KUALA LUMPUR JADI DESTINASI ISTIMEWA JASON MRAZ ASIA TOUR
Selepas tujuh tahun menanti, penyanyi dan penulis lagu terkenal Jason Mraz akhirnya kembali ke Malaysia dengan konsert penuh aura positif bertajuk Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur. Konsert yang dianjurkan oleh Zues Event ini akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 31 Oktober 2026, menjanjikan malam penuh santai dan inspirasi buat para peminat.
Jason Mraz, pemenang Anugerah Grammy yang melonjak ke persada dunia menerusi lagu hit “I’m Yours” dengan lebih dua bilion penstriman, terus membuktikan kehebatan muziknya yang merentas generasi. Diskografi beliau dipenuhi lagu malar segar seperti “I Won’t Give Up”, “Lucky” bersama Colbie Caillat, “Have It All”, “I Feel Like Dancing” dan “The Remedy (I Won’t Worry)” yang masih menjadi siulan di seluruh dunia. Dengan gabungan elemen folk, reggae, R&B dan disko, muzik Mraz melangkaui identiti akustik-pop asalnya dan terus relevan hingga kini.
Kerjaya muziknya bermula sebagai penghibur jalanan sebelum berkembang ke sembilan album studio, termasuk album platinum dan multi-platinum. Selain muzik, Jason Mraz turut menyerlah di pentas Broadway menerusi muzikal Waitress, menjadi penerbit eksekutif dokumentari The Opener, serta muncul sebagai naib juara rancangan Dancing with the Stars musim ke-32. Beliau juga aktif dalam kerja kemanusiaan melalui Jason Mraz Foundation yang menyokong pendidikan seni inklusif dan perjuangan kesaksamaan, malah album Look for the Good pada 2020 disalurkan sepenuhnya kepada organisasi yang memperjuangkan keadilan sosial.
Dengan gaya santai, topi fedora ikonik dan petikan gitar yang menjadi tanda pengenalan, Jason Mraz dijangka menghidupkan stadium dengan deretan lagu popular dan material baharu yang bakal mencetuskan pesta nyanyian beramai-ramai. Pengarah Zues Event, Jeffery Chin, berkata kepulangan Mraz bukan sahaja akan mengubat rindu peminat setia, malah menarik pencinta muzik yang mahukan pengalaman persembahan langsung bertaraf dunia. “Kami percaya muzik Jason Mraz masih relevan kerana membawa mesej positif, emosi dan keaslian. Malam itu juga akan diserikan dengan pertunjukan percikan api dan langit dihiasi dron,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual melalui etix.my pada Khamis, 11 Jun bermula jam 10.50 pagi dengan harga RM688 (Jazzy), RM588 (Acoustic), RM488 (Soulful), RM388 (Originals), RM288 (Nostalgic) dan RM158 (Signature – Restricted View), tidak termasuk caj dan cukai. Semua kategori tiket adalah tempat duduk. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Zues Event di Facebook dan Instagram.
%20(Custom).jpg)
%20bersama%20rakan%20kumpulan%20jelajahnya.%20(Credit_%20Shervin%20Lainez)%20(Custom).jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment