MCDONALD’S & RMHC LANCAR PROGRAM “KEMBALI KE SEKOLAH”



McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) melancarkan program “Kembali ke Sekolah” 2019 buat tahun ketiga, hari ini. Program ini bakal melibatkan 30,000 kanak-kanak sekolah rendah di seluruh negara menerima pek “Kembali ke Sekolah” sebagai motivasi untuk mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan lebih gembira ke sekolah. Dengan memanfaatkan kekuatan jenama McDonald’s atau disebut juga sebagai ‘Scale for Good’, sumbangan RM3 juta berjaya diraih tahun ini bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar, untuk persediaan menghadapi tahun persekolahan yang baharu. 


“McDonald’s Malaysia percaya bahawa aspek pendidikan merupakan perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan. Kanak-kanak ini merupakan generasi masa hadapan negara, dan kami percaya setiap daripada mereka berhak menerima sokongan sewajarnya untuk berjaya. Kami amat memahami beban perbelanjaan persekolahan yang perlu ditanggung ibu bapa dan penjaga pada setiap awal tahun persekolahan. Semoga sumbangan ini membolehkan mereka menarik nafas lega,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia. 

Pelaksanaan program “Kembali ke Sekolah” pada tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan oleh McDonald’s Malaysia dengan nilai tajaan RM3 juta. Pada tahun 2018, McDonald’s Malaysia telah menyampaikan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 17,000 murid sekolah rendah dengan nilai tajaan RM1.7 juta, berbanding tahun sebelumnya melibatkan 6,000 murid dengan nilai tajaan RM1.2 juta. Setiap kanak-kanak yang terlibat menerima sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah dan beg sekolah dengan nilai sumbangan RM100 setiap seorang. 

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat McDonald’s Malaysia ini juga seiring dengan 9 Teras Pencapaian Setahun yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Manfaat untuk Pelajar B40 dan Murid sebagai Tonggak. 

“Membantu golongan masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia dan kami amat gembira dengan sumbangan yang turut dihulurkan oleh rakan-rakan niaga, para francaisi, warga kerja dan pelanggan kami. Dengan bantuan pek “Kembali ke Sekolah” ini, wang yang sepatutnya digunakan ibu bapa untuk membeli barangan keperluan persekolahan boleh dibelanjakan untuk perkara mustahak lain. Maklum balas positif daripada guru-guru dan ibu bapa kanak-kanak yang terlibat sebelum ini, menjadikan kami lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dan membantu lebih ramai kanak-kanak pada tahun ini,” tambah Azmir yang juga merupakan Presiden RMHC Malaysia. 

Program “Kembali ke Sekolah” merupakan salah satu inisiatif di bawah program kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan McDonald’s Malaysia pada tahun 2019. 

Antara rakan-rakan niaga yang turut menyumbang kepada inisiatif ini termasuklah, Kerry Ingredients Sdn Bhd, Visa Worldwide Pte. Limited, Honda Malaysia Sdn Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Bhd, Aladdin Pacific (M) Sdn Bhd, Glades Guppy Packaging Malaysia Sdn Bhd dan Huhtamaki Foodservice Malaysia Sdn Bhd. 

YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan selaku tetamu kehormat hadir meyampaikan pek “Kembali ke Sekolah” di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, hari ini. 

“Pihak Kementerian amat menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia ini. Sesungguhnya, hal ini seiring dengan komitmen Kementerian bagi menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang, termasuk dari segi barang keperluan dan kelengkapan persekolahan,” kata YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan. 

“Sesungguhnya, kemiskinan dan kesempitan kewangan merupakan salah satu masalah sosial yang menjadi faktor keciciran murid di sekolah rendah dan menengah. Pelaksanaan program “Kembali ke Sekolah” oleh pihak swasta seperti McDonald’s Malaysia merupakan satu nilai tambah yang wajar diteruskan dan ia juga merupakan salah satu contoh kerjasama awam-swasta yang amat dialu-alukan oleh pihak Kementerian, demi kebaikan masyarakat. Saya juga berharap program ini menjadikan kanak-kanak daripada golongan ini lebih yakin diri untuk ke sekolah,” tambah YB Teo Nie Ching lagi. 

Penyampaian pek “Kembali ke Sekolah” juga akan diadakan secara berperingkat di negeri-negeri lain di seluruh negara sehingga penghujung tahun ini sebagai sebahagian daripada Program Komuniti McDonald’s yang terdiri daripada pelbagai program kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan. 

RMHC merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA