ULASAN: OLA BOLA THE MUSICAL – RIUH, GEMPAK & GEMILANG
Diilhamkan oleh peristiwa sebenar perjalanan pasukan bola sepak Malaysia ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, dan diadaptasi dari filem box office 2016, OlaBola The Musical adalah kisah perpaduan, keazaman dan persaudaraan.
“Tauke” Chow Kwok Keong, Kapten pasukan yang bertekad untuk memimpin pasukan Harimau Malaya ke puncak Olimpik, dan kawan baiknya, pengulas sukan dalam latihan Rahman. Kekalahan, kritikan dan kemunculan coach Harry Mountain memecahbelahkan pasukan Malaysia. Berjayakah Tauke memimpin pasukannya sehingga perlawanan terakhir?
Istana Budaya Jadi Stadium Merdeka
Mendengar cita-cita besar mengubah Istana Budaya menjadi Stadium Merdeka membawa kemusykilan kepada ramai atas dua sebab. Pertama: Istana Budaya baru sahaja melalui kerja baik pulih yang ekstensif. Kedua: Mampukah produksi ini mengembalikan kegemilangan perlawanan akhir 1980 sebaik versi filem ‘Ola Bola’ (2016)?
Semua tanggapan pasti berubah sewaktu anda menjejak kaki ke dalam Panggung Sari kerana terpegun dengan produksi Enfiniti yang menggunakan teknologi pementasan digital tekini yang digunakan sebagai latar belakang visual skrin besar LED, paparan 180 darjah, pemetaan lantai digital, animasi visual, teknik pencahayaan canggih dan bunyi surround 360 darjah yang memperkayakan suasana pentas. Istana Budaya riuh ibarat suasana perlawanan bolasepak di stadium.
Generasi Muda Pengerak Pentas
Kemunculan pelakon West End, Stephen Rahman-Huges sebagai coach Harry Mountain dan Douglas Lim sebagai Mr. Wong pemilik kedai kopi berjaya mengamatkan keadaan dengan karisma dan komedi mereka namun kehebatan OLA BOLA THE MUSICAL sebenarnya terletak kepada bakat-bakat mudanya.
Brian Chan (Tauke), Luqman Hafidz (Ali), Abimanyu Masilamani (Muthu), Kai Chalmers (Eric), Lim Jian Wei (Ah Chai) kebanyakannya adalah nama baru dalam dunia pementasan namun mereka adalah yang terbaik dari 300 orang yang hadir untuk ujibakat dan latihan yang mereka tempuhi cukup memukau penonton dengan persembahan mereka. Mereka perlu belajar menyanyi, menari dan teknik pergerakan bolasepak, tanpa stamina dan latihan pasti mereka akan pancit sebelum pementasan berakhir.
Kepujian tertinggi perlu diberikan kepada Iedil Putra dan Melissa Ong. Iedil yang pernah membintangi pementasan ‘Parah’, ‘Nadirah’ dan ‘Another Country’ membawa watak Rahman pengulas sukan yang dilakonkan oleh Bront Palarae dalam versi filem ‘Ola Bola’.
Rahman sebenarnya adalah jambatan penghubung bagi penonton menikmati aksi atas pentas namun kebijaksanaan Iedil merwarnai suasana amat menghiburkan. Pada satu ketika, berlaku kekeliruan diatas pentas, Iedil dengan selamba membuat improvisation menyelamatkan keadaan lalu membuat penonton ketawa terbahak-bahak dengan kreativitinya.
Melissa Ong pula membawa watak Mei Ling, adik Tauke yang penuh konflik kerana perlu berkorban untuk keluarga. Dia bukan sahaja mempunyai vokal yang hebat tetapi berjaya menyentuh perasaan penonton merasai kekecewaannya dan kesungguhannya menjadi harapan terakhir negara memberi semangat kepada Tauke supaya kembali berjuang bersama Harimau Malaya.
Rekaan Set Vs Teknologi Terkini
Masih ingatkan anda rekaan set Gunung Ledang yang boleh berpusing dan berubah menjadi set berlainan? Pereka set produksi Raja Malik kembali dengan set beputar yang sangat kreatif.
Kali ini kerusi penonton Stadium Merdeka akan berpusing menjadi kedai kopi, hospital, bilik persalinan dengan sekelip mata.
Puan Sri Tiara yang tidak pernah puas meningkatkan taraf persembahan teater tempatan menambahkan lagi cabaran produksi dengan menggabungkan teknologi dan set fizikal lalu memaksa pelakon dan kru berinteraksi dengan skrin paparan, yang memerlukan pengiraan waktu dan ketepatan luar biasa.
Teknologi projection mapping dan pencahayaan 3 dimensi berjaya menghidupkan situasi tetapi memerlukan perancangan dan latihan intensif.
“Saiz pentas Istana Budaya tidak lebih daripada satu perempat daripada saiz padang bola sepak di stadium, pergerakan pelakon tidak boleh silap walaupun satu milimeter. Setiap kesilapan kecil boleh mengubah segala-galanya,” kata Puan Seri Tiara.
Penyatuan Seni, Budaya Dan Bangsa
Dari segi muzik, kepelbagaian yang diketengahkan amat unik. Siapa sangka joget dan hip-hop boleh digabungkan dalam pementasan teater sukan?
Kolaborasi antara Altimet, Mia Palencia dan pengarah muzik, Saiful Ridzuan (Seven Collar T-Shirt) menghasilkan mashup rap, rock dan muzik tradisional yang pada teorinya janggal tetapi apabila dijadikan persembahan ia sangat menghiburkan.
Lagu kegemaran ramai yang berjaya membuat penonton menyanyi bersama terletak pada Babak 15: Your “Altimet” Nightmare. Skuad bolasepak Harimau Malaya menjalani latihan dibawah bimbingan Sarjan Ahmad lakonan Altimet.
Sebaik sahaja lagu “I Cover You” berkumandang, semangat penonton berkobar-kobar kerana gabungan irama hip-hop dan marching tentera ala “Rhythm Nation” oleh Janet Jackson, yang diakhiri dengan visual mengkagumkan helikopter membawa skuad Harimau Malaya.
Pengarah Puan Sri Tiara Jacquelina juga mengambil langkah mudah tapi bijak untuk menyatukan pelbagai bangsa bukan sahaja mencintai bola tetapi juga mencintai teater. Penggunaan pelbagai bahasa mencerminkan Malaysia yang mempunyai berbilang kaum.
Kisah kekeluargaan Tauke dan Muthu disampaikan dalam bahasa masing-masing, tanpa subtitle pun penonton masih boleh faham dengan isi kandungannya.
Saksikan teater OLA BOLA THE MUSICAL yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 8 Februari hingga 11 Mac 2018. Tiket boleh didapati melalui www.olabolamusical.com.
Ulasan & Foto oleh Ezli Qamari
Comments
Post a Comment