REVIEW: SIKU 12: LANGKAH DERHAKA - LAKONAN SYAFIQ KYLE MEMBERI IMPAK


Apakah itu Siku 12? Sebelum kita mulakan review, marilah kita ketahui apakah itu Siku 12. Siku 12 ini adalah ilmu persilatan seni silat tua Melayu yang dikatakan berasal dari Pulau Pinang dan tercipta semasa zaman penjajahan Jepun.

Di zaman Jepun dahulu, penduduk Malaya telah dilarang untuk mengadakan perjumpaan atau latihan seni bela diri. Seorang lelaki bernama Sheikh Mohamad Ghulam Merah, juga dikenali sebagai Dada Meah menyedari bahawa komuniti di Malaya perlukan cara untuk membela diri daripada penjajah Jepun.


Dada Meah yang juga pengamal pelbagai seni bela diri, dia telah mencipta Siku Dua Belas yang merupakan campuran banyak jenis silat. Antaranya, silat, tomoi (Muay Thai), judo, jiu-jitsu, silambam, yoga, kenjutsu dan juga taichi.

Walaupun Siku 12 tidak sepopular seni bela diri yang lain, ia mungkin akan berubah dengan adanya filem Siku 12: Langkah Derhaka.


Berbalik kepada review filem Siku 12: Langkah Derhaka. Filem arahan Azhari Zain memiliki kekuatan tersendiri kerana menonjolkan kehebatan seni persilatan Melayu dan Muay Thai untuk menarik penonton ke pawagam. Seni bela diri ini belum pernah di diketengahkan dalam filem sebelum ini.

Naskhah bergenre aksi terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd ini menampilkan gandingan hebat dua aktor popular tanah air iaitu Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim selaku teraju utama.

la dimantapkan lagi dengan penampilan barisam pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Pujian harus diberikan kepada Syafiq Kyle yang tampak realistik sebagai seorang peninju Muay Thai dengan susuk tubuh berotot dan tangkas. Lakonan Syafiq adalah lebih memberi impak kepada filem ini berbanding dengan Zahiril Adzim. Mungkin watak Zahiril di dalam skrip tidak menyerlah dan Zahiril agak kekok bercakap dalam Bahasa Melayu dengan dialek Siam.

Perubahan Syafiq Kyle daripada pelakon “pretty boy” kepada budak kampung Pendang di Kedah adalah “believable”. Syafiq dapat menjiwai dengan baik watak peninju Muay Thai muda yang terpaksa berdepan dengan rakannya sendiri di gelanggang Muay Thai.

Markah A+ diberikan kepada juru mekap! Babak-babak pertarungan yang ditampilkan adalah mencemaskan dan agak ngeri, yang mana setiap benjol dan lebam serta darah kelihatan realistik sekali.   


Setiap filem seni bela diri wajib mempunyai “villain” yang kuat dan digeruni. Namun, Siku 12: Langkah Derhaka kurang berjaya untuk menonjolkan watak “villian” yang dibenci oleh penonton. Chiwadong The Dragon bukanlah “villian” sebenar di dalam filem ini kerana dia hanya hadir sebagai peserta di perlawanan akhir untuk berlawan dengan Atid.

Bukan salah pelakon, tetapi mungkin skrip yang menonjolkan watak-watak jahat, Husin dan konco-konconya yang tidak ubah seperti gangster kampung yang dua-dimensi.

Sinematografi filem ini sangat cantik kerana ia melibatkan penggambaran di Pendang dan Alor Star, Kedah. Ia juga menampilkan keunikan masyarakat Melayu dan Thai yang hidup secara harmoni di bahagian utara negara kita. Antara babak yang jarang dapat dilihat dalam filem tempatan adalah penampilan istimewa seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai, serta pesta air Songkran.

Secara keseluruhannya, Siku 12: Langkah Derhaka tampil sebagai sebuah filem yang memuaskan jika anda menggemari genre aksi seni bela diri. Lakonan cemerlang Syafiq Kyle sebagai peninju Muay Thai, Atid menjadi tunjang kejayaan filem ini dan mungkin akan menjadi salah satu sebab utama bagi penonton ke panggung untuk menyaksikan filem ini.


SINOPSIS:

Filem Siku 12: Langkah Derhaka mengisahkan Atid dan A Wut berketurunan Siam adalah dua sahabat baik tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.

Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai, apatah lagi, pertandingan Muay Thai dianjurkan selepas padi dituai dengan terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun.

Bapa Atid, Ayah Man pernah belajar ilmu persilatan Seni Silat Tua Melayu Permainan Siku 12 dengan Tuan Guru Haji Zainal. Semasa berlawan dengan beberapa perompak bersama sahabatnya, Harun, Ayah Man secara tidak sengaja tertikam salah seorang perompak.

Harun menyuruh Ayah Man melarikan diri ke kampung isterinya di Pattani. Kerana peristiwa itu, Harun berkorban dan akhirnya, meninggal dalam penjara. Apabila isterinya meninggal, Ayah Man berpindah ke Pendang bersama Atid dan hidup secara sederhana sebagai petani dan tukang kayu.

Atid dapat melihat ketangkasan bapanya bersilat sehingga dapat menumbangkan lintah darat di kampung. la membuatkan Atid mengetahui apakah jurus persilatan digunakan.

Atid beriya-iya mahu bapanya mengajar jurus persilatan, biarpun Ayah Man cuba mengelak dan merahsiakan ilmu persilatan Siku 12 akibat sejarah hitam bersama Harun.

Atas desakan Atid, Ayah Man bersetuju menurunkan ilmu persilatan Siku 12, jurus yang dapat menjatuhkan musuh sekelip mata laitu jurus Langkah Derhaka walaupun dalam masa sehari.

Namun, Atid tidak menyangka sahabatnya, A-Wut mengkhianatinya apabila mendengar Ayah Man menurunkan ilmu persilatan kerana beranggapan Atid mementingkan diri mempelajari ilmu berkenaan tanpanya. Siku 12, antara dendam, jurus Siku 12 Langkah Derhaka, maruah diri, cinta, persahabatan dan takdir, di sinilah bakal merungkai segala-galanya...

PELAKON UTAMA :
  • Syafiq Kyle - Atid
  • Zahiril Adzim - A-Wut
  • Moon - Nawari
  • Lobak - Nafisha
  • Tuan Asmawi Tuan Umar - Ayahman

PELAKON PEMBANTU :
  • Pon Muay Thal - Chiwadong The Dragon 
  • Anas Mentor - Ben Mustaza
  • Shahmiey Odd - Husin Lang Merah
  • Pak Salleh - Cikgu Yaakob
  • Chiang - Boon Mee
  • Azman Ahmad - Manager Chiwadong
  • Bai Chot - YB Dato Sulaiman Basha


Filem Siku 12: Langkah Derhaka akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober depan. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!