PASKAL THE MOVIE - KISAH PERJUANGAN WIRA ANAK BANGSA



Dalam kita menikmati waktu dan momen bersama orang tersayang, ada wira anak bangsa yang sedang berjuang demi kesejahteraan negara tercinta. Kita harus rasa berbangga kerana memiliki angkatan yang sangat tinggi mutu disiplin, berwibawa dan diiktiraf, sama ada di peringkat negara mahupun pada peringkat antarabangsa.

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada bulan September ini, sebuah filem baru iaitu PASKAL THE MOVIE akan menemui penonton bermula pada 27 September 2018 di pawagam seluruh tanah air.

Ini merupakan filem tempatan pertama yang mengangkat pasukan unit khas dalam organisasi TLDM atau lebih dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL). Lebih istimewa latar belakang filem ini telah diinspirasikan daripada kisah kejayaan PASKAL.

Filem berdurasi 1 jam 55 minit ini telah mendapat sentuhan pengarah berbakat besar, Adrian Teh. pengarah dan penerbit muda ini turut membuktikan kemampuan beliau dalam berkarya apabila filem terbitannya iaitu Ice Kacang Puppy Love (2010) menjadi filem Bahasa Mandarin tempatan pertama berjaya menembusi pasaran luar negara, seperti di China.


Selain pengarah berjiwa besar, jalan cerita filem genre aksi ini turut digerakkan dengan watak-watak yang dibintangi oleh pelakon Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya Chin, Namron, Amerul Affendi, Dato' Eizlan Yusof dan pelakon Hollywood, Tiger Chen Hu (John Wick 3, The Matrix Reloaded, Man of Tai Chi).

Sebelum sesi penggambaran bermula, barisan pelakon telah menjalani latihan persiapan fizikal dan mental selama 2 bulan kerana mereka perlu menggunakan taktikal sebenar.


Watak Laksamana Komander Arman Anwar yang dipegang oleh Hairul Azreen telah diinspirasi daripada watak Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Anuar Bin Alias. Selain daripada itu, watak-watak lain adalah hanya rekaan sahaja.

Uniknya, filem ini bakal membuka minda penonton kepada tanggungjawab, kredibiliti serta pengorbanan anggota PASKAL yang terpaksa dipikul demi keselamatan negara tercinta.

Sementara itu, pengarah fotografi, Yong Choon Lin juga memberi kehebatan sinematografi dari pembukaan hingga penamat filem, antaranya banyak menyaksikan pemandangan indah di Semporna, Labuan, Kota Kinabalu dan Turki.

Setiap adegan juga diperkuatkan dengan susunan muzik skor yang kemas bagi membangkitkan perasaan penonton.


Pengarah & Penerbit PASKAL THE MOVIE, Adrian Teh menjelaskan idea menerbitkan filem ini timbul apabila beliau melakukan penyelidikan tentang PASKAL dan rasa kagum dengan pasukan elit ini.

"Mungkin ada segelintir masyarakat di luar sana tidak didedahkan dengan kewujudan PASKAL. Saya harap dengan kehadiran filem ini, ia mampu membuat penonton sedar bahawa negara kita memiliki pasukan elit seperti PASKAL yang hebat, sekaligus mampu menerapkan semangat cintakan negara. Filem ini juga sesuai ditonton oleh semua lapisan usia dan latar belakang." 

"Sebagai pengarah, saya tidak terkecuali dari berdepan dengan cabaran di mana saya perlu menghidupkan semula momen dan detik-detik yang diinspirasikan daripada kejayaan PASKAL supaya dapat difahami oleh penonton. Malah, saya telah menambah elemen drama. persahabatan dan kekeluargaan supaya setiap watak dan babak mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Selain itu, saya rasa bertuah kerana sepanjang tempoh awal produksi sehingga pasca produksi, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memberi sokongan penuh," tambah Adrian Teh lagi.



SINOPSIS
PASKAL THE MOVIE mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar, seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia. Namun ibunya tidak merestui pekerjaannya kerana ayahnya juga seorang ahli PASKAL yang telah terkorban semasa menjalankan tugas. Apabila rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti. Namun, dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan.

FAKTA MENARIK 
- Kebanyakan aksi di dalam filem dilakukan sendiri oleh pelakon
- Pelakon Theebaan G merupakan Champion Welterweight, MIMMA 4, Juara Karate Negara 7 kali, pemenang 3 Pingat Perak di Kejohanan Sukan ASEAN
- Menampilkan pelakon Hollywood Tiger Chen Hu
- Pelakon Hairul Azreen berjaya melakukan latihan bongkar pasang senjata dalam masa 6 saat (masa yang diperlukan oleh ahli PASKAL adalah 6 saat). 


Pengarah & Penebit : Adrian Teh
Pelabur : Asia Tropical Films Sdn Bhd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, Multimedia Entertainment Sdn Bhd, Granatum Ventures Sdn Bhd & Astro Shaw Sdn Bhd
Pengedar Filem : GSC Movies Sdn Bhd 
Produksi: Asia Tropical Films Sdn Bhd
Kos Produksi : RM 10 Juta
Tarikh Penggambaran : 10 Mac 2018 - 30 Mei 2018
Lokasi Penggambaran : Kuala Lumpur, Lumut, Kota Kinabalu, Labuan, Sempirna & Turki Durasi
Filem : 115 minit
Tarikh Tayangan : 27 September 2018

Comments

Popular posts from this blog

STUDY MELBOURNE HUB KUALA LUMPUR KEMBALI BEROPERASI DI LOKASI BERWAJAH BAHARU, MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN VICTORIA

DI PERSEMBUNYIAN - ALBUM PERDANA DUO FOLK POP SATWO MEMBAWA ‘ROLLERCOASTER’ MUZIK DAN EMOSI