'PELUANG KEDUA' NABILA RAZALI CECAH 5 JUTA TONTONAN
PENYANYI Nabila Razali mencipta sejarah tersendiri buat dirinya apabila lirik video single terbaharu berjudul Peluang Kedua mencapai lima juta tontonan dalam tempoh sebulan dilancarkan di laman Youtube.
Malah, video tersebut menjadi tempat luahan perasaan apabila lebih 12,000 komen pendengar yang berkongsi kisah hidup berkaitan peluang kedua mereka.
“Alhamdulillah, saya tak sangka lagu ini mendapat perhatian sebaik ini sehingga mendapat lima juta tontonan dalam tempoh sebulan walaupun ia hanya lirik video.
“Ramai yang dengar sambil berkongsi kisah hidup masing-masing tentang peluang kedua mereka, saya baca semua komen-komen mereka di youtube kerana banyak pengajaran daripada kisah-kisah mereka itu,” ujarnya.
Peluang Kedua merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Hael Husaini yang mengisahkan tentang penyesalan seorang tentang kesilapan yang pernah dilakukan di dalam sesebuah perhubungan dan inginkan peluang kedua.
Dalam pada itu, Nabila berkata, lagu tersebut turut menjadi lagu paling banyak distrim di semua pelantar digital sejak dilancarkan April lalu.
“Saya dapat maklum balas yang baik, ramai yang buat cover dan ramai kanak-kanak yang sudah menghafal lagu tersebut.”
“Selain itu, lagu itu juga menjuarai carta RIM (Recording Industri Malaysia) walaupun baru minggu pertama dilancarkan,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi ini berkata, dia dan pihak pengurusannya dalam perancangan untuk membuat penggambaran muzik video berkenaan.
Tambahnya, terdapat kejutan pada muzik video yang dijangka memulakan penggambaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
“Kami dalam usaha pembikinan muzik video, saya dan pihak pengurusan juga masih mencari hero untuk MV berkenaan. InsyaAllah kalau semua berjalan lancar ada kejutan untuk muzik video berkenaan.”
“Sekarang kami hanya menunggu pihak kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan sahaja. Kita doakan situasi wabak Covid-19 ini berakhir dengan segera” ujarnya.
Comments
Post a Comment