JOM KE PESTA MAKANAN DAN PERTANIAN SANDAKAN 13-15 SEP 2019
Di samping kekayaan alam semulajadi, Sandakan turut terkenal dengan makanan lautnya yang murah serta pelbagai jenis hidangan enak seperti UFO, Egg Tart, Century Egg Dumpling dan sate. Atas permintaan ramai, Pesta Makanan Sandakan bakal kembali buat kali kedua pada September ini. Dengan format yang baru, pesta ini akan turut mengetengahkan pelbagai hasil pertanian Sandakan. Kini dikenali sebagai Pesta Makanan dan Pertanian Sandakan, ia bakal menawarkan ratusan hidangan makanan yang enak dan juga hasil tani penduduk sekitar Sandakan.
Bakal berlangsung mulai 13 sehingga 15 September, pesta akan menampilkan pertandingan memasak, bengkel masakan, demonstrasi masakan, acara kraftangan di sekitar bandar Sandakan dan acara kemuncak bakal berlangsung di Tapak Pesta Makanan di Bandar Kim Fung yang terletak kira-kira 10 minit dari pusat bandar.
Hasil pertanian seperti sayur-sayuran organik, buah-buahan dan makanan dari hutan hujan Borneo turut akan ketengahkan. Antara pengalaman menarik yang bakal ditampilkan di sekitar Sandakan adalah acara Farm-to-Table, di mana makanan dibawakan segar dari ladang terus ke meja makan. Para pengunjung berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis makanan dari industri hiliran sehingga ke resepi asli yang unik.
Aktiviti-aktiviti popular yang memang ditunggu-tunggu seperti Sandakan Amazing Food Race, pertandingan memasak Sandakan Grand Chef dan pertandingan membuat kek bakal kembali untuk mencungkil bakat tempatan.
Persatuan Pelancongan Sandakan (Sandakan Tourism Assocoation) menjalinkan kerjasama dengan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Lembaga Pelancongan Sabah (Sabah Tourism Board) bakal menbawa kira-kira 30 orang blogger dan pempengaruh media sosial dari Semenanjung Malaysia, Singapura dan Kota Kinabalu untuk menikmati pengalaman percutian di Sandakan sempena pesta ini sebagai usaha untuk mempromosi Sandakan sebagai destinasi syurga makanan.
Pesta Makanan dan Pertanian Sandakan 2019 dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Sandakan dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan, Pelancongan Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah, Malindo Air, Maswings dan GrabCar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.facebook.com/sandakanfoodfest/
Comments
Post a Comment