KARYA ‘ALL WHO LEAVE GO THERE’ OLEH IKRAM HAIZAMMURI MEMENANGI HADIAH UTAMA DI PERTANDINGAN BMW SHORTIES 2023
Menjadi tumpuan di acara yang meraikan landskap seni perfileman dan budaya kreatif tanah air, BMW Shorties, iaitu pertandingan filem pendek dan inisiatif kreatif yang paling berprestij dengan sejarah anjuran paling lama di Malaysia, menerusi kerjasama dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), telah menobatkan juara pertandingan ini, Ikram Haizammuri dengan karya beliau, ‘All Who Leave Go There’.
‘All Who Leave Go There’ merupakan sebuah cerita berdurasi 12 minit yang berkisarkan kehidupan warga Malaysia yang menetap di projek perumahan bantuan kerajaan di kawasan luar bandar. Cerita ini dengan arahan visualnya yang menarik menunjukkan bagaimana komuniti berkenaan terpisah daripada kesibukan bandar-bandar besar, dan bagaimana segelintir bergelut untuk mengubah perspektif dan memperbaiki kehidupan masing-masing, dilakonkan menerusi watak utama yang bernama, Ady berserta rakan-rakan beliau.
Ikram Haizammuri sebagai Pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2023 membawa pulang hadiah berupa geran produksi bernilai RM80,000 selepas filem beliau, ‘All Who Leave Go There’ telah dipilih oleh panel para juri ternama dalam industri kreatif yang dianggotai Sun-J Perumal, Ko-chin Chen, Tunku Mona Riza, Ghazi Alqudcy, dan Jasmin Suraya Chin.
Ikram Haizammuri mengulas mengenai kemenangannya, “Saya baru pertama kali mengambil bahagian dalam pertandingan BMW Shorties, dan 'All Who Leave Go There’ telah menjadi satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya sebagai seorang tukang cerita. Saya sering meragui impak filem pendek saya dalam industri ini, tapi setelah mendapat pengiktirafan di atas pentas BMW Shorties, yakni dalam kalangan para karyawan hebat yang lain, saya berasa amat bersyukur.
Kami telah menempuh cabaran-cabaran yang besar untuk menyulam pelbagai elemen dalam cerita ini, yang turut mempunyai sensitiviti dan juga impak. Saya bersyukur kerana saya dapat bekerja bersama sebuah pasukan yang berdedikasi dalam menghidupkan cerita ini. Saya ingin mengunjurkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BMW Shorties kerana memberi kami peluang untuk berkongsi visi kami kepada khalayak yang lebih ramai.”
Ikram telah menceburi dunia perfileman semasa beliau masih bergelar sebagai seorang pelajar di Multimedia University (MMU). Berbekalkan kepakarannya dalam aktiviti pascaproduksi, khususnya dalam Kesan Visual, beliau dapat mengasah kemahiran serta meningkatkan pemahaman menerusi pengalaman-pengalaman yang dijalani secara langsung dalam pelbagai proses pembikinan filem.
‘All Who Leave Go There’ menerima pujian daripada seluruh barisan juri atas cara filem pendek ini merungkai mesej-mesej utamanya, termasuk sinematografinya yang menarik dan persembahan daripada para pelakon. Membuktikan kenyataan tersebut, Ikram juga berjaya merangkul Anugerah Pengarah Terbaik.
Tunku Mona Riza, seorang pengarah watan yang ternama dan julung kali menjadi juri BMW Shorties, memberitahu, “Saya amat kagum dengan pendekatan yang diambil Ikram bagi arahan 'All Who Leave Go There'. Penonton dapat lihat dengan jelas bahawa pengarahnya komited untuk menggambarkan sebuah cerita mengenai realiti masyarakat luar bandar, dipamerkan oleh watak-wataknya yang cuba mengubah perspektif mereka bagi meneroka peluang dan memperbaiki situasi masing-masing.”
Sementara itu, seorang lagi juri dan ‘auteur’, Ghazy Alqudcy berkongsi, “Semasa menilai penyertaan yang diterima bagi edisi BMW Shorties tahun ini, terbenak perasan bangga dan kagum dalam diri saya atas daya kreativiti dan semangat yang ditunjukkan oleh bakat-bakat kreatif muda di Malaysia. ‘All Who Leave Go There’ membuktikan bakat pengarahan yang anak muda kita miliki. Berpandukan visi Ikram, kita dapat menyaksikan sebuah filem yang autentik serta penuh dengan impak, memberi suluhan kepada keluh kesah para individu yang tidak dapat bergerak seiring dengan kemajuan pesat negara ini.”
