‘AME 2020’ LAKAR SEJARAH PERINTIS KANDUNGAN ‘4K UHD’ TEMPATAN
Anugerah MeleTOP Era atau ‘AME’ ialah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah kategori utama yang dipertandingkan. Senarai penuh pencalonan akhir ‘Top 5’ bagi setiap kategori sudahpun dikenal pasti setelah talian undian fasa pertama yang dibuka pada 29 Januari 2020 ditutup secara rasmi pada 25 Februari lalu.
Penganjuran ‘AME 2020’ edisi ketujuh penuh gemilang yang mengetengahkan tema ‘Epik Glam’ dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’ bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad, 12 April 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Lebih istimewa, para pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’ kini boleh menyaksikan siaran ‘AME 2020’ dalam format resolusi kualiti 4K UHD yang menawarkan pengalaman menonton dengan ciri-ciri teknologi terkini dan didatangkan beserta paparan visual yang lebih menakjubkan menerusi peranti pilihan masing-masing tanpa sebarang caj tambahan.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘AME 2020’ turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.
Menurut Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Strategi Kandungan, Perniagaan Antarabangsa dan GenNext Astro, “AME 2020 menjadi taruhan pertama Astro dalam membawakan program televisyen yang bersiaran secara langsung menggunakan teknologi format 4K UHD. Majlis penganjuran acara berskala besar dan berprestij seperti AME ini dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan pengalaman menonton yang dilengkapi dengan ciri teknologi terbaharu kepada para pelanggan. Ini kerana program tersebut bukan sahaja melibatkan barisan artis terkemuka dan selebriti media sosial yang cukup berpengaruh dengan bilangan pengikut yang besar, malah turut disaksikan oleh jutaan peminat di kesemua rangkaian termasuklah platform televisyen, online dan acara lapangan.
Harapan kami agar penganjuran AME 2020 bakal menjadi sebuah lagi testimoni hebat dalam usaha mengangkat dan meraikan bakat dan karya seni hiburan terbaik di Malaysia merangkumi cabang filem, muzik dan televisyen - segalanya kini lebih jelas menerusi paparan format resolusi 4K UHD!
Kami dengan ini mengalu-alukan kehadiran rakan niaga dan penaja untuk turut sama melakar sejarah baharu dalam dunia penyiaran di Malaysia.”
Raqim Ahmad, Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro pula berkata, ‘Selaku peneraju kandungan kreatif utama di rantau ini, Astro terus mengorak langkah ke hadapan sekaligus melakar sejarah membanggakan dalam dunia penyiaran apabila muncul sebagai satu-satunya syarikat penyiar yang menawarkan siaran kandungan televisyen tempatan pertama di Malaysia dalam format resolusi 4K UHD menerusi penganjuran ‘AME 2020’. Inisiatif ini sekaligus menjadi pencetus perubahan yang membuka dimensi baharu kepada pasaran kandungan tempatan.
Dalam pada itu, kami juga cukup terharu dengan sokongan luar biasa yang diterima untuk edisi tahun ini. Jumlah peratusan undian yang diterima untuk fasa pertama secara keseluruhan juga meningkat saban tahun dengan statistik terkini sebanyak 29% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Prestasi cemerlang ini jelas membuktikan bahawa penganjuran ‘AME’ masih relevan dan diterima baik oleh para peminat.
Bagi meletakkan jenama AME sebagai penanda aras kepada penganjuran majlis penganugerahan berprestij seumpama ini di Malaysia, kami telah menyusun strategi yang terbaik bagi memastikan ia berlangsung penuh gemilang. Pelbagai kejutan yang merangkumi pemilihan pengacara, penyampai trofi dan barisan artis yang bakal membuat persembahan istimewa telah disusun rapi bagi menyemarakkan lagi edisi tahun ini. Pemilihan kesemua selebriti juga adalah berdasarkan elemen ‘Yang Epik, Yang Legend.”
Erman Zaki, Pengurus Kandungan ERA, Astro Radio berkata, “Selaku jenama radio No. 1 di Malaysia, ERA sememangnya mengetengahkan bakat dan karya tempatan. Kami teruja kerana Anugerah MeleTOP ERA 2020 mendapat sambutan yang sangat mengalakkan untuk semua kategori, terutamanya, kategori berkaitan dengan industri muzik Malaysia. Ini membuktikan bahawa industri muzik di Malaysia semakin berkembang dan terus mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan. Kami membuka semula peluang membuang undi kepada para peminat dalam Fasa Kedua bagi menentukan pemenang-pemenang dari hari ini sehingga 12 April menerusi laman rasmi AME 2020, aplikasi SYOK dan sistem pesanan ringkas (SMS).”
