ULASAN: HANTU KAK LIMAH MASIH MENGGAMATKAN PAWAGAM


Kak Limah (Delimawati) baru berkahwin dengan Khuda (TJ Isa). Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati. Namun, baru sahaja menikmati kebahagiaan rumah tangga, Kak Limah telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan.

Pada masa sama, Husin (Datuk Awie) bersama Wani (Sharwani) dan Khuda masuk ke hutan untuk menangkap burung, Husin bertemu dengan seorang gadis cantik yang misteri (Uqasha Senrose) di dalam hutan dan jatuh cinta dengannya. Kerana sibuk menangkap burung, Husin dan Wani tidak tahu akan berita kematian Kak Limah termasuk suami Kak Limah sendiri, Khuda.


Di sini bermulanya misteri apabila kelibat Kak Limah masih kelihatan penduduk Kampung Pisang walaupun dipercayai sudah meninggal dunia. ULASAN: Mamat Khalid kembali dengan filem ini iaitu filem keempat dari francais Kampung Pisang; “Zombi Kampung Pisang” (2007), “Hantu Kak Limah Balik Rumah” (2010) dan “Husin Mon Jin Pakai Toncit” (2013).

Masih mengekalkan konsep persahabatan bertiga, walaupun tidak dapat menandingi kehebatan triniti Awie-AC Mizal-Que Haidar dalam filem pertama, gandingan Awie-Sharwani-Rab Khalid tetap membuat penonton ketawa tak henti dengan lawak mereka.


Namun, watak sampingan Nayan lakonan Ropie mencuri perhatian penonton kerana dia sering berlakon berseorangan (atau dengan hantu) tetapi lagak dan pertuturannya sudah cukup menggamatkan seluruh pawagam.

Lawak-lawak politik-sosial tajam lagi berbisa Mamat Khalid seperti filem-filem beliau sebelum ini masih jelas kelihatan melalui watak lakonan Sabri Yunus dan Zul Arifin yang sering bercakap besar atau menunjuk pandai tapi akhirnya "hampeh" bila berhadapan situasi getir. Mungkin lawak sebegini sensitif dulu tetapi tidak lagi selepas Malaysia Baharu.


Kelemahan paling jelas filem ini terletak pada keaslian idea yang semakin pudar berbanding filem-filem sebelumnya. Penonton yang pernah menonton filem parodi Nang Nak berjudul "Pee Mak" (2013) kurang merasai impak sesetengah komedi yang berdasarkan filem tersebut.

Mungkin Mamat Khalid mahu membuat homage seperti melakonkan semula babak dari filem P. Ramlee tetapi terlalu banyak persamaan "Pee Mak" digunakan menyebab hilang rasa kejutan penonton.

Dalam gelak ketawa, penonton pasti terasa kehilangan kerana filem Hantu Kak Limah ini merupakan yang pertama diterbitkan oleh Mamat Khalid tanpa kemunculan pelakon veteran Man Kadir, Zami Ismail dan Azwan Annuar yang telah kembali ke Rahmatullah.



Rab Khalid atau lebih dikenali dengan panggilan Yeh Sekupang juga telah meninggalkan kita akibat serangan jantung pada 25 Januari 2018. Walaupun sudah lebih 10 tahun menghiburkan kita, francais Kampung Pisang masih berjaya membuat anda ketawa pecah perut dengan bantuan teknologi dan pelakon pelakon baru tapi masih mengekalkan teknik penceritaan lama.

Saksikan "Hantu Kak Limah" di pawagam berhampiran anda mulai 9hb Ogos 2018 dipersembahkan oleh Astro Shaw dan Infinitus Gold.

Ulasan oleh Ezli Qamari.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA