ABIGAIL ORAK LANGKAH SEBAGAI PENYANYI DENGAN "STATUS QUO"
Artis terbaharu di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, si cantik manis dari Kuala Lumpur, penyanyi serta penulis lirik muda berbakat besar dan bukan calang-calang gadis, Abigail, mengorak langkah sulung sebagai penyanyi di persada muzik Malaysia dengan single pertama yang penuh bermesej berjudul ‘Status Quo’ yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Gadis yang baharu sahaja menginjak usia 21 tahun dan sedang melanjutkan ijazahnya ini telah menghasilkan lirik dan melodi lagu terbaharunya hanya dalam masa 2 jam sahaja, katanya, “Idea untuk mencipta lagu Status Quo sebenarnya datang secara spontan dan mudah kerana saya sememangnya sudah terbiasa dengan kerja-kerja penghasilan lagu sejak remaja lagi, akan tetapi ia menjadi lebih lengkap dengan bantuan MFMF kerana mereka berjaya merealisasikan impian saya sekaligus menyempurnakan karya tersebut.”
Status Quo membicarakan perihal norma kemasyarakatan dan label yang sering diberikan oleh masyarakat dengan maksud yang mendalam dan tersirat, terangnya, “Kadang-kadang kita rasa hendak lari jauh daripada tanggapan atau stereotaip yang selalu dikenakan oleh masyarakat, dan seringkali kita berdepan dengan kekecewaan oleh mereka yang kita percayai, kerana kehidupan bukanlah sebuah cerita dongeng yang kita sangkakan.”
“Saya mahukan sebuah lagu yang dapat mencerminkan imej saya yang ingin dipamerkan kepada umum, dan dengan Status Quo ia merupakan pengenalan terbaik buat semua dan ia bakal menjadi bayangan kepada kerjaya muzik saya pada masa akan datang, yang lebih tertumpu membahaskan isu kesihatan mental.
“Mesej yang saya cuba sampaikan kepada dunia adalah ‘it’s okay to not be okay’, dan supaya masyarakat dapat menerima dan lebih memahami konsep perkara ini.
“Proses rakaman lagu Status Quo berlangsung di Studio MFMF selama 2 hari, ia merangkumi kerja-kerja penambahbaik beberapa bahagian yang perlu dipercantikkan lagi, dan ada ketikanya juga saya mengalami masalah dengan suara. Walaupun proses tersebut berlaku ketika negara sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya tetap seronok melakukannya kerana suasananya yang riang ditambah dengan tenaga kerja yang hebat.
Pendatang baharu ini menyifatkan jenis muzik yang dibawakannya sebagai sad-crazy-pop yang merupakan cerminan dirinya pada ketika ini, Abigail menambah, “Sebenarnya saya tiada genre yang tetap kerana matlamat saya pada masa akan datang adalah untuk mencuba pelbagai genre lain dan berkembang seiring dengan peredaran muzik semasa.”
Menurut En. Feros Sayna, Ketua Label, Rocketfuel Entertainment, "Abigail merupakan artis terbaharu di bawah naungan kami, saya mengambil keputusan untuk mengikat kontrak bersama beliau kerana potensi yang ada padanya sebagai penyanyi, bukan sahaja usianya yang muda, berbakat besar dan kreatif, bahkan kebolehannya dalam mencipta lagu sendiri sangat mengagumkan, dan saya percaya Status Quo bakal terima baik oleh semua terutamanya golongan millenial.”
Kata Abigail, “Saya berharap agar penggemar muzik akan suka lagu Status Quo ini sebagaimana saya sukakannya, saya amat teruja untuk berkongsi pendapat dan cerita dengan pendengar di luar sana kerana nilai empati yang saya curahkan dengan maksud yang mendalam ketika menghasilkannya dapat dirasai, dan saya juga berharap agar muzik saya menjadi lakaran dalam kehidupan sesiapa yang mendengarnya.”
Lagu ‘Status Quo’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala video muzik lagu ‘Status Quo’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network pada hari yang sama.
Comments
Post a Comment