LAGU TERLUKA TONJOLKAN SUARA FARIZ KAMIL YANG UNIK


Fariz Kamil merupakan nama yang betul-betul segar dalam industri nyanyian tanah air. Berusia 29 tahun dan dilahirkan di Kuala Lumpur, Fariz memulakan nyanyian sejak dari bangku sekolah lagi. Jejaka ini mula memberanikan diri untuk menyanyi di pentas ketika di darjah enam. Kemudian minatnya untuk menjadi penyanyi kian bercambah hari ke hari. 

Meminati muzik bergenre balada dan pop, Fariz mempunyai visi dan misi tersendiri untuk melangkahkan kaki ke dalam dunia nyanyian tanah air. 

“Saya mempunyai visi tersendiri iaitu ingin mengembalikan style crooner ala lagu-lagu nostalgia yang tidak lapuk ditelan zaman dengan misi mengekalkan lagu konsep pop balada supaya menjadi malar segar seperti penyanyi terdahulu,” ujarnya yang mengidolakan Art Fazil dan Datuk M.Nasir. 

Oleh itu, Fariz kini muncul dengan lagu berjudul Terluka yang merupakan single perdana nyanyiannya. Jejaka bersuara jantan ini merupakan penyanyi terbaru syarikat rakaman Moro Records. Lagu berkonsep pop balada ini merupakan hasil ciptaan artis dan komposer serta produser terkenal Singapura, Art Fazil. 

Menurut Art Fazil, dia mempunyai sebab tersendiri untuk menghasilkan sekaligus menerbitkan lagu untuk Fariz. 

“Saya memilih Fariz kerana suaranya yang unik. Tidak ramai artis iaatu penyanyi baru masa kini yang mempunyai suara jantan. Kami sengaja merakam Fariz dan melawan arus masa kini kerana dia mempunyai potensi besar untuk menjadi suara terkenal di Nusantara. Saya meminati penyanyi lagenda Indonesia, Broery Marantika dan saya melihat suara Fariz ada potensi untuk menyanyikan lagu lagu ala crooner dengan baik seperti Broery,”ujar Art. 



Lagu ini mengisahkan tentang kedukaan yang dialami seseorang yang ditinggalkan kekasihnya. Menariknya tentang pembikinan lagu ini kerana mendapat hasil air tangan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air. Lagu ini mendapat kerjasama Eddie Marzuki dan Addy Cradle untuk bahagian gitar, Ujang Exist untuk dram dan orkestra di bawah pimpinan Eddie Marzuki. Eddie turut menyumbangkan bahagian bass untuk lagu yang diterbitkan pada bulan Oktober 2020 ini. Mendapat kerjasama dari individu-individu ternama industri, Fariz merasa berbesar hati dan bertuah. Malah dia mempunyai harapan peribadi melalui lagu Terluka. “Saya mengharapkan suatu hari nanti, saya mampu menjadi seperti penyanyi-penyanyi terdahulu di mana lagu mereka kekal hingga ke hari ini dan saya juga mengharapkan agar dapat berkongsi perasaan melalui lagu dan nyanyian saya nanti serta dapat menghiburkan para pendengar,” ujar Fariz Kamil. Bakat dan suara unik Fariz dikesan dengan cara yang cukup organik oleh Art Fazil. Segalanya bermula di Uptown Kota Damansara sewaktu Fariz sedang rancak menyanyi karaoke. “Masa itu, Fariz menyanyikan lagu Suatu Masa oleh M.Nasir. Saya dan Nik Jassmin (Moro Records) serta rakan rakan dari Kino-I Pictures terpegun mendengar suara Fariz. Kami ingatkan orang tua yang nyanyi tapi rupa rupanya seorang anak muda. Dari situ kami mengenali Fariz dengan lebih rapat lagi dan menawarkan kontrak rakaman,” cerita Art mengenai perkenalan pertama bertemu bakat muda ini. 

Art kemudian menceritakan pengalaman pertama Fariz berada dalam studio rakaman. Tidak berpengalaman dan amat mentah dalam dunia rakaman, awalnya Fariz nampak kurang selesa sewaktu rakaman lagu dilaksanakan. “Namun setelah membuat latihan di dalam studio beberapa kali dia sudah boleh menyanyikan lagu ini dengan baik sekali . Ketika membuat penggambaran muzik video, kami dapati Fariz juga mempunyai bakat berlakon yang boleh digilap. Saya rasa Fariz adalah seorang bakat baru Malaysia yang berpotensi untuk menjadi terkenal di Nusantara,” kata Art menyakini bakat yang dikesannya. “Saya menciptakan lagu Terluka single pertama Fariz dengan pandangan yang lagu ini dapat menonjolkan suara Fariz yang unik. Setelah mencipta lagu itu, saya ‘test’ untuk Fariz nyanyikan lagu ini. Saya memberi Fariz ruang nutuk menyanyikan lagu ini dengan stail dia tersendiri tanpa terlalu banyak mengubah melodi asal. Setelah 3 bulan latihan kami pun memasuki studio di KL,” tambahnya dengan harapan agar lagu ini dapat diterima pendengar dan menembusi pasaran lagu melayu tempatan. Muzik video lagu ini menggambarkan keperihan seorang yang terluka hatinya akibat ditinggalkan kekasihnya. Penggambaran yang dibuat di dalam suasana hujan malam memberikan suntikan tragis di dalam menyampaikan emosi lagu tersebut. Muzik video rasmi dengan durasi 3 minit 42 saat ini boleh ditonton di laman YouTube Mororecs.

 

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI