SINOPSIS SLOT AKASIA TV3 "ASALKAN DIA BAHAGIA"



Tak sangka rupa-rupanya Ayda Jebat jadi rebutan Shukri Yahaya dan Idris Khan! Sudah lama mereka ini memendam perasaan pada Ayda tetapi ternyata, Shukri yang berjaya memiliki hati Ayda. Mereka bersatu di dalam sebuah drama terbaharu yang telah bersiaran pada 8 Mac lalu di slot Akasia iaitu Asalkan Dia Bahagia. Drama terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd yang membariskan Ayda Jebat, Shukri Yahaya dan Idris Khan selaku teraju utama ini adalah hasil adaptasi novel oleh Hani Fazuha dan diarahkan oleh Jamal Khan.


Drama 28 episod ini turut dibarisi oleh Safura Ya’acob, Nadiyah Shahab, Marisa Yasmin, Esma Daniel, Rahim Omar dan ramai lagi ini mengisahkan Adira (Ayda Jebat) yang menjadi rebutan abang angkatnya sendiri. Adira tahu selama ini bahawa dia adalah anak angkat kepada Puan Zarina (Safura Ya’acob) dan Tuan Bakhtiar (Rahim Omar). Hubungan Adira dan anak lelaki mereka, iaitu Ikmal Reza (Idris Khan) juga sangat rapat. Menginjak dewasa, Ikmal tinggal di luar negara setelah tamat belajar lalu bekerja di sana. Ikmal merasakan tidak selesa jika dia pulang kerana Adira bukan mahramnya tetapi sebaliknya ada sesuatu yang cuba disembunyikan Ikmal.


Tidak mahu Ikmal berterusan membawa diri di luar negara kerana Adira, Puan Zarina bercadang mahu mengahwinkan Adira. Adira yang terdengar perbualan ibu angkatnya itu merasakan sedikit terkilan dan seperti mahu menghalaunya secara halus. Sudah terlalu banyak budi yang diberikan Puan Zarina kepada Adira. Kerana kasihnya Adira pada ibu angkatnya itu,  dia menerima untuk dijodohkan dengan Haris Aryan (Shukri Yahaya), anak teman baik keluarga angkatnya iaitu Datin Maria dan Dato Hijaz.


Haris juga merupakan teman baik Ikmal. Apabila mengetahui Haris bakal berkahwin dengan Adira, Ikmal terus pulang ke Malaysia dan meminta Adira untuk menolak lamaran tersebut. Ikmal berang kerana selama ini, dia sebenarnya mencintai Adira dan perasaan itu disembunyikan. Tetapi malangnya, perkahwinan Adira dan Haris tetap berlangsung. Perkahwinan mereka diuji dengan lebih-lebih lagi masing-masing tidak pernah meluahkan rasa cinta.


Timbul rasa curiga, lebih-lebih lagi Haris membuat pengakuan dia sudah berkahwin sebelum ini. Pengakuan tersebut sering mengganggu Adira. Masing-masing merasa curiga, mungkin adanya orang ketiga dalam perhubungan mereka. Bagi Haris, orang ketiga itu adalah Ikmal dan bagi Adira, Afida adalah isteri pertama Haris. Adira sering meluahkan perasaan sedihnya kepada Ikmal. Tanpa pengetahuan Adira, Ikmal adalah racun yang merosakkan dalam senyap.


Di belakang Adira, Ikmal sentiasa mencari peluang untuk merebut Adira dan apabila Adira sering mengadu pada Ikmal, Haris tahu Ikmal akan menggunakan peluang itu untuk merampas Adira daripadanya.  Tanpa sedar, kedua mereka sebenarnya sudah saling jatuh cinta tetapi tidak diluahkan kerana ego.




Benarkah Haris mempunyai isteri selain Adira? Bertahankah perhubungan Adira dan Haris dengan rasa curiga yang berterusan lebih-lebih lagi dengan kehadiran Ikmal dan Afida? Saksikan drama 28 episod ini, Asalkan Dia Bahagia, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam. Drama ini turut boleh ditonton di Youtube TV3Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

PARKSON PAVILION BUKIT JALIL LANCAR KEMPEN "THINK GREEN ACT GREEN"