FILEM TIKET SEHALA DEDAH REALITI SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA


Sempena kehadiran bulan Ramadan, syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang turut diserikan dengan pelancaran filem terbaharu mereka berjudul Tiket Sehala.

Filem arahan Rahila Ali ini mengangkat isu besar yang semakin membimbangkan masyarakat, iaitu kes mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara. Menurut Rahila, karya tersebut dihasilkan berinspirasikan kisah benar yang berlaku di peringkat global, termasuk melibatkan rakyat Malaysia. “Tiket Sehala lahir daripada rasa tanggungjawab untuk memperlihatkan kesan dan akibat apabila seseorang menjadi mangsa sindiket ini,” jelasnya.

Pengarah Rahila Ali

Barisan pelakon yang membintangi filem ini terdiri daripada nama-nama popular seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin (Saha Champ). Lebih menarik, filem ini turut menampilkan pelakon dari empat negara – Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia – termasuk Hyunjun Sun (Korea Selatan), Ninja dari kumpulan SuperThai (Thailand) serta Naufal Samudra (Indonesia).

Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa robot di bawah kelolaan Shadow Combat League, sebuah kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan elemen sukan tempur, teknologi dan permainan.

Eddie Yap, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd.

Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, berkata pihaknya terpanggil untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang ditampilkan. “Cerita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang dihasilkan, sedangkan ia satu masalah besar. Menerusi filem ini, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati apabila menerima tawaran bekerja di luar negara,” katanya.

Filem ini turut menjalani penggambaran di Korea Selatan dengan penglibatan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan. Eddie menambah, gabungan tersebut memberi peluang kru tempatan mempelajari sesuatu yang baharu demi meningkatkan mutu perfileman Malaysia pada masa hadapan.


Dari segi jalan cerita, Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap sekumpulan pekerja Malaysia yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia di Korea Selatan. Watak Alif, Putri dan Taqy menjadi simbol mangsa yang terjerat dalam kerakusan sindiket yang mengambil kesempatan atas kesusahan hidup manusia.

Selain aktif menerbitkan filem, Key Billions kini melebarkan sayap dengan penubuhan Key Billions Distribution, yang akan bertindak sebagai pengedar rasmi bagi filem-filem terbitan mereka sendiri serta karya tempatan dan antarabangsa. Eddie menjelaskan bahawa filem Tiket Sehala akan diuruskan sepenuhnya oleh syarikat tersebut, termasuk aspek promosi dan tayangan. Malah, mereka telah memperoleh hak pengedaran untuk dua filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.


“Penubuhan Key Billions Distribution menjadi penanda aras bahawa kami serius membangunkan industri perfileman. Kami juga mengalu-alukan penerbit lain untuk menggunakan khidmat kami bagi mengedarkan filem mereka,” ujar Eddie.

Untuk maklumat lanjut mengenai Shadow Combat League, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://www.shadowcombatleague.com.

Comments

Popular posts from this blog