HOLOGIC SOKONG PENGESANAN AWAL KANSER PAYUDARA


Di negara-negara berpendapatan tinggi, 9 daripada 10 pesakit kanser payudara dapat hidup sehingga 10 tahun. Namun purata keseluruhan di Malaysia adalah jauh lebih rendah dengan hanya 5 daripada 10 pesakit yang dapat hidup sehingga tempoh tersebut. Walaupun angka ini membimbangkan, ia dapat diuruskan dengan lebih baik menerusi pemeriksaan kanser payudara untuk pengesanan lebih awal. Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Antarabangsa, Hologic, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam kesihatan payudara & tulang, mengambil kesempatan menggalakkan wanita di Malaysia untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara secara berkala. 

Hologic ditubuhkan pada tahun 1985 dan menawarkan beraneka produk yang dapat membantu mengesan, mendiagnosis, dan merawat pelbagai penyakit serta keadaan kesihatan lebih awal dengan teknologi perubatan terkini yang disediakan khas untuk wanita. Diketuai oleh pasukan profesional yang berdedikasi, Hologic mengorak langkah untuk mendidik wanita mengenai isu-isu berkaitan dengan pengesanan kanser payudara, serta menggalas misi untuk menggalakkan semua wanita menjalani pemeriksaan awal kanser payudara. 

Menurut Dana Kajian Kanser Sedunia, 2 juta wanita didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 2018, malahan jumlah wanita Asia yang didiagnosis diramalkan akan meningkat dua kali ganda dalam 30 tahun akan datang. Peningkatan ini kemungkinan dipengaruhi oleh salah faham terhadap pemeriksaan kanser payudara. Antara faktor penyumbang ialah takut kepada mamografi. Wanita takut untuk menjalani pemeriksaan kerana percaya ianya pengalaman yang menyakitkan sehingga tidak tertahan. Dibesarkan dalam budaya Asia, kebanyakan wanita menyatakan mereka malu untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara menurut satu kajian kes. Wanita di Malaysia secara budayanya lebih konservatif dan cenderung berasa tidak selesa apabila terpaksa mendedahkan badan mereka kepada doktor, dan oleh itu berlengah-lengah untuk membuat janji temu penyaringan. Di samping itu, mereka juga cenderung menganggap mamogram sebagai prosedur yang panjang lagi susah, dan mempunyai tanggapan salah bahawa mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk menjalani mamogram. 

Tambahan pula, keadaan ini semakin membimbangkan apabila bilangan wanita muda didiagnosis dengan kanser payudara semakin meningkat. Ramai wanita muda tidak menganggap diri berisiko diserang kanser payudara dan menganggapnya sebagai penyakit yang hanya menimpa wanita berusia. Namun pada hakikatnya, terdapat beberapa faktor luaran yang dapat meningkatkan risiko kanser payudara seperti alkohol, merokok, berat badan berlebihan atau gaya hidup yang tidak aktif dengan sedikit atau tanpa senaman. 

Menurut Perpustakaan Perubatan Negara Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat, wanita Asia lebih cenderung mempunyai tisu yang lebih padat di payudara berbanding dengan wanita Kaukasia. Disebabkan kepadatan lapisan tisu, kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia mungkin lebih susah untuk dikesan pada peringkat awal kerana semakin padat tisu payudara, semakin susah untuk mengesan kanser menerusi mamogram 2D. Namun, dengan kemajuan teknologi alat penyaringan, mamogram 3D dapat mengesan ketumbuhan sekecil 1 milimeter tidak kira di mana ia bersembunyi dalam tisu payudara. Mamogram 3D menggunakan sinar-x dos rendah untuk menunjukkan gambar 3D payudara pada skrin digital. Bagi menjalani proses ini, mesin akan mengimbas dari pelbagai sudut dan mengambil ‘potongan’ sinar-x merentasi payudara bagi menjamin imbasan menyeluruh terhadap tisu payudara yang bertindih. Ciri ketepatan dan ketelitian ini membolehkan pakar radiologi mengesan kanser payudara dengan lebih mudah walaupun pada tisu payudara yang paling padat, sekali gus menjamin ketenangan fikiran pesakit. 

Diketuai oleh Linda Seah, Timbalan Presiden serta Pengurus Besar Hologic ke rantau Asia Tenggara, Hologic memikul misi untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal, dengan menyarankan wanita untuk bukan sekadar menjalani pemeriksaan pengesanan awal, tetapi juga menjalaninya secara berkala dan sebaik-baiknya menggunakan mamogram 3D. 

Sejajar dengan kemajuan pesat dalam teknologi penyaringan, Hologic menyarankan pemeriksaan mamogram 3D kerana dapat mengesan 20%-65%kanser payudara yang lebih invasif berbanding dengan pemeriksaan 2D. Teknologi mamografi 3D juga terbukti dapat mengurangkan panggilan balik sehingga purata 40%[2], sekali gus memberikan keyakinan dan ketenangan fikiran kepada kaum wanita selepas pemeriksaan. Seiring dengan peningkatan pendidikan dan platform dalam kesihatan payudara, wanita harus saling menyokong untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara secara berkala dua tahun sekali. Dengan ini, Hologic berharap untuk membawa potensi penuh kelebihan mamografi 3D serta menggesa wanita Malaysia menggunakan mamogram 3D demi diri sendiri serta orang tersayang. Ini akhirnya dapat mengurangkan keraguan dan keresahan kaum wanita mengenai kanser payudara serta diagnosisnya.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING