DUITNOW – APLIKASI BARU UNTUK PEMBAYARAN SERTA-MERTA
Para pelanggan Bank akan menikmati perkhidmatan
pembayaran baru yang pantas, mudah dan percuma untuk pengguna individu dan
perusahaan kecil sederhana (PKS) tidak lama lagi. Payments Network Malaysia Sdn
Bhd (PayNet) dan bank-bank di Malaysia akan melancarkan DuitNow, perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara
serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.
DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan
kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera yang tiada bandingannya dalam
24 jam sehari. Lonjakan besar dalam pembayaran elektronik ini berupaya
mengurangkan pertikaian dalam pembayaran dan perdagangan dan akan bertindak
sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Dengan berkongsi nombor telefon bimbit, pengguna DuitNow
yang berdaftar boleh menerima dana
dengan mudah dan secara serta-merta tanpa memberikan nombor akaun bank mereka
kepada pembayar.
Pelanggan yang ingin menerima pembayaran dengan
menggunakan nombor telefon bimbit mereka hanya perlu melakukan pendaftaran satu
kali untuk mengaitkan nombor telefon bimbit kepada nombor akaun mereka. Selain
nombor telefon bimbit, pelanggan bank juga boleh memilih pengenal pasti yang
lain – nombor Kad Pengenalan MyKad atau MyPR, nombor Tentera atau Polis, nombor
pasport atau nombor pendaftaran perniagaan – untuk dikaitkan kepada akaun bank
mereka bagi penerimaan wang.
Pendaftaran satu kali diperlukan untuk menerima
pembayaran, namun pelanggan bank tidak perlu mendaftar untuk menggunakan DuitNow
apabila melakukan pembayaran. Selepas pelancaran DuitNow pada Disember 2018, pelanggan
boleh melakukan pembayaran dengan mengakses DuitNow di bawah menu
‘Pindahan Dana’ (Funds Transfer) dari saluran Perbankan Internet dan Mudah Alih
bank masing-masing. Pembayaran sehingga RM5,000 adalah percuma untuk semua
pengguna dan PKS.
Pelanggan bank boleh mengakses DuitNow hanya
melalui saluran Perbankan Internet dan Mudah Alih bank mereka yang selamat.
Sebagai tambahan, bank akan melindungi kerahsiaan data pengguna yang digunakan
dalam DuitNow sejajar dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta
Perlindungan Data Peribadi 2010.
“DuitNow membolehkan pelanggan bank menerima
pembayaran tanpa mendedahkan nombor akaun bank mereka,” kata Peter Schiesser,
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, pembekal infrastruktur pasaran
kewangan nasional.
“Bagi mereka yang melakukan pembayaran, mereka hanya
memerlukan nombor telefon bimbit penerima, yang mereka mungkin sudah ketahui.
Pada masa akan datang, agensi kerajaan dan perniagaan boleh melakukan pembayaran
dengan menggunakan nombor MyKad,” tambah Encik Schiesser semasa taklimat kepada
pihak media.
DuitNow akan dibuka kepada orang ramai pada Disember 2018. Pada masa ini, tujuh
bank telah mengambil inisiatif menghubungi pelanggan mereka sebagai langkah
pra-pendaftaran supaya pelanggan tersebut dapat meraih manfaat daripada
perkhidmatan pindahan dana yang baru ini. Dengan pra-pendaftaran ini, pelanggan
mempunyai pilihan sehingga 30 November 2018 untuk menarik diri daripada memautkan nombor telefon bimbit mereka.
Pra-pendaftaran disediakan untuk kemudahan pelanggan
supaya mereka boleh menerima dana dengan lancar. Walau bagaimanapun, pelanggan
boleh menarik diri jika mereka ingin berbuat demikian. Pelanggan perlu yakin bahawa bank-bank di Malaysia memberi keutamaan tinggi dalam menjaga kerahsiaan dan melindungi privasi pelanggan.
Bermula 8 Disember 2018, pelanggan juga boleh melakukan pendaftaran permulaan bagi DuitNow melalui
platform Perbankan Internet dan Mudah Alih bank mereka. Pelanggan juga boleh
membatalkan pendaftaran sedia ada atau memautkan nombor telefon bimbit atau
pengenal pasti lain kepada bank atau akaun yang lain.
“Kami menamakan perkhidmatan ini sebagai DuitNow
bagi memberi penekanan bahawa pembayaran berlaku dengan segera dan penerima
lazimnya menerima wang ke dalam akaun bank secara serta-merta,” kata Schiesser.
“Pelancaran DuitNow akan memberi lonjakan
besar dan nilai tambah dalam
pasaran e-Pembayaran, menjadikannya
saluran yang pantas, lancar dan mudah untuk memenuhi permintaan segera dalam
dunia yang semakin digital dan terhubung,” tambah Encik Schiesser.
Comments
Post a Comment