POLIS EVO 2 - BERPAKSI NUSANTARA, BERWAJAH ANTARABANGSA



Mendominasi sebagai pengeluar filem tempatan paling aktif sepanjang tahun 2018, Astro Shaw melabuhkan tirai tahun ini dengan sebuah filem mega Polis Evo 2 (PE2) yang menemui penonton pada 22 November. Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew adalah hasil kerjasama SCM dan Blackflag Productions Sdn Bhd. 

Sekitar 4 tahun lalu Polis Evo menjadi tangga teratas bagi kutipan filem tertinggi 2015 dengan berjaya mengutip RM18juta. Filem yang banyak diperkatakan oleh segenap lapisan penonton telah menerbitkan keterujuaan penerbit dalam menghasilkan kesinambungan kisah dua anggota polis ini. Untuk PE2, gandingan duo "polis popular" yang tidak asing lagi Shaheizy Sam dan Zizan Razak akan bersama sosok tubuh popular dari Indonesia; Raline Shah sebagai teraju utama dalam menyelesaikan kes jenayah berprofil tinggi. 


Lebih gempak, lebih impak dan lebih aksi; itu yang dapat dirumuskan mengenai PE2. Berdasarkan kes jenayah besar yang dilaksanakan oleh inspektor Sani dan inspektor Khai, mengetuai misi keselamatan negara apabila sebuah pulau telah ditawan oleh ekstremis ajaran sesat. Cabaran besar ini harus dilaksanakan dengan teliti apabila melibatkan lebih 200 tebusan penduduk di kepulauan itu. Di sini dapat dilihat bagaimana anggota penguatkuasa menjalankan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara. 

OST Polis Evo Mogok dipersembahkan secara live di Malam Gala oleh Emmett I. 

Filem PE2 telah menjalani penggambaran selama 85 hari di Kampung Serandu, Pekan, Pahang; Gua Gelanggi, Pahang; Gebeng, Pahang; Pulau Mantanani, Sabah; Klang, Selangor; Polis Marin Pelabuhan Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Pastinya naskah yang diberikan buat tatapan penonton kali ini lebih hebat, jika dilihat dari senarai para pelakon, ia menghimpunkan pameran-pameran dari 3 buah negara yang cukup menimbulkan keterujaan. Malaysia terdiri daripada Shafiq Naswip, Erra Fazira, Riz Azmin, Soffi Jikan, Hairul Azreen, Dennis Yin, Hairie Othman, Rusdi Ramli dan pelakon Singapura menampilkan Hasnul Rahmat, Jeff Catz dan Fir Rahman. 

Manakala pelakon Indonesia dibintangi oleh Raline Shah, Mike Lucock dan Tanta Ginting. 

Sudah pasti PE2 kali ini bakal menggembara bukan sahaja di Malaysia malah bakal terbang ke Singapura, Brunei dan Indonesia untuk ditayangkan buat penonton di sana. 

Bagi Penerbit Eksekutif, Dato' Khairul Anwar Salleh merangkap Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, mengharapkan PE2 akan meletuskan fenomena buat peminat-peminat filem aksi di Malaysia seterusnya menjadi antara kutipan filem tertinggi di Malaysia. 


"Kami di Astro Shaw telah melakar satu demi satu kejayaan dalam kutipan filem bermula DUKUN sehingga Paskal The Movie, diharap filem ini menjadi penutup yang terbaik buat kami dan terus menjadi pemangkin untuk menghasilkan filem bermutu bukan sahaja memenuhi citarasa penonton di Malaysia malah di seluruh nusantara yang boleh memahami bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar". 

Ulasnya lagi dengan keberhasilan filem yang bermutu, ia akan merancakkan lagi persaingan yang sihat dikalangan penerbit dan penambahkan filem cereka di pasaran dan membuka pasaran yang lebih luas di negara-negara lain untuk ditayangkan. 

Untuk PE2 kali ini, ia telah mendapat sokongan penuh penaja mereka terdiri daripada Rakan Jenama Rasmi BHP, Dashing, New Balance, dan Isuzu. Syarikat Penerbangan Rasmi, Air Asia serta Penaja Rasmi Hari Hari. 


Sesi jelajah PE2 akan bermula sejurus filem ini menemui penonton di pawagam. Sesi bertemu peminat ini akan dimulakan pada 23, 24 & 25 November di Kedah, Penang dan Perak. Manakala di sebelah selatan merangkumi Singapura, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 29, 30 November, 1 & 2 Disember. Seterusnya di Pahang dan Terengganu pada 7, 8 & 9 Disember di mana para pelakon turun bertemu peminat bertuah di Hotel Grand Darul Makmur. 

PE2 boleh ditonton di lebih 144 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei. Untuk keterangan lanjut ikuti media sosial Astro Shaw di twitter, lnstagram dan Facebook untuk sebarang hebahan. 



Sinopsis: 
Inspektor Sani dan Khai kini terlibat dalam sebuah misi pengintipan di sebuah pulau terpencil. Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan ekstremis ajaran sesat yang diketuai oleh Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut. Sani ditahan oleh kumpulan itu bersama dengan 200 orang kampung yang dijadikan tebusan, manakala Khai pula terperangkap di kawasan kampung. Sani cuba melawan ketua kumpulan itu dari dalam tempat tahanan selepas menyaksikan sendiri kacau bilau yang dilakulan oleh kumpulan tersebut. Khai pula berjaya menemui seorang polis perisik dari Indonesia dan 4 orang anggota pasukan khas yang dihantar bagi membantu misi ini. Mereka bersama-sama menyahut cabaran yang paling getir dalam kerjaya mereka sebagai polis untuk menangkap Hafsyam Jauhari bersama kumpulannya dan menyelamatkan lebih 200 tebusan di pulau itu. 




Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI