5 SEBAB MENGAPA ANDA HARUS KEMBARA SECARA BERBASIKAL
Menjelang Hari Basikal Sedunia pada 3 Jun ini, platform percutian digital Agoda berkongsi lima sebab mengapa anda harus mengembara dengan menaiki basikal, dan laluan berbasikal hebat untuk anda jelajahi sekarang atau sebagai inspirasi percutian pada masa akan datang.
Mengapa anda harus mengembara dengan berbasikal?
1. Mendekati Alam Semulajadi
Menurut tinjauan Penggunaan dan Tabiat 2019 (Usage & Attitude Study) oleh Agoda, Alam Semulajadi / Luar Bandar merupakan faktor utama yang mendorong seseorang untuk melancong. Dengan berbasikal, anda boleh melalui pelbagai laluan indah yang menghubungkan taman-taman alam dan kawasan luar bandar. Nikmatilah pemandangan indah sepuas-puasnya dan anda boleh berhenti seketika di mana-mana sahaja mengikut kesukaan hati.
2. Pengalaman Unik
Kenali dengan lebih mendalam sesebuah tempat itu, mungkin di bandar atau negara anda sendiri. Berbasikal membolehkan anda menjelajahi kawasan yang kurang dikunjungi ramai, berhenti di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam, mengembara ke kawasan perkampungan, bermesra dengan penduduk tempatan dan menikmati perjalanan dari perspektif yang berbeza.
3. Senaman yang berbaloi
Dengan penjagaan kesihatan yang menjadi topik utama bagi tahun 2020, siapa yang akan berkata tidak kepada aktiviti senaman yang menyeronokkan? Anda pastinya akan merasa lebih berpuas hati dengan menikmati ganjaran yang dihasilkan melalui kayuhan anda di sepanjang perjalanan.
4. Mesra-alam
Ingin mengurangkan jejak karbon anda? Lebih daripada 25% pelancong lebih cenderung membuat pilihan perjalanan yang mesra-alam di dekad akan datang, menurut tinjauan Agoda dalam kaji selidik Trend Perjalanan Dekad Akan Datang (Next Decade Travel Trends). Berbasikal merupakan satu cara pengangkutan yang murah dan mesra-alam untuk ke mana-mana sahaja.
5. Nikmati Segala Perjalanan
Perjalanan merupakan sesuatu yang penting di samping destinasi yang ditujui. Laluan anda mungkin dipenuhi cabaran yang berbukit-bukau, atau laluan yang indah dan damai yang mengambil masa beberapa jam ke tempat yang belum dikunjungi sebelum ini, kerana berbasikal merupakan satu pengembaraan yang hebat dari mula sehinggalah ke hujung perjalanan.
Laluan Kayuhan Menarik di Malaysia
Dari pantai yang indah hingga ke bandar yang bersejarah, Malaysia mempunyai pelbagai destinasi yang boleh diterokai secara berbasikal di luar bandaraya Kuala Lumpur yang sibuk. Jika anda mempunyai masa terluang melebihi satu hari, bermalam di salah satu daripada 39,000 tempat penginapan Agoda di Malaysia. Tanpa mengira secara bersendirian atau berkumpulan, anda akan merasa rambang mata untuk memllih daripada pelbagai hotel, kediaman serta pangsapuri yang ditawarkan oleh Agoda.
Untuk keluarga:
Bawa keluarga anda ke Pulau Pinang yang bersejarah untuk pengembaraan sambil belajar yang menyeronokkan dan juga berkunjung ke tempat-tempat yang menjual makanan yang lazat. Hari bebas kenderaaan di Georgetown pada setiap hari Ahad adalah masa yang paling sesuai untuk menjelajahi kawasan warisan UNESCO ini. Rasai hembusan bayu laut apabila anda berkayuh melalui jeti, mengikuti jejak warisan Georgetwon dan menyaksikan keindahan seni bina Peranakan dan lukisan jalanan yang ikonik, serta berhenti seketika untuk menikmati makanan tempatan di tepi jalan.
Untuk pengayuh tegar:
Alami keindahan desa di Kiulu dengan menyertai jelajah berbasikal di mana anda berpeluang untuk menyeberangi sebuah jambatan gantung dan mengunjungi perkampungan di tepi sungai yang didiami oleh puak Dusun yang mesra.
Untuk pencinta alam:
Pastikan anda mengunjungi hutan hujan yang tertua di dunia di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Selangor yang mana anda boleh memilih laluan berbasikal mengikut kebolehan anda, sama ada yang mudah atau mencabar. Anda mungkin terserempak dengan penyelidik yang sedang bertugas atau berpeluang untuk melihat kesan peninggalan kampung Orang Asli di sana.
Kredit: Background photo created by jcomp - www.freepik.com
Comments
Post a Comment