TOUCH ‘N GO EWALLET GALAKKAN RAKYAT MALAYSIA SERTAI #JOMTEKSI

Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia (kanan) and Ignatius Ong, CEO TNG Digital Sdn Bhd 

Selaku pemangkin dunia tanpa tunai untuk mobiliti, Touch ‘n Go eWallet kini mengumumkan transformasi ekosistem #JOMTEKSI. Fasa kedua ini menyaksikan pengenalan beberapa program baru, semuanya bertujuan menyediakan ekosistem yang lebih inklusif untuk pemandu teksi berkembang maju dalam ekonomi digital. Program-program ini juga memberikan para penumpang pilihan mobiliti tambahan untuk ke destinasi mereka. 

Pada majlis pelancarannya, Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook berkata, “Saya mengagumi TNG Digital, institusi di sebalik Touch ‘n Go eWallet atas usahanya membantu pemandu teksi berinovasi dalam era digital ini dan meningkatkan pengalaman menaiki teksi untuk semua rakyat. Ianya selari dengan Dasar Pengangkutan Negara yang sedang kita jayakan; yang menekankan usaha mewujudkan sebuah ekosistem mampan lagi cekap. Selain itu, ianya juga memanfaatkan infrastruktur sedia ada dan mengguna pakai teknologi baru bagi memperbaiki pengalaman pengangkutan. Touch ‘n Go eWallet bukan saja berjaya meningkatkan pengalaman pembayaran dengan menggalakkan transaksi tanpa tunai, tetapi turut menunjukkan komitmen tinggi ke arah transformasi ekosistem teksi menerusi inisiatif #JOMTEKSI. Kementerian yakin bahawa melalui usaha berterusan inisiatif #JOMTEKSI, rakyat bukan sahaja dapat memperoleh manfaat daripada ekosistem yang lebih sistematik tetapi ianya akan memastikan industri teksi terus maju.” 

Program dan inisiatif baru #JOMTEKSI 

Antara program-program dan inisiatif baru yang diperkenalkan ialah: 

● Pengubahsuaian lima (5) perhentian teksi di sekitar kawasan Putrajaya dan Cyberjaya. Perhentian teksi yang telah diubahsuai ini terletak di Putrajaya Sentral, D’Pulze, Tamarind Square, Shaftsbury Square dan di hadapan Universiti LimKokWing di Cyberjaya. Menerusi penambahbaikan ini, Touch ‘n Go eWallet berharap untuk menggalakkan orang ramai untuk menggunakan tempat yang telah dikhususkan ini. Setiap satu daripada perhentian teksi tersebut juga dilengkapi dengan port USB untuk penumpang celik digital yang memerlukan tempat untuk mengecas peranti mudah alih mereka. Perhentian-perhentian ini juga dilengkapi panel solar yang digunakan sebagai sumber tenaga bersih, hijau untuk membekalkan kuasa kepada port USB berkenaan dan menerangi perhentian teksi ini di waktu malam. 

● Melalui program #JOMTEKSI, TNG Digital bekerjasama dengan Cyberview Sdn Bhd, pemangkin hab teknologi supaya Cyberjaya (dan Putrajaya) dijadikan sebagai platform untuk memulakan transformasi ekosistem teksi di negara ini. Kerjasama ini akan mengukuhkan sambungan perjalanan untuk komuniti dan menyediakan pilihan mobiliti tambahan. 

● 22 teksi milik duta #JOMTEKSI turut dilengkapi dengan Wi-Fi 4G yang disokong oleh YES 4G. Ia merupakan inisiatif pertama seumpamanya untuk perkhidmatan teksi di Malaysia, yang berupaya meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan teksi biasa dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada penumpang secara keseluruhan. 

● Inisiatif #JOMTEKSI ini turut memperkenalkan perkhidmatan dandanan kereta, hasil kerjasama eksklusif dengan CARS International. Touch ‘n Go eWallet akan menyediakan elaun kepada pemandu teksi untuk menjaga kereta mereka, serta menganjurkan sesi latihan mengenai penyelenggaraan kereta dan ilmu asas teknikal. Kursus berkenaan dibentuk bagi membantu meningkatkan kemahiran pemandu teksi. 

● Selain 22 duta #JOMTEKSI, terdapat lebih daripada 6,000 pemandu teksi yang telah memilih untuk menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai. Menerusi #JOMTEKSI, setiap pemandu teksi berkenaan akan memperoleh insentif tambahan RM4 bagi setiap penumpang yang pertama kali membuat pembayaran menggunakan Touch ‘n Go eWallet. Tiga pemandu teksi yang menunjukkan prestasi terbaik dengan meraih insentif tertinggi berpeluang untuk memenangi percutian ke China dan mengalami sendiri gaya hidup masyarakat tanpa tunai di sana. 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong berkata, “Industri teksi ketika ini sedang berdepan dengan evolusi digital, dan ianya berlaku dengan pantas. Ia memberi peluang kepada kami untuk tampil di mana pengguna kami berada, dengan menjadikan kehidupan lebih mudah. Ianya termasuklah menyediakan pengalaman mobiliti yang pantas dan lancar kepada semua rakyat. Sebagai rakan kongsi dalam pembangunan pengangkutan di Malaysia, kami melihat inisiatif #JOMTEKSI ini daripada dua perspektif. Pertama, ia memberikan satu lagi pilihan mobiliti tambahan yang tanpa tunai, akses dan selamat gunakan untuk para pengguna kami. Kedua, kami ingin memacu platform kewangan yang lebih meluas, lebih inklusif dan memberi manfaat kepada pemandu teksi serta penumpang. Program yang kami perkenalkan pada hari ini akan menjadi salah satu daripada banyak lagi langkah-langkah yang kami ambil dalam memupuk industri teksi yang inklusif dan mantap.” 

Sempena dengan pelancaran ini, pengguna akan menerima pulangan tunai RM3 daripada jumlah tambang jika pembayaran dibuat melalui Touch ‘n Go eWallet dengan mana-mana 6,000 pemandu berdaftar dengan #JOMTEKSI. Promosi pulangan tunai ini boleh digunakan untuk semua destinasi di dalam Malaysia dan bermula dari 13 Disember 2019 hingga 12 Jun 2020. 

Inisiatif #JOMTEKSI disokong oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, Cyberview, YES Communications, CARS International, Majlis Perbandaran Sepang dan Perbadanan Putrajaya. 

Sementara itu, bagi mana-mana pemandu teksi yang ingin menjadi sebahagian daripada komuniti #JOMTEKSI, mereka boleh berhubung dengan rakan operasi #JOMTEKSI, iaitu Koperasi Pengangkutan Putrajaya & Cyberjaya, EzCab, PicknGo dan Taxi Comfort. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai #JOMTEKSI, sila kunjungi www.tngdigital.com.my/urban-mobility/jomteksi atau daftar masuk ke www.facebook.com/touchngoewallet/. Aplikasi Touch ‘n Go eWallet boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store



Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA