EJEN ALI THE MOVIE BAKAL MERISIK DI PAWAGAM 28 NOVEMBER



Primeworks Studios dan Wau Animation hari ini mengumumkan tayangan serentak EJEN ALI THE MOVIE di seluruh pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019.

EJEN ALI THE MOVIE merupakan filem pertama siri animasi popular TV Ejen Ali yang sudah bersiaran selama dua musim, diangkat dari kaca TV ke layar perak atas sambutan hebat penonton.

EJEN ALI kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih dari 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube.

Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada tahun 2016, animasi ini telah meraih minat stesen media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara, termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah dan Afrika Utara.


EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS - Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain.

Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Bercakap pada sidang media EJEN ALI THE MOVIE, Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Tahun 2019 adalah tahun di mana animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara. Tahniah diucapkan kepada Wau Animation di atas karya hebat dan sumbangan mereka yang sekaligus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Kami juga berharap agar peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong filem Ejen Ali yang bakal ditayangkan pada musim cuti sekolah yang akan datang.”

Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, berkata, “Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh peminat tegar Ejen Ali yang sentiasa memberi semangat dan mendorong kami untuk mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini. Kami juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi Ejen Ali.

Single pertama runut bunyi bagi EJEN ALI THE MOVIE ‘Bukalah Matamu’ nyanyian Aisyah Aziz bersama penyanyi rap muda, Bunga yang telah dilancarkan pada 20 September 2019 lalu telah mendapat tempat di semua platform siaran digital tempatan. Lirik video yang dihasilkan dan dimuatnaik di YouTube juga mendapat mendapat sambutan hangat dan berjaya mencecah 700,000 tontonan sehingga ke hari ini.

Lagu tema kedua yang bertajuk “Kita Jaga Kita” nyanyian artis hip-hop tersohor, Altimet bergandingan bersama Cuurley dan Malik Abdullah bakal dilancarkan di semua platform digital mulai 25 Oktober 2019, diikuti dengan lirik video yang akan dipertontonkan di saluran YouTube Ejen Ali pada jam 12 tengah hari.

Di samping itu, skor muzik untuk filem ini telah mendapat sentuhan hebat daripada Azri Yunus dan Hakim Kamal, mereka merupakan individu yang terawal menjadi tulang belakang dalam pembikinan siri animasi Ejen Ali.

Primeworks Studios dan Wau Animation juga turut mengumumkan kolaborasi bersama rakan penaja untuk Filem EJEN ALI THE MOVIE. Tenaga Nasional Berhad merupakan penaja utama filem, disertai oleh Mydin dan Pediasure berganding bahu bagi menjayakan kempen pemasaran bersama. Tarikh siri jelajah dan ramah mesra bersama Ejen Ali juga bakal diumumkan tidak lama lagi, peminat berpeluang bertemu dengan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia disamping berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif.

Produk-produk jenama terbaru Ejen Ali turut diperkenalkan seiring dengan pelancaran filem EJEN ALI THE MOVIE. Mandian kanak-kanak Carrie BacBuster, peralatan Back-To-School yang diperbaharui, alat-alat permainan, makanan ringan dan sebagainya adalah antara produk yang dikeluarkan. Produk- produk ini akan dipasarkan di beberapa pusat membeli-belah seperti, Mydin, Parkson, AEON dan lain- lain.


EJEN ALI THE MOVIE dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, bakal melancarkan misinya di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019.

Untuk info lanjut mengenai EJEN ALI THE MOVIE, sila layari:
● YouTube: www.youtube.com/ejenali
● Facebook: www.facebook.com/ejenali
● Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
● Twitter: www.twitter.com/ejen_ali

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING