IMUNISASI MATERNAL MELINDUNGI BAYI DARIPADA BATUK KOKOL



Di kala peningkatan pandemik Covid-19, kita diingatkan bahawa kita mesti, lebih-lebih lagi pada masa ini, menangani penyakit cegahan vaksin (VPD) lain yang mengancam nyawa seperti pertussis (batuk kokol), yang mudah untuk kita berikan perlindungan kepada kumpulan paling berisiko iaitu bayi daripada penyakit ini. Imunisasi Maternal (MI) - telah disebut oleh pakar-pakar perubatan sebagai kaedah pencegahan paling selamat dan berkesan untuk melindungi bayi daripada VPD yang mudah berjangkit, sekaligus menyelamatkan nyawa.

Kempen kesedaran bertema Protect Me, To Protect My Baby (Lindungi Saya, Untuk Melindungi Bayi Saya) telah diperkenalkan oleh pakar-pakar obstetrik dan ginekologi untuk memberi tumpuan kepada betapa berat dan seriusnya pertussis (batuk kokol) pada bayi serta kepentingan MI dalam melindungi bayi daripada VPD seperti ini. Oleh itu, buat pertama kali di Malaysia, vaksin Tdap 3-dalam-1 (tetanus-difteria-pertussis) telah diluluskan untuk diberikan kepada ibu hamil semasa trimester kedua dan ketiga, bagi melindungi bayi baru lahir pada saat mereka paling berisiko, sebelum vaksinasi aktif pertama mereka bermula pada usia 2 bulan.

“Imunisasi maternal ini tidak dibincangkan secukupnya sebagai langkah paling selamat dan berkesan untuk melindungi bayi kita daripada penyakit yang boleh mengancam nyawa mereka,” kata Dr Patricia Lim Su-Lyn, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di sektor swasta. “Apabila seseorang ibu hamil diberikan vaksinasi, badannya akan dilindungi, perlindungan ini kemudiannya akan diturunkan kepada bayi, dan apabila dilahirkan bayi ini sudah mempunyai sedikit perlindungan terhadap penyakit seperti pertussis (batuk kokol), difteria dan tetanus.


“Kami melihat betapa perlunya pendidikan mengenai imunisasi maternal untuk semua ibu hamil di luar sana yang sanggup melakukan segala yang mereka boleh bagi memastikan si kecil kesayangan selamat dan sihat, termasuklah mengambil vaksinasi supaya bayi yang dilahirkan mendapat perlindungan awal,” tambah Dr Patricia.

Vaksin Tdap 3-dalam-1 yang kini diluluskan untuk ibu hamil telah menunjukkan penurunan morbiditi dan mortaliti yang signifikan pada bayi. Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), bersama pelbagai negara di seluruh dunia, menyarankan agar semua ibu hamil menerima satu dos vaksin Tdap, yang paling baik diberikan ketika umur kehamilan antara 27-36 minggu, kerana ia mengurangkan sehingga lebih 90% risiko bayi mendapat jangkitan pertussis (batuk kokol) dan mengurangkan sebanyak 95% kematian yang disebabkan pertussis (batuk kokol) pada bayi berumur tiga bulan dan ke bawah1,2,3 (WHO VPDs monitoring system, 2020 global summary - sistem pemantauan VPD WHO, rumusan global 2020). Beban pertussis di peringkat global bagi bayi yang berumur di bawah 1 tahun (anggaran 2014) adalah 5.1 juta kes, dengan 50% daripadanya memerlukan kemasukan ke hospital dan 85,900 kematian berkaitan pertussis.

Dr Patricia juga mengakui pertussis (batuk kokol) sebagai masalah yang membimbangkan. “Insiden di Malaysia telah meningkat dengan komplikasi berkaitan pertussis (batuk kokol), kemasukan ke hospital dan kematian yang semakin kerap berlaku dalam kalangan bayi di bawah umur enam bulan,” kata Dr Patricia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2019 dan siaran berita dari meja Ketua Pengarah (KP) Kesihatan Malaysia pada 2020, terdapat peningkatan insiden pertussis (batuk kokol) daripada 8 kes pada 2015 kepada 915 kes pada 2019.4,5 Laporan juga menunjukkan bahawa 86% kes yang disahkan di makmal adalah pada bayi di bawah umur setahun dan 74% kes yang disahkan di makmal pula membabitkan bayi di bawah umur 6 bulan berdasarkan kajian dalam kalangan kanak-kanak pada 2013-2014.6


“Vaksin Tdap 3-dalam-1 menutup jurang perlindungan di mana bayi berada di ambang risiko untuk mendapat jangkitan VPD yang mengancam nyawa seperti pertussis (batuk kokol) sebelum vaksinasi berjadual pertama dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) yang bermula pada bulan kedua selepas bayi dilahirkan,” tambah Dr Patricia.

Dr Patricia menggalakkan semua ibu hamil supaya berbincang dengan doktor masing-masing mengenai perlindungan MI untuk bayi mereka daripada pertussis (batuk kokol). “Sebagai ibu hamil, ini adalah langkah kecil yang mempunyai impak besar kepada anak dan keluarga anda. Ia mudah sahaja!” katanya. “Tanyalah doktor anda (Pakar Obstetrik & Ginekologi) mengenai vaksin Tdap 3-dalam-1 yang akan memberikan anak anda perlindungan pasif terhadap 3 VDP: pertussis (batuk kokol), difteria dan tetanus.”

Keseriusan Pertussis (Batuk Kokol)

Pertussis (batuk kokol) adalah jangkitan saluran pernafasan akut yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Penyakit ini sangat mudah berjangkit, jauh lebih mudah berbanding penyakit berjangkit lain kerana seorang individu yang dijangkiti berpotensi untuk menyebarkan/merebakkan pertussis kepada 17 individu lain. Kadar serangan sekunder dalam kalangan isi rumah yang terdedah adalah setinggi 80%.7 Pertussis (batuk kokol) juga adalah penyakit yang sering diabaikan kerana dahulu, tanpa vaksinasi, ia menjadi punca biasa morbiditi dan mortaliti pada kanak-kanak. Dalam kes yang teruk, pertussis boleh menyebabkan pneumonia, sawan dan kerosakan otak. Kira-kira 75% kematian yang berkaitan pertussis membabitkan kanak-kanak berumur di bawah 3 bulan.8 Kadang kala berlaku kesilapan diagnosis di mana pesakit pertussis (batuk kokol) didiagnos menghidap penyakit lain seperti tuberkulosis (TB).

Feature photo by: People photo created by prostooleh - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING