WETV IFLIX BAKAL BAWAKAN FILEM EKSKLUSIF “AKU BUKAN GILA”

 

WeTV iflix hari ini mengumumkan, filem terbaharuya “Aku Bukan Gila” yang dibintangi oleh Beto Kusyairy dan Fasha Sandha akan disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman dalam beberapa minggu akan datang. Mempamerkan perkampungan Beddegelert di North Wales yang indah permai sebagai latar belakang, filem tempatan ini mengisahkan pertemuan antara Andre (Beto Kusyairy) dan Andra (Fasha Sandha). 

Diterbitkan oleh Pencil Pictures And Records dan dihasilkan di bawah arahan Rahila Ali, “Aku Bukan Gila” bakal disiarkan secara eksklusif di iflix WeTV. Filem menarik ini boleh dinikmati percuma oleh sesiapa sahaja di peranti mereka atas permintaan, menerusi aplikasi telefon pintar mahupun laman sesawang WeTV iflix. 

“Kami sangat berbesar hati untuk mempersembahkan “Aku Bukan Gila” menerusi WeTV iflix, kerana berpeluang bergandingan dengan bintang tanah air yang terulung, Beto Kusyairy dan Fasha Sandha untuk merealisasikan visi Rahila Ali. Kami di WeTV iflix berazam untuk memperkasakan bakat tempatan dan industri perfileman Malaysia dengan menyediakan sumber yang diperlukan serta platform kami untuk mencapai penonton sasaran mereka. Bagi peminat pula, kami bertekad untuk terus mencipta dan menyebarkan kandungan tempatan yang premium dan berkualiti tinggi seperti “Aku Bukan Gila”, dan lebih banyak lagi pada masa akan datang,” demikian kata Aik Kuang Heng, Pengurus Negara WeTV iflix Malaysia. 

“Aku Bukan Gila” menelusuri perjalanan Andra yang penuh beremosi untuk mencari ketenangan jiwa selepas kematian ibunya yang tercinta. Terdesak melarikan diri daripada kekangan kekeluargaan, Andra merantau ke Beddgelert di Wales semata-mata untuk mengubati hatinya. Tanpa diduga, takdir mempertemukannya dengan Andre. Walaupun pada awalnya, Andra banyak berselisih pendapat dengan Andre, mereka akhirnya berjaya mengatasi perbezaan yang wujud di antara mereka. Namun, apabila Andra cuba masuk campur dalam kehidupan Andre dengan melontarkan soalan-soalan yang ganjil, jejaka itu bukan sahaja mula berasa tidak selesa, bahkan meragui kesihatan mental Andra. 

“Aku Bukan Gila” merupakan sebuah kisah tentang kesihatan mental dan pergolakan emosi yang dihadapi seseorang yang kehilangan insan tersayang. WeTV iflix menghidupkan kisah ini dengan memaparkan kesan ketidakstabilan mental dan trauma emosi serta kepentingan untuk mencintai diri sendiri. Penonton boleh menikmati “Aku Bukan Gila” pada Oktober 2020, yang akan distrimkan di WeTV iflix iflix.com, atau pada aplikasinya yang boleh dimuat turun dari Apple Store dan Google Play Store untuk pengguna iOS dan Android masing-masing.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA