TIADA WANITA DITINGGALKAN: NORA MEMBAWA HARAPAN DAN AKSES KEPADA PENJAGAAN PESAKIT KANSER
Cancer Research Malaysia (CRMY) hari ini memperkenalkan NORA, singkatan bagi Navigation, Outreach & Resource Access (Panduan, Jangkauan & Akses Sumber), dalam satu sesi meja bulat media di Kuala Lumpur Golf & Country Club. Sesi ini, yang dikendalikan oleh Profesor Dr Cheong Sok Ching, Ketua Pegawai Saintifik CRMY, menghimpunkan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital rakan kongsi serta pihak media bagi membincangkan masa depan navigasi pesakit di Malaysia.
Terhasil daripada satu dekad kerjasama antara CRMY, KKM dan hospital awam, NORA dibangunkan berasaskan kejayaan Patient Navigation Programme (PNP) — inisiatif perintis yang membantu wanita mengatasi halangan dalam mendapatkan diagnosis dan rawatan kanser tepat pada masanya. Program ini menawarkan bimbingan berstruktur secara individu dari saat diagnosis hingga rawatan dan susulan, dengan menumpukan kepada cabaran lazim seperti kesempitan kewangan, isu logistik, dan ketakutan terhadap rawatan.
Dibangunkan melalui penyelidikan berasaskan bukti oleh CRMY, NORA merupakan model navigasi pesakit pertama di peringkat nasional di Malaysia. Sejak projek perintisnya pada tahun 2015 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, program ini telah berkembang ke 18 hospital awam, menyokong lebih 5,000 pesakit kanser payudara yang baru didiagnosis dan memberi manfaat kepada lebih 20,000 keluarga. Inisiatif ini turut diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai contoh penjagaan kanser berpusatkan individu yang mengurangkan ketidaksamarataan, meningkatkan akses rawatan, serta memperbaiki kadar kelangsungan hidup.
Nama NORA mencerminkan misi yang diperluas bagi membimbing, menyokong dan memperkasa pesakit di setiap langkah perjalanan kanser mereka:
• Navigation (Panduan): Membimbing pesakit melalui diagnosis, rawatan dan susulan.
• Outreach (Jangkauan): Melibatkan komuniti untuk mempromosikan pengesanan awal.
• Resource Access (Akses Sumber): Menghubungkan pesakit kepada bantuan kewangan, emosi dan logistik.
Profesor Dr Cheong Sok Ching, Ketua Pegawai Saintifik CRMY berkata, “NORA membawa tujuan yang lebih jelas dan bermakna. Kami mahukan nama yang mudah dikenali serta dekat di hati pesakit dan rakan kongsi — yang mencerminkan keutamaan pesakit dalam setiap usaha kami serta komitmen Malaysia terhadap penjagaan kanser yang mudah diakses. NORA menyatukan elemen-elemen ini untuk memastikan tiada wanita yang tertinggal dalam perjalanan kanser mereka.”
Dato’ Dr Imi Sairi, Ketua Perkhidmatan Nasional Pembedahan Payudara & Endokrin menambah, “Kami amat berbesar hati bekerjasama dengan Cancer Research Malaysia dalam NORA, di mana penambahbaikan terhadap kepatuhan rawatan serta pengurangan kelewatan penjagaan dapat dilihat dengan jelas. Melalui kerjasama ini, kami memastikan setiap wanita, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, menerima penjagaan dan sokongan yang sewajarnya.”
Program ini disokong oleh Yayasan PETRONAS dan Yayasan Sime Darby, yang membolehkan peluasan serta kesan jangka panjang inisiatif ini. Kini, NORA berdiri sebagai model navigasi pesakit yang berskala dan boleh dilaksanakan bagi membimbing pesakit kanser payudara yang baru didiagnosis untuk melengkapkan rawatan yang menyelamatkan nyawa.
Pelancaran ini, yang diadakan bersempena Pink October, menandakan pencapaian penting dalam misi berterusan CRMY untuk menjadikan penjagaan kanser mudah diakses, saksama dan berperikemanusiaan untuk semua rakyat Malaysia.
Untuk melihat bagaimana NORA telah mengubah kehidupan, kenalilah Arbiah — seorang pesakit kanser dari Kelantan yang kisah dan semangatnya terus menginspirasikan ramai:
Comments
Post a Comment