HAWA RIZWANA & FATIN HAMIMAH MENYERTAI WHI MULAI 1 APRIL
Fatin Hamimah dan Hawa Rizwana |
Anda pasti tidak asing lagi dengan nama Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah yang merupakan penyampai berita di TV3 dan TV9. Bermula dari 1 April 2020, Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah telah menyertai Fiza Sabjahan, Hazrena Kassim, Fahrin Ahmad, Sugeeta dan Uyaina Arshad sebagai hos program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).
Penampilan sulung Fatin Hamimah di WHI bergandingan dengan Hazrena Kassim dan Sugeeta pada 1 April 2020 manakala Hawa Rizwana pula bersiaran pada 3 April 2020 bersama-sama dengan Fiza Sabjahan dan Uyaina Arshad.
Pengalaman mereka dalam bilik berita TV bukan saja menjadi faktor utama kedua-duanya dilamar oleh WHI. Dalam usia yang muda, kedua-duanya telah mengecapi kejayaan dalam bidang yang diceburi. Kecekalan dan kegigihan mereka dalam mengejar impian dan pada masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat juga menepati ciri-ciri WHI yang sentiasa mahu mengetengahkan ikon wanita muda kepada penonton.
Bagai sirih pulang ke gagang, Hawa Rizwana (Hawa Rizwana Ahmad Redzuan), 25 tahun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM mula bertatih di industri penyiaran TV sebagai pelatih dengan produksi WHI pada Mac 2017. Selepas itu, Hawa Rizwana memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita di TV9 pada tahun yang sama. Kini, Hawa Rizwana juga diberikan tanggungjawab mengendalikan Buletin Utama di TV3 pada tahun 2019. Selain itu, beliau juga diberikan kepercayaan dalam mengacarakan program semasa seperti Imbauan 2017 Berita TV9, Belanjawan 2019 di TV9 dan Dakwat Di Jari PRU14.
Fatin Hamimah (Fatin Hamimah binti Mohd Yusof), 30 tahun yang juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM mendedikasikan diri dalam penyampaian berita TV sejak tahun 2014 di TV3, TV9 dan ntv7. Bermula sebagai wartawan penyiaran, Fatin Hamimah juga pernah mengendalikan program semasa dan politik seperti insiden MH370, insiden MH17 dan Pilihan Raya Umum 14. Selain berpengalaman untuk mengendalikan segmen gaya hidup untuk Buletin Utama, beliau juga diberikan tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif untuk program berita di TV3, TV9 dan ntv7.
Terus menjadi pilihan dan rujukan utama bagi golongan wanita di negara ini selepas hampir 2 dekad bersiaran, WHI mengkhususkan topik-topik kaum hawa yang merangkumi isu kewanitaan, kekeluargaan, kesihatan dan fesyen.
Kini, WHI bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang di TV3 dan boleh strim di laman sesawang www.tonton.com.my. Kru penerbitan WHI diketuai oleh Puan Siti Hatija Yusof sebagai penerbit eksekutif dari Primeworks Studios. Gunakan tanda pagar #WHITV3 #inspirasiwanita dalam merancakkan perbualan di platform media sosial.
Comments
Post a Comment