BARISAN ARTIS MALAYSIA PERANGI WABAK COVID-19 DARI RUMAH



Sewaktu rakyat Malaysia sedang bertarung melawan pandemik Covid-19, Astro menerusi platform digital hiburan nombor satu, Gempak mengambil inisiatif tersendiri dalam menghargai rakyat Malaysia yang teguh berdiri bagi melawan wabak Covid-19 dengan menghasilkan sebuah lagu tribute. Lagu yang diberi judul Sentiasa Di Sini merupakan hasil ciptaan AG Coco dan Noh Salleh. 

Seramai 26 penyanyi menyumbang suara tanpa mengenakan sebarang bayaran bagi menyokong inisiatif ini. Selain Noh sendiri, mereka adalah Faizal Tahir, NJWA, Dayang Nurfaizah, Naim Daniel, Kashika, Ali Masdo, Mimi One Nation Emcee, Nicole Lai, Syamel, Ara Johara, dan Ernie Zakri. 

Turut terlibat memberi sokongan ialah Azlan Typewriter, Marsha Milan, Imran Ajmain, EL Ceria Popstar, Yoyo, Dinda, Umairah, Nehsan Selvaraj, Danny Ah Boy, Jacqueline, Putera Muhammad, Masya Masyitah, Ucop dan Xavier. 

Mewakili rakan-rakan artis terlibat, Noh menyifatkan penghasilan video muzik ini sebagai satu usaha yang amat baik apabila seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam membasmi Covid19. 

“Kami barisan selebriti tanah air menyokong petugas barisan hadapan yang komited dalam kerja mereka. Seluruh rakyat mahukan sesuatu yang positif, jadi saya amat berbangga kerana terlibat dalam projek ini. Melalui lagu ini juga, saya berharap ia menjadi semangat buat rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi yang perit ini”. 

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad ini merupakan satu magis yang luar biasa apabila Astro dan selebriti Malaysia dapat menyiapkan sebuah lagu dan muzik video untuk memberi semangat kepada rakyat Malaysia. “Ketika semua rakyat Malaysia dinasihatkan berada di rumah, saya melihat sokongan bukan sahaja boleh diberikan melalui keringat dan wang ringgit, tapi boleh disampaikan melalui lagu dan kata-kata semangat. Semoga usaha murni ini dapat memberi semangat kepada tenaga barisan hadapan, sekaligus mengekalkan momentum kita dalam menentang pandemik Covid-19”. 

Menariknya lagu ini dirakam dan dihasilkan secara berasingan dengan setiap selebriti menghantar audio dan visual nyanyi mereka sendiri. AG COCO menggabungkan kesemua suara menjadi sebuah lagu yang indah dengan kemahiran pasukan Gempak menyunting visual untuk dijadikan muzik video yang menyentuh perasaan. 

Muzik video ini boleh ditonton dan didengar di semua saluran TV, Radio dan Digital Astro bermula hari ini. Ia akan dimulakan dengan tayangan perdana di saluran Astro Stay Home Concert (Saluran 700) yang mula bersiaran pada 14 hingga 28 April, ia juga boleh dilayari di Astro GO. 


Selain itu, antara program lain di platform digital Gempak ialah #ArtisDudukDiam. Menerima sokongan ramai selebriti terkenal, program interaktif ini bukan saja melibatkan selebriti dan editor-editor dari Gempak, malah peminat juga boleh bertanyakan soalan secara langsung kepada mereka. 

Program yang berlangsung setiap hari ini menampilkan nama-nama seperti Sophia Liana, Hun Haqeem, Zarina Anjoulie, Syafiq Kyle, Yonni Boy, Alvin Chong, Bella Astillah, Haqiem Rusli, Nabila Huda, Eyra Hazali, Dayang Nurfaizah, MK K Clique, Fikry Ibrahim dan ramai lagi. 

Sebuah pertandingan menyanyi secara virtual juga diadakan menerusi Impress Your Idol, di mana selebriti mengukur bakat nyanyian peminat mereka. Program yang memberi peluang untuk peminat berinteraksi dengan selebriti secara rapat ini menyaksikan pembabitan bintang muda seperti Ara Johara, Syamel, Ernie Zakri dan Ayie Floor 88. 

Di samping itu, peminat juga boleh menonton Gempak Sebabak di mana bakat komedi seperti Zulin Aziz dan Norreen Iman melakonkan sketsa dan dialog lucu parodi yang diambil dari beberapa babak filem popular tempatan dan juga antarabangsa. 

Bersempena dengan bulan Ramadan yang akan datang pula, Gempak juga menyediakan rancangan Iftar Ala King 2 yang menyaksikan Naim Daniel berkongsi resepi kegemarannya di alam maya, manakala manakala Mind Your Jawi menampilkan Rhys Williams sebagai hos untuk kita sama-sama mempelajari penggunaan Jawi dalam perbuatan sehari-harian. 

Jom layan racangan ini di laman web Astro Gempak, www.astrogempak.com.my. Untuk mendapatkan info terkini mengenai rancangan-rancangan menarik di Astro Gempak , boleh layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Gempak.

Comments

Popular Posts