Sun-J Perumal, seorang pembikin filem yang teriktiraf serta alumni BMW Shorties turut berkongsi, “BMW Shorties sejak sekian lama telah menjadi wadah bagi mencungkil dan mengasah bakat-bakat kreatif watan yang dapat melengkapi serta mencabar industri filem tanah air. Saya yakin bahawa bakat-bakat tempatan kita mempunyai potensi untuk terus melangkah jauh dengan terlahirnya cerita-cerita seperti ‘All Who Leave Go There’, dengan arahan visualnya yang mempesonakan di samping mesej yang berkisarkan realiti yang dialami oleh sekelompok masyarakat kita.”
Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian di BMW Group Malaysia menyatakan, “Falsafah yang dipegang oleh BMW Shorties adalah untuk menyediakan satu ruang yang dinamik dan bersifat kolaboratif bagi membolehkan bakat-bakat kreatif berkembang mekar, sambil kita sendiri juga cuba berkembang dan mengadaptasi mengikut peredaran masa. Tahun ini, kami mahu memberi penekanan kepada kenyataan ini, justeru tema EVOLVE telah dikonsepsikan.
Tahun 2023 menandakan ulang tahun BMW Group Malaysia ke-20, dan dengan menoleh ke belakang, kita dapat melihat bagaimana kita berjaya mengatasi pelbagai jenis onak dan cabaran serta mengadaptasi bersama arus inovasi untuk para pelanggan kami di Malaysia. Sejajar dengan itu, kami berbangga dengan kejayaan yang telah dilakar oleh BMW Shorties selama ini, memberi peluang untuk kita menyaksikan kebolehan bakat-bakat kreatif tempatan melalui filem seperti 'All Who Leave Go There’.”
Festival BMW Shorties 2023.
Menjelang Malam Penganugerahannya, BMW Shorties telah menganjurkan sebuah festival filem selama satu minggu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, menerusi kerjasama dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), di mana para peminat filem dan warga umum dapat berhimpun untuk meraikan semangat kreativiti melalui pelbagai aktiviti yang mencakupi muzik, filem, serta kandungan digital.
Bermula pada 25 Julai dengan sesi tayangan yang paling dinanti-nantikan, iaitu bagi filem-filem pendek 10 Finalis BMW Shorties di GSC MyTown Shopping Centre, para hadirin dapat menonton karya-karya hebat ini di skrin besar, ia termasuk Selamat Malam; Dunia! oleh Putra Adib; TAUGEH 豆记 oleh U Wang; INMATES oleh Palani Veloo; The Known Stranger oleh Bryan Sim; The Missing Trophy oleh Wong Ga Dong; 阿嬤 Ah Ma oleh Chew Boon Wai; SELALU ADA oleh Faizal Noar; (男孩) Boys oleh Fabian Loo; Aku, Ayah dan Muzik oleh Mohd Hanif Fikri; dan All Who Leave Go There oleh Ikram Haizammuri.
Di Central Rooftop Garden, Lalaport BBCC, ramai pengunjung telah memeriahkan Pawagam & Pasar Terbuka BMW Shorties untuk menikmati pelbagai filem pendek di samping permainan dan aktiviti yang menyeronokkan. Konsep ruang terbuka tersebut menzahirkan satu suasana yang lebih ceria, turut diwarnai oleh para vendor yang menyediakan aneka makanan buat para pengunjung sambil mereka membeli-belah pelbagai barangan BMW Shorties serba eksklusif yang berdasarkan tema tahun ini, EVOLVE.
Bagi memastikan acara ini disimpulkan dengan gah, BMW Shorties akan membuat tayangan previu secara eksklusif bagi filem ‘RAHASIA’, iaitu karya hasil pembiayaan BMW yang terbaharu, dinukilkan oleh Syahmi Norsan yang merupakan Pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2022. Filem pendek yang mempesonakan ini meneroka beberapa subjek yang rumit berkisarkan identiti, keluarga, dan warisan, memetik inspirasi daripada tradisi suku kaum purba Mah Meri.
Filem-filem pendek yang dinukilkan oleh para finalis BMW Shorties boleh ditonton di laman YouTube rasmi BMW Shorties di www.youtube.com/user/bmwshortiesmy. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties, sila layari laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my. Jika anda ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai acara-acara BMW Shorties yang akan datang, sila kunjungi laman Facebook BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties dan laman Instagramnya di www.instagram.com/bmwshorties.
Comments
Post a Comment