MCDONALD'S MALAYSIA BERI SUMBANGAN AMAL LEBIH RM300,000


McDonald's Malaysia menyumbang lebih RM300,000 menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan pada hari ini. Kesemua inisiatif ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Negeri Sembilan.

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan pada hari ini termasuklah sumbangan zakat, pelantikan individu dari golongan asnaf untuk program perantisan McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” – di mana lebih 1,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga miskin bandar menerima pek “Kembali ke Sekolah” sebagai persediaan untuk memulakan sesi pembelajaran tahun 2019.

Kerjasama antara pihak kerajaan dan syarikat perniagaan

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali bin Ab. Malik merupakan tetamu kehormat bagi program komuniti ini.

“Sememangnya kerajaan amat mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini. Inisiatif McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) menerusi pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara tidak langsung menyumbang ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mendukung aspek kesejahteraan rakyat, bersesuaian dengan tema Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Bersih.Muafakat.Sejahtera,” kata Dr Razali.

“Kerjasama erat antara sektor korporat dan kerajaan negeri amat penting dalam usaha mencapai keseimbangan sosio-ekonomi negara dan negeri. Penglibatan sektor korporat untuk turut berada di barisan hadapan dan berada seiring dengan pihak kerajaan menggalas tanggungjawab memastikan kesejahteraan masyarakat terbela jelas mencerminkan keprihatinan semua pihak terhadap konsep perkongsian kemakmuran untuk dinikmati bersama,” tambah Dr Razali.

Menurut Dr Razali, usaha untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik menjadi lebih berkesan apabila pihak kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat saling bekerjasama.

Sumbangan zakat McDonald's

McDonald's Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya untuk Negeri Sembilan pada hari ini. Menurut Azmir, syarikat telah mengeluarkan zakat sejak tahun lepas, memandangkan syarikat ini 100% dimiliki oleh umat Islam.

"Sebagai entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam, sudah menjadi tuntutan agama untuk kami membayar zakat apabila tiba masanya. Zakat adalah kaedah untuk mengurangkan kemiskinan dan ia adalah wajib sebagai umat Islam," kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar.

Program perantisan McDonald's Malaysia

Program perantisan McDonald’s adalah sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Pensijilan SLDN oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) merupakan salah satu usaha daripada restoran khidmat segera ini untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta memupuk bakat baharu.

"Kami teruja mengalu-alukan individu dari Negeri Sembilan untuk menyertai program perantisan kami. Tempoh latihan adalah selama 18 bulan di mana para perantis akan menerima latihan praktikal dan pembelajaran teori di dalam kelas. Sebaik sahaja para perantis lulus ujian penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald's. Selain itu, program ini juga membolehkan mereka untuk mempelajari kemahiran sepanjang hayat," kata Azmir.

Selain mendapat manfaat dari penajaan penuh program latihan, setiap perantis juga diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Program "Kembali ke Sekolah"

Majlis yang diadakan di McDonald's Seremban Drive-Thru 2 juga menyaksikan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” yang merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC). Lebih 1,000 kanak-kanak sekolah rendah dari Negeri Sembilan telah menerima pek tersebut pada hari ini. 

Program "Kembali ke Sekolah" disokong oleh francaisi dan rakan-rakan perniagaan, dimana ia bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih daripada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun 2019. Setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah. Keseluruhan sumbangan di bawah program "Kembali ke Sokolah" tahun ini dianggarkan melebihi RM1.7 juta.

Menurut Azmir, program "Kembali ke Sekolah" merupakan sesuatu yang cukup istimewa untuk McDonald's dan RMHC kerana ia memberi bantuan kepada anak-anak sekolah rendah yang datang dari golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar.

“Kami berharap usaha ini akan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat dan memberi motivasi kepada anak-anak ini untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan. Hal ini amat penting kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara kita. Semalam, kami sangat bertuah kerana YB. Dr. Maszlee, Menteri Pendidikan telah hadir untuk majlis penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” di Kuala Lumpur,” tambah Azmir.

Bulan Komuniti yang dianjurkan pada bulan Oktober ini juga melibatkan restoran-restoran McDonald's di seluruh negara yang memberi sumbangan kepada komuniti tempatan melalui lebih 170 program. Warga kerja restoran menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini termasuklah membawa kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim untuk melawat pelbagai tempat menarik seperti zoo dan taman rama-rama; lawatan ke wad kanak-kanak di hospital; membersihkan rumah anak yatim sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba; dan meraikan kanak-kanak di restoran McDonald’s sempena sambutan Hari Kanak-kanak. Kakitangan McDonald’s di ibu pejabat juga tidak ketinggalan melakukan aktiviti melibatkan komuniti, dengan aktiviti gotong-royong di dua buah sekolah pendidikan khas integrasi, menderma darah, dan mengunjungi wad kanak-kanak pada pertengahan Oktober yang lalu.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA