. 

“Di AstraZeneca, kami tekad untuk mewujudkan ekosistem yang holistik yang merangkumi keseluruhan perjalanan kanser paru-paru, dari segi mewujudkan kesedaran sehingga ke pengurusan rawatan kanser paru-paru. Kami percaya kolaborasi ini adalah satu langkah yang baik untuk mencapai aspirasi tersebut. Kami berharap kempen ‘Knowing Lung Cancer’ akan memperkasa lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk menawan kanser paru-paru melalui pengesanan awal dan rawatan segera,” jelas Dr. Sanjeev Panchal, Presiden AstraZeneca Malaysia. 

“Kami di Roche sangat gembira menjadi sebahagian daripada perkongsian strategik ini dan bertekad untuk membawa transformasi dalam kehidupan para pesakit dan juga memajukan inovasi untuk masa hadapan. Kempen ini sememangnya satu kolaborasi yang bermakna kerana kita semua memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang kanser paru-paru dan mengetengahkan kepentingan mendapatkan diagnosis awal dan rawatan segera untuk memberikan pesakit peluang yang terbaik. Ini selaras dengan tujuan kami di Roche: Doing now what patients need next (Lakukan sekarang apa yang pesakit perlukan kemudian). Para pesakit tetap dan akan kekal menjadi teras bagi setiap pergerakan kami. Jadi, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi bagi memberikan hasil yang terbaik untuk para pesakit dan masyarakat kita,” kata Dr. Charles Li, Pengarah Perubatan di Roche Malaysia. 

Ikuti Lung Cancer Network Malaysia di Facebook dan @lungcancernmsia di Instagram untuk maklumat lanjut mengenai #KnowingLungCancer. Maklumat mengenai kanser paru-paru juga boleh didapati pada laman web LCNM (https://lungcancer.net.my/).

[1] Ministry of Health. Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016. (pg. 17, 39)

[2] World Health Organisation. Cancer. Available on https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer (Last retrieved 4 August 2020)

[3] Cancer Research UK. Lung Cancer – Stage 3. Available on https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/lung-cancer/stages-types-grades/stage-3 (Last retrieved 4 August 2020)

[4] Cancer Research UK. Lung Cancer – Stage 4. Available on: https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/lung-cancer/stages-types-grades/stage-4 (Last retrieved 4 August 2020)

[5]  American Cancer Society. Signs & Symptoms of Lung Cancer. Available on https://www.cancer.org/cancer/lung-cancer/detection-diagnosis-staging/signs-symptoms.html (Last retrieved 4 August 2020).

 

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

KECUT PERUT, PECAH PERUT DENGAN ‘DON DUKUN’: ZUL ARIFFIN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

TOURISM SELANGOR MENGADAKAN SELANGOR TRAVEL FAIR SEMPENA TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025