FESTIVAL SENI SELAT MELAKA PENUH TARIKAN BUDAYA NUSANTARA



Bertemakan “Selat Melaka, Warisan Nusantara”, Festival Seni Selat Melaka 2019 telah melabuhkan tirainya pada hari ini setelah berlangsung selama tiga hari. Acara gilang-gemilang tersebut yang telah berjaya dilaksanakan pada 18, 19 dan 20 Oktober 2019, bertempat di pekarangan Kota A Famosa, Jalan Kota, Melaka Bandaraya Warisan Dunia.




Program Pelancongan Budaya tersebut meriah dengan pelbagai aktviti berteraskan seni budaya, warisan, pelancongan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang mewakili negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia.


Acara tersebut merupakan sebuah Program Sauh anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Melaka)  dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dijayakan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan semua agensi di bawahnya. 


Kerajaan Negeri Melaka juga turut mengangkat program ini sebagai sebahagian daripada acara Sambutan Hari Jadi Ke-81 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob.


Di antara pengisian menarik FSSM 2019 yang telah dilangsungkan adalah Malam Gala Selat Melaka pada 19 Oktober 2019, persembahan sisipan Warna-warni Selat Melaka, pencungkilan bakat muda Selat Melaka, Pusat Transformasi Rakyat, Bazaar Citrarasa Inap Desa Selat Melaka dan Bazaar Selat Melaka: Seni Budaya dan Pelancongan.


Malam Gala Selat Melaka yang juga merupakan Acara Kemuncak FSSM 2019 adalah persembahan berkonsepkan muzikal dalam Kota Melaka. Majlis telah diserikan oleh kehadiran tetamu kehormat Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka YBhg. Tan Sri Hajjah Norliza Rofli Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara


Kesemua Tetamu Kehormat Malam Gala FSSM2019 telah menaiki beca-beca oleh Persatuan Beca Warisan serta diiringi Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis, Melaka juga Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Melaka ke tapak acara.


Perarakan Kereta Lembu dan Beca Warisan yang mengiringi kenaikan Tetamu Kehormat pada malam itu adalah sebagai perlambangan kepada kesenian pelbagai kaum yang menunjangi seni budaya negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.


Malam Gala FSSM2019 menggabungkan garapan kreatif kesenian dondang sayang, kearifan tempatan iaitu seni berbahasa pantun serta persembahan muzik cak lempong, tari randai dan piring lambung yang diwakili oleh JKKN Negeri Sembilan dalam Segmen Kabar Berusik Negeri Sembilan.


Sementara JKKN Johor pula menerusi Segmen Bayu Muara Maharani – telah menampilkan kehebatan seni Ghazal, Kuda Kepang, Barongan dan Zapin yang turut disertai oleh Badan Seni Budaya dari Muar dan Batu Pahat dan penyanyi Rojer dengan permainan muzik gambusnya.


Tambah menarik lagi, menerusi Segmen Warna-warni Pelangi Dondang Sayang yang mewakili negeri Melaka selaku tuan rumah pula, JKKN Melaka, Briged Seni Melaka, Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Gabungan Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan Negeri Melaka turut menampilkan Kumpulan Tarian Singa dan Naga Wen Wei Melaka, Kumpulan Komuniti Chitty Kampung Gajah Berang, Melaka, Badan Kesenian Baba dan Nyonya Melaka (KEBAYA), Kumpulan Kesenian Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Persatuan Beca Warisan Melaka, Pengusaha Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis, Melaka, Persatuan Teo Chew Melaka, Persatuan Tamil Melaka, Persatuan Bhangra Melaka, Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu Melaka (PERANTARA).


FSSM2019 juga adalah lambang sokongan padu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan JKKN dalam menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 yang dipacukan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan sekaligus menjadi permulaan yang baik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang. 

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA