KOLABORASI ROCHE MALAYSIA DAN LUNG CANCER NETWORK MALAYSIA – HARAPAN BAHARU UNTUK WANITA MELAWAN KANSER PARU-PARU

 

Bahagian farmaseutikal Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) telah menganjurkan satu sesi perbincangan panel yang bertajuk, ‘A Breath of Fresh Hope’. Sesi perbincangan tersebut memfokuskan kepada kes kanser paru-paru yang semakin membimbangkan dalam kalangan wanita Malaysia yang tidak merokok, selain bertujuan untuk menangani stigma sosial dan meneroka kesan dan implikasi perubatan untuk kanser tersebut.

Lebih 2.2 juta kes kanser paru-paru telah dilaporkan pada tahun 2020 di seluruh dunia, dan lebih 770,000 daripadanya adalah wanita. Dengan peningkatan mencecah 79 peratus dalam beberapa dekad yang lalu, kanser paru-paru kini menjadi antara tiga jenis kanser teratas yang menyerang populasi wanita di seluruh dunia, selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Dikendalikan oleh Cik Deepti Saraf, Pengurus Besar Roche Malaysia, panel perbincangan tersebut terdiri daripada Dr. Anand Sachithanandan, Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks dan Pengasas Bersama LCNM; Dr. Jennifer Leong, Pakar Perunding Onkologi Klinikal dan Profesor Madya Dr. Caryn Mei Hsien Chan, Pakar Perunding Psikologi Kesihatan.

Ketiga-tiga pakar menekankan keperluan untuk meningkatkan akses kepada alatan diagnostik dan rawatan terapeutik bagi pesakit wanita yang sedang berjuang melawan kanser paru-paru. Ini kerana, pesakit wanita sering diabaikan tanpa disedari walaupun mereka merupakan penyumbang sebahagian besar jumlah kes negara.

“Walaupun jumlah perokok di kalangan wanita di Malaysia kurang daripada 2% tetapi kanser paru-paru ialah kanser keempat yang paling kerap menyerang mereka,” kata Dr. Anand. “Tahap kesedaran yang rendah di kalangan masyarakat awam serta anggota kesihatan mengenai punca kanser paru-paru meningkatkan risiko kanser ini kepada golongan wanita. Selain daripada tabiat merokok, punca lain termasuklah terdedah kepada asap rokok, pencemaran udara yang teruk, bahan kimia seperti asbestos dan gas radon. Selain itu, sejarah keluarga juga merupakan penyebab yang seringkali terlepas pandang.” Tambah beliau lagi, memandangkan kanser paru-paru bukan sahaja menyerang perokok di kalangan lelaki sahaja, jika ianya dikesan dengan lebih awal, penyakit tersebut boleh dirawat dengan lebih berkesan.

Sesi perbincangan ini diadakan tepat pada waktunya, iaitu pada penutupan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru yang berlangsung sepanjang bulan November baru-baru ini. Ia menekankan kepentingan untuk menyebarkan kesedaran mengenai kanser paru-paru secara berterusan. Roche sentiasa meneraju inisiatif-inisiatif yang melibatkan penyakit-penyakit yang seringkali dipandang remeh. Deepti menekankan keperluan untuk diadakan perbincangan sebegini, dan berkata, “Bulan lepas, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru, kami mengadakan pelbagai perbincangan penting mengenai beban penyakit ini terutamanya pada golongan wanita. Kanser dan penyakit wanita seperti kanser paru-paru memerlukan tumpuan, dasar dan pelaburan yang lebih kukuh daripada sistem untuk mendiagnosis dan merawatnya lebih awal dengan pendekatan yang bersepadu.

Selain daripada implikasi perubatan, sesi tersebut turut membincangkan kekangan dalam mendapatkan diagnosis yang betul, terutamanya bagi golongan wanita muda, disebabkan oleh stigma sosial. “Ramai wanita beranggapan bahawa memandangkan mereka tidak merokok, mereka tidak berisiko untuk mendapat kanser paru-paru. Ini adalah tanggapan salah dan berbahaya. Ada kalanya, simptom-simptom tipikal sering diabaikan, menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan pada peringkat awal kanser. Ini akan menjejaskan peluang mereka untuk bertahan lebih lama,” jelas Dr. Jennifer.

Prof. Caryn pula menghuraikan lebih lanjut tentang beban kesihatan mental yang ditanggung oleh pesakit kanser, yang sering diabaikan dalam rawatan kanser. “Sememangnya, di diagnosis dengan kanser adalah satu perkara yang amat penting bagi seseorang pesakit. Malah, ramai di antara mereka tidak pernah cuba untuk mendapatkan bantuan profesional bagi menghadapi kesedihan, dan kesannya boleh memburukkan lagi kesihatan fizikal mereka yang sememangnya sudah merosot,” ujar Prof. Caryn. Beliau turut menambah dengan memberikan sebab mengapa kesedihan yang melampau dan sifat positif yang keterlaluan boleh membahayakan pesakit dan memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga mereka.

Sesi panel itu berakhir dengan seruan untuk bertindak, menggalakkan semua orang untuk bertanggungjawab ke atas kesejahteraan diri mereka dan meningkatkan kesedaran tentang punca-punca risiko kanser.

“Kesedaran yang meluas mengenai punca risiko kanser, dan mengambil tindakan seperti pemeriksaan kesihatan berkala adalah penting untuk mengubah landskap kanser paru-paru di Malaysia,” kata Deepti. “Selain itu, infrastruktur penjagaan onkologi perlu diperkukuhkan, begitu juga dengan akses kepada rawatan terapeutik untuk pesakit wanita, tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka. Roche dan LCNM komited untuk terus memberikan sokongan, dan kami sedang merangka peluang kerjasama untuk sokongan yang berterusan."

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY HEALTHCARE GROUP MELANCARKAN E-BUKU PERTOLONGAN CEMAS PEDIATRIK, MEMBUKA AKSES KEPADA ILMU UNTUK MENYELAMATKAN NYAWA