‘GV5’ TAMPILKAN PESERTA DUO & BERKUMPULAN UNTUK KELAINAN



Program ‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah sebuah pertandingan nyanyian menampilkan barisan penyanyi profesional yang mempunyai portfolio seni bukan calang-calang dan pernah mengecapi zaman kegemilangan di persada seni hiburan.

Kembali mengusik emosi penonton dengan tagline ‘Masih Membara Rentaknya’, penganjuran edisi kelima atau ‘GV5’ menyuntik nafas baharu apabila buat julung kalinya turut membuka penyertaan kepada peserta duo dan berkumpulan sebagai kelainan.

Seramai 12 peserta yang terdiri daripada tujuh peserta solo, dua peserta berkumpulan dan seorang peserta duo yang bakal berentap untuk merebut kejuaraan musim ini.

‘GV5’ juga masih mengekalkan format asal penjurian yang mana nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Sebelum ini, penyanyi Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3) dan Aishah (GV4) juga pernah dinobatkan sebagai juara ‘GV’ untuk musim-musim yang terdahulu.

Raqim Ahmad, Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro “Sejak penerbitan edisi pertama pada 2014 sehingga kini, ‘GV’ berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penggiat seni tanah air sekaligus membawa impak yang besar terhadap perkembangan industri muzik tempatan. Pengaruh jenama ‘GV’ terus kukuh sebagai platform utama yang berprestij untuk mengembalikan semula kegemilangan penyanyi ‘senior’ dan nostalgia ‘one-hit-wonder’ yang pernah menjadi kegilaan masyarakat di pentas komersial arus perdana. Justeru, tidak hairan jika barisan peserta yang terpilih untuk bertanding di pentas ‘GV’ begitu bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan kembali kehebatan vokal dan persembahan mereka yang mungkin sudah lama tidak dipertontonkan demi memenangi hati juri dan juga penonton. Selain nilai prestij yang ada pada ‘GV’, kami juga sedia maklum bahawa penganjuran program ini tidak pernah lekang daripada dihujani pelbagai kontroversi dan isu panas saban musim.”

Penerbitan ‘GV5’ turut disokong D’herbs yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Cuckoo dan Adabi selaku Penaja Bersama. Aplikasi Astro Go dan portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala SINAR dan Raku pula sebagai Rakan Radio Rasmi dan Rakan Radio Digital selain Astro Circle selaku Rakan Gegar Vaganza. Turut membanggakan, ‘GV’ masih mengekalkan rekod cemerlang sebagai program hiburan realiti nyanyian terbaik Malaysia di platfrom Astro. Penerimaan di ruang digital juga menyaksikan peningkatan sebanyak 200% bagi jumlah penonton menerusi penstriman secara online berbanding musim sebelumnya.

Maestro tersohor, Datuk Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Dengan pengalaman lebih 44 tahun berkecimpung sebagai individu penting belakang tabir dunia hiburan tanah air, kredibiliti dan reputasi cemerlang beliau sebagai konduktor dan pengarah muzik disegani meletakkan Ramli MS sebagai karyawan seni yang paling layak untuk menduduki kerusi ketua juri. Malah, Ramli MS yang juga telah terlibat dengan penganjuran ‘GV’ sebagai juri tetap sejak musim pertama turut menjadi antara tarikan utama program ini selain pasangan juri dan barisan peserta yang sering ditunggu-tunggu.

Penghibur ternama negara, Datuk Khadijah Ibrahim pula kembali menduduki kerusi juri tetap ‘GV5’ di samping Ramli MS setelah setahun berehat daripada tugas penjurian ‘GV’ musim lalu. Khadijah tidak memerlukan pengenalan yang panjang lebar kerana direktori seni beliau telah memahatkan namanya sebagai antara penghibur terbilang tanah air selain reputasi beliau yang sangat disegani oleh pihak kawan dan lawan. Pengalaman dan ilmu seni selama lebih 4 dekad menjadikan Khadijah pilihan terbaik untuk menjayakan musim terbaharu ini. Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

Melihat kepada portfolio pengacaraan dan keserasian luar biasa gandingan selebriti popular; Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dipercayai dengan mandat yang sama untuk mengendalikan pentas utama ‘GV5’ sebagai pengacara program.

Juara ‘GV5’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.

12 BINTANG ‘GV5’ 
PESERTA SOLO WANITA
1. HETTY SARLENE
2. AMELINA
3. FARAHWAHIDA
4. NORYN AZIZ
5. DIA FADILA
6. SAFURA YAACOB
7. MAYA MATAHARI

PESERTA SOLO LELAKI 
8. SHAFIE RIO
9. ZAMANI

PESERTA BERKUMPULAN/DUO 
10. ELITE
11. FORTEEN
12. BILLY ZULKARNAIN

Program ‘GV5’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro Go, Njoi Now dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. 

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 10.55 malam bermula 24 September 2018.

Seterusnya diikuti dengan siaran tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Rabu hingga Jumaat pada waktu yang sama. Manakala konsert mingguan ‘GV5’ pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 30 September 2018.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Live Plus Gegar Vaganza’ akan disiarkan secara serentak di www.gegarvaganza.com.my ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV5’ bermula 30 September 2019.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

BUKAN SEKADAR HIBURAN, FILEM "MEREKA YANG TERTEWAS' MENGAJAK PENONTON MERENUNG MAKNA KEHIDUPAN

DARI DUBLIN KE RESORTS WORLD GENTING: RONAN KEATING BERSEDIA UNTUK PERSEMBAHAN YANG MENAKJUBKAN DI ARENA OF STARS PADA 15 FEBRUARI!