Pengacara AME 2020 - Nabil Ahmad dan Alif Satar |
10 FAKTA YANG HARUS ANDA TAHU TENTANG ‘AME 2020’
- ‘AME 2020’ bakal menampilkan kelainan baharu dengan melantik selebriti versatil, Alif Satar sebagai pengacara utama untuk berganding bahu bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse bagi mengendalikan pentas ‘AME 2020’ buat pertama kali.
- Pentas ‘AME 2020’ juga bakal diserikan dengan persembahan eksklusif selebriti popular seperti Naqiu, Ernie Zakri, Floor 88, K-Clique, Haqiem Rusli serta ramai lagi.
- Personaliti ERA, penyanyi dan rapper popular iaitu Dina Nadzir, Syamel, Tuju (K-Clique) dan Sophia Liana (De Fam) turut berpadu suara buat pertama kali menerusi lagu tema ‘AME 2020’ ciptaan komposer Navin D’Navigator. Tambah menarik lagi, lirik lagu tersebut adalah hasil nukilan bersama oleh Mambang, Sophia Liana dan Tuju.
- Bagi memastikan ketelusan penganjuran ‘AME 2020’, badan audit bertauliah W.L. Chong & Associates telah dilantik untuk menyelia sebarang keputusan yang melibatkan undian orang awam.
- Mira Filzah mendominasi pencalonan akhir ‘AME 2020’ apabila disenarai pendek untuk empat buah kategori iaitu ‘Pelakon MeleTOP’, ‘Bintang Filem MeleTOP’, ‘Artis Versatil MeleTOP’ dan ‘Fesyen MeleTOP’.
- Pemenang anugerah ‘Top Top MeleTOP Wanita’ edisi tahun lalu, Siti Nordiana turut menyerlah dengan empat pencalonan akhir menerusi tiga buah kategori individu iaitu ‘Lagu MeleTOP’, ‘Penyanyi MeleTOP’ dan ‘Artis Versatil MeleTOP’ serta pencalonan bersama dengan Khai Bahar bagi kategori ‘Grup/Duo MeleTOP’.
- Kumpulan hip hop terkenal yang semakin mendaki populariti dalam arena muzik arus perdana, K-Clique turut cemerlang dengan pencalonan untuk tiga buah kategori iaitu ‘Lagu MeleTOP’, ‘Grup/Duo MeleTOP’ dan ‘Artis Baharu MeleTOP’. Untuk rekod, ini merupakan kali pertama K-Clique dicalonkan sepanjang penganjuran ‘AME’.
- Hos utama ‘AME 2020’, Alif Satar turut tercalon dalam tiga buah kategori iaitu ‘Penyanyi MeleTOP’, ‘Hos MeleTOP’ dan pencalonan bersama dengan isteri beliau, Shadila Halid menerusi kategori ‘Couple MeleTOP’.
- Manakala seorang lagi pasangan hos ‘AME 2020’ iaitu Jihan Muse juga tercalon dalam dua buah kategori iaitu ‘Artis Versatil MeleTOP’ dan ‘Hos MeleTOP’.
- Anak kepada pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen, Alisa Aisyah merupakan satu-satunya ‘puteri’ comel yang tercalon untuk kategori ‘Si Cilik MeleTOP’.
- Buat pertama kalinya sepanjang penganjuran ‘AME’, kandungan animasi berjaya menembusi pencalonan akhir bagi kategori ‘Filem MeleTOP’ menerusi filem Ejen Ali The Movie dan BoBoiBoy Movie 2.
- Untuk makluman, Allahyarham Abam Bocey beserta balu Siti Nurhidayah turut tersenarai dalam pencalonan akhir bagi kategori ‘Couple MeleTOP’. Namun, Siti Nurhidayah mengambil keputusan untuk menarik diri. Dengan ini, pasangan selebriti yang mendapat undian keenam tertinggi selepas mereka secara automatik tersenarai di pencalonan akhir bagi kategori tersebut.
CARA UNTUK MENGHANTARKAN UNDIAN ‘AME 2020’
FASA KEDUA
Undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori boleh dibuat secara online menerusi laman web rasmi ‘AME 2020’ di www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS bermula 3 Mac 2020, jam 6.00 petang hingga 12 April 2020, jam 12.00 tengahari.
Pemenang untuk setiap kategori akan diumumkan sewaktu siaran langsung malam ‘AME 2020’ kelak. Setiap undian yang dihantar haruslah diterima dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Comments
Post a Comment