CANON TERAJU SAMBUTAN HARI KAMERA NASIONAL



Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd hari ini mengumumkan sambutan Hari Kamera Nasional Canon bertujuan untuk memupuk minat yang mendalam terhadap kamera dan fotografi dalam kalangan jurugambar dan peminat fotografi. 

Hari Kamera Nasional yang disambut pada 29 Jun setiap tahun ini diraikan untuk menghargai dan memperingati kewujudan kamera dan manfaatnya kepada manusia.

Bersesuaian dengan norma baharu, kempen selama sebulan ini akan dijalankan secara digital di laman rasmi Instagram Canon Malaysia (@canonmalaysia), yang merangkumi siri bengkel fotografi yang dibawakan oleh Canon EOS Youth Ambassadors, satu peluang untuk memupuk minat terhadap fotografi kreatif dalam kalangan jurugambar muda yang berbakat dan untuk orang ramai mengambil bahagian dalam pertandingan foto Capturing Moments. Berkisar mengenai tiga tema foto iaitu – Kenangan Pertama, Kenangan Tidak Dapat Dilupakan dan Kenangan Alam (First Moments, Memorable Moments and Nature Moments), maklumat mengenai bengkel dan pertandingan Fotografi itu disiarkan di laman rasmi Instagram Canon Malaysia.

Komponen-komponen sambutan tersebut adalah sebahagian daripada matlamat Canon yang lebih besar iaitu untuk memupuk budaya fotografi dengan menyediakan platform kepada golongan jurugambar berbakat untuk mengasah kemahiran teknikal, menginjak batasan kreatif dan mempamerkan bakat mereka kepada kumpulan audiens yang lebih besar. Kali ini, tiga orang Canon EOS Youth Ambassadors yang memainkan peranan sebagai mentor dan barisan hakim pertandingan ini datang dari pelbagai latar belakang, membawakan spektrum fotografi yang lebih luas dari potret ke fotografi jalanan dan dari seni bina ke seni konsep; namun apa yang lebih penting, mereka memiliki apa yang diperlukan untuk memberi inspirasi kepada para jurugambar generasi baru.

“Sebagai peneraju dalam penyelesaian pengimejan digital, Canon menyedari tanggungjawab untuk menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mempelajari fotografi. Belajar dari Canon EOS Youth Ambassadors kami yang terkenal adalah cara yang amat sesuai untuk memperoleh maklumat mengenai pengalaman dunia sebenar dan kegembiraan yang dibawa oleh fotografi,” kata Albert Mah, Ketua Jabatan Produk Komunikasi Pengimejan, Canon Marketing Malaysia.

Bengkel fotografi yang akan diadakan oleh tiga Canon EOS Youth Ambassadors iaitu Samuel Goh, Annice Lyn dan Acacia Diana akan menyaksikan setiap seorang dari mereka mengambil satu tema dan berkongsi pengetahuan, tip, cara mudah serta pengalaman fotografi masing-masing. 

KENALI CANON EOS YOUTH AMBASSADORS

Acacia adalah graduan seni bina yang mula menceburi bidang fotografi pada tahun 2014. Sehingga kini, beliau telah melawat lebih 40 buah negara dan merakam serta berkongsi fotografi berkaitan seni bina, landskap dan gaya hidup dari seluruh dunia. Beliau mengatur visual untuk jenama-jenama global terkemuka dan telah berkhidmat untuk Microsoft, Starbucks, L’occitane dan Vans. Hasil kerjanya telah dipamerkan di pelbagai lokasi termasuk Galeri Petronas dan Pusat Konvensyen Shah Alam. 

Annice adalah seorang peluncur ais merangkap jurugambar dokumentari dan sukan. Beliau merupakan jurugambar wanita pertama dari Malaysia yang diiktiraf oleh Sukan Olimpik Musim Sejuk XXIII dan merupakan pengasas bersama Women Photographers Malaysia. Hasil kerjanya telah dipilih untuk digunakan oleh Forbes, Getty Images, Associated Press, The Washington Post, USA Today, The Guardian, Olympic NBC Sports, Malaysia Tatler dan pelbagai platform berita dalam talian dan penerbitan.

Samuel telah menghasilkan kandungan untuk pelbagai jenama seperti World Bank, Petronas dan TNB. Beliau kini berkarya melalui studio penerbitan dan fotografi, Roundtable Studios, yang diasaskan bersama Reuben Liu yang juga merupakan salah seorang Canon EOS Youth Ambassador. Selain aktif dalam penganjuran bengkel, beliau kerap berkongsi cerita dan pengetahuan teknikal kepada komuniti fotorgafi melalui rangkaian media sosialnya yang mempunyai lebih 40,000 pengikut.

“Arena fotografi di Malaysia sedang berkembang pesat dengan lambakani peminat fotografi menjadikan ia hobi yang serius atau pilihan kerjaya. Sebagai peneraju penyelesaian pengimejan digital, kami komited untuk menjadikan fotografi satu pengalaman yang istimewa bagi semua, dan melalui Hari Kamera Nasional Canon ini, kami teruja untuk menyaksikan hasil kerja yang menakjubkan,” kata Albert Mah, Ketua Jabatan Produk Komunikasi Pengimejan, Canon Marketing Malaysia.


Hari Kamera Nasional Canon akan berlangsung dari 8 Jun – 12 Julai 2020, dengan pertandingan foto Capturing Moments akan bermula pada 8 Jun. Untuk menyertai pertandingan ini, ikuti laman Instagram Canon Malaysia (@canonmalaysia) dan “Like” laman Facebook Canon Malaysia. Canon Marketing Malaysia menjemput semua peminat fotografi dari seluruh negara untuk mempamerkan bakat dan keistimewaan mereka dalam merakam imej yang mengagumkan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Kredit foto: VIKTOR HANACEK

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA