LATIHAN PESTAPORA MALAYSIA 2026 UMUM BARISAN PENUH ARTIS!
Selepas mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat menerusi pengumuman edisi kedua serta sambutan hangat terhadap jualan “Blind Sale Tickets”, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini secara rasmi mengumumkan barisan penuh artis yang bakal menjayakan festival muzik rentas budaya paling dinanti-nantikan tahun ini.
Dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 nanti di Stadium Hoki Nasional, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator ini kembali dengan barisan artis yang dipilih khusus berdasarkan cita rasa peminat Malaysia dengan menghimpunkan nama-nama besar dari Malaysia dan Indonesia dalam satu pengalaman festival yang lebih menyeluruh, lebih bertenaga dan lebih bermakna.
Barisan Artis Pilihan Peminat Dari Malaysia & Indonesia
Membawa semangat Pestapora dari Indonesia, festival kali ini bakal menampilkan Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta, dan Nadhif Basalamah sebagai antara nama utama yang paling dinanti-nantikan peminat tempatan.
Dari Malaysia pula, para pengunjung boleh menantikan kemunculan Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks serta FUGŌ yang bakal membawa gabungan persembahan solo dan kolaborasi khas, sekaligus meraikan kepelbagaian landskap muzik tempatan.
Kolaborasi Rentas Generasi & Genre
Secara keseluruhan, Latihan Pestapora Malaysia 2026 menghimpunkan artis dari Malaysia dan Indonesia dengan fokus utama terhadap kolaborasi rentas generasi dan rentas genre, sebuah konsep yang menjadi identiti utama festival ini.
Turut mencuri perhatian ialah beberapa persembahan kolaboratif eksklusif yang hanya dapat disaksikan di Latihan Pestapora Malaysia 2026 termasuk Rhoma Irama Soneta X Maliq & D’Essentials, Masdo X Gerhana Skacinta, dan juga Nadhif Basalamah X Aziz Harun X Aisha Retno, gabungan persembahan yang menjanjikan pertembungan genre, generasi dan pengaruh muzik serumpun dalam satu pentas yang unik.
Sambutan “Blind Sale Tickets” Bukti Kekuatan Jenama Festival
Menurut En. Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, sambutan luar biasa terhadap jualan “Blind Sale Tickets” baharu-baharu ini membuktikan kekuatan jenama Latihan Pestapora serta permintaan yang semakin meningkat terhadap festival rentas budaya seperti ini di Malaysia.
“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya. Kami berjaya memperkenalkan sebuah festival antarabangsa ke Malaysia, dan buktinya sambutan terhadap ‘Blind Sale Tickets’ jelas menunjukkan keyakinan peminat terhadap apa yang dibawa oleh Latihan Pestapora.”
Tambahan pula, Encik Keerand D, Ketua Projek Khas Hitman Solutions berkata, “Disebabkan itu, kami mahu memastikan barisan artis tahun ini benar-benar mencerminkan apa yang peminat ingin lihat dan alami sendiri, bukan sekadar besar dari segi nama, tetapi juga bermakna dari segi pengalaman.”
Beliau turut menambah bahawa penyelarasan artis serantau dan antarabangsa merupakan satu proses yang kompleks, namun berjaya direalisasikan menerusi kerjasama strategik dan kolaborasi kukuh antara semua pihak yang terlibat.
“Setiap kebimbangan para peminat kami ambil berat, dan pasukan kami sedang berusaha tanpa henti untuk melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi meningkatkan keseluruhan pengalaman festival. Edisi 2026 akan menampilkan stesen air percuma di seluruh kawasan festival, di samping beberapa penambahbaikan baharu yang lebih menarik. Kami benar-benar mahu menjadikan tahun ini satu peningkatan yang bermakna berbanding pengalaman sebelum ini,” katanya.
Meraikan Identiti Muzik Serumpun
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, En. Kiki Ucup, menyifatkan Latihan Pestapora sebagai sebuah gerakan budaya yang semakin berkembang di rantau ini.
“Kami melihat bagaimana peminat Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk merasai pengalaman Pestapora. Melalui Latihan Pestapora, kami mahu membawa semangat dan pengalaman itu lebih dekat dengan mereka.”
Beliau turut mengulas peningkatan kehadiran peminat Malaysia di Pestapora 2025 di Jakarta, seiring dengan penampilan artis Malaysia di pentas Pestapora Indonesia, yang sekali gus merapatkan lagi hubungan budaya antara kedua-dua negara.
“Sebagai festival yang berasal dari Indonesia, amat menarik untuk melihat bagaimana pengalaman ini diterima baik dan diraikan merentasi sempadan. Barisan artis pada tahun ini mencerminkan nilai semangat tersebut, meraikan identiti muzik serumpun bersama-sama. Melalui kolaborasi ini, kami berharap dapat merapatkan lagi hubungan antara organisasi kami, dan juga ikatan antara kedua-dua negara yang berkongsi semangat serumpun,” ujarnya.
Maklumat Lanjut
Latihan Pestapora Malaysia 2026 ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama erat daripada penganjur, Hitman Solutions dan Boss Creator, bersama para rakan rasmi yang dihargai termasuk Perbadanan Stadium Malaysia (Venue Partner), Warrior (Beverage Partner), Sunway Putra Hotel (Hotel Partner), ERA FM, ERA Sabah, ERA Sarawak, HITZ FM, MIX FM, Sinar FM dan THR Gegar (Radio Partners), Astro Gempak, MeleTOP, World of Buzz dan KL Foodie (Media Partners), serta dianjurkan dengan sokongan Visit Malaysia 2026.
Tiket bagi Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini boleh didapati menerusi laman rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com. Para peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal susulan sambutan tinggi yang diterima sejak pengumuman awal festival ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti @latihanpestapora.my di media sosial.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)

Comments
Post a Comment