ANAK PERJANJIAN SYAITAN DILAHIRKAN DI PAWAGAM 24 OKTOBER



Setiap pasangan yang berumah tangga pastinya menginginkan kehadiran cahaya mata, apatah lagi setelah berumah tangga dalam tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, hubungan rumah tangga pastinya akan teruji apabila zuriat yang diimpikan tidak kunjung tiba dan keadaan bertambah keruh apabila didesak insan yang paling rapat.


Itulah yang jalan cerita yang dipaparkan dalam sebuah filem tempatan paling seram 2019 berjudul Anak Perjanjian Syaitan.

Bakal menghantui pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019, filem berkenaan menampilkan dua pelakon muda baharu yang semakin meningkat naik iaitu Nadzmi Adhwa dan Cha cha Maembong. 


Salah seorang pelakon utamanya iaitu Nadzmi Adhwa berkata, dia cukup bersetuju untuk membintangi filem berkenaan kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.

“Sebelum ini saya tidak pernah berlakon lagi dalam filem bergenre seram dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik untuk terbabit dalam pembikinan Anak Perjanjian Syaitan.

“Dalam filem ini, karakter saya agak kelihatan lebih matang kerana membawakan watak sebagai seorang guru dan bakal bapa yang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung,” ujarnya.


Menurut Nadzmi, peluang untuk membintangi filem berkenaan tidak harus dilepaskan sama sekali memandangkan ditawarkan memegang watak utama.

Jelasnya, Anak Perjanjian Syaitan merupakan filem seram pertama yang dibintanginya, malah menjadikan impiannya untuk memegang peranan utama dalam filem terlaksana.

“Kalau ditanya pengalaman sepanjang penggambaran, antara yang paling memberi cabaran apabila mengalami gangguan di lokasi.

“Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar dan saya rasa pengalaman sebegini turut pernah dilalui oleh pelakon-pelakon yang pernah berlakon dalam filem seram,” ujarnya.


Sementara itu, Cha Cha Maembong pula menyatakan bahawa watak yang dipegangnya dalam filem ini memberikan kelaianan buat dirinya.

Berkenaan dengan karakternya, pelakon itu menyatakan dia memainkan peranan sebagai seorang isteri yang sangat sayang dan sanggup berkorban apa sahaja untuk suaminya.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam filem, saya tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan persetujuan lantaran filem Anak Perjanjian Syaitan ini suatu naskhah yang menarik.

“Kalau bercerita dari sudut cabaran pula, pada saya untuk mendalami watak Azlinda ini bukanlah suatu yang mudah kerana ada babak-babak yang agak berat. Namun, saya beruntung kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan pelakon dan produksi untuk menjayakannya,” ujarnya.

Menurut Cha Cha, dia berharap mesej yang disampaikan dalam filem ini dapat diterima dengan baik oleh penonton, biarpun ia sebuah naskah seram.


SINOPSIS

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun. 

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor. 

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019.

BARISAN PELAKON
NADZMI ADHWA - Cikgu Zaidy 
CHACHA MAEMBONG - Azlinda
JASMIN HAMID - Puan Rahmah
SAHRONIZAM NOOR - Pak Man
AZLAN KOMENG - Ustaz Aznan Shamsullah

